Menangkis ria’, ujub dan takabur


Riya’. Berasal dari perkataan ru’yah yang membawa maksud lihat, maka riya’ adalah satu perasaan ingin memperlihatkan amal kita. ‘Ujub pula berasal dari perkataan ‘ajaba, yakni boleh membawa maksud ajaib atau rasa terkejut, maka ‘ujub bermaksud perasaan ajaib terhadap perbuatan diri sendiri. Takabbur pula asal perkataannya adalah kabir yang membawa maksud besar, maka takabbur adalah satu perasaan besar dan megah pada diri.

Ini antara penyakit-penyakit hati. Mungkin sahaja tiada yang menjerit:

“Woi, aku tengah riya’ ni”

“Aku ‘ujub betul dengan diri aku”

“Ketahuilah, aku takabbur dengan apa aku ada”

Ada pernah dengar orang cakap macam itu? Kalau ada pun mungkin kes-kes terpencil. Kalau ada la kan. Ketiga-tiga perkara ini biasanya merupakan lintasan hati. Tersembunyi jauh di dalam diri. Ada kemungkinan untuk tertonjol pada zahir seperti air muka, gaya perlakuan, nada suara, tetapi saya lebih suka kita tidak menghukum secara zahir.

Sebab itu, artikel ini, bukan untuk menuding kepada orang, tetapi lebih kepada menepuk dada sendiri.

Bagaimanakah hendak menangkis perasaan-perasaan mazmumah ini?

Hubungan dengan Allah SWT

Saya kira, orang yang paling terbuka kepada riya’ adalah Rasulullah SAW. Hal ini kerana, baginda membumikan Islam pada seluruh kehidupannya. Baginda baik kepada semua orang dalam kehidupannya. Baginda kemas, bersih, dan kehidupannya pula sederhana.

Jadi, kalau baginda hendak riya’, boleh sahaja. Boleh sahaja jiwa baginda berkata: “Tengoklah aku, tengoklah aku. Aku baik, aku sederhana, aku hamba Allah yang taat” dan sebagainya.

Tetapi saya yakin Rasulullah bukan sedemikian.

Saya kira juga, orang yang paling terbuka kepada ‘ujub adalah Rasulullah SAW juga. Hal ini kerana, selepas baginda berpenat lelah usaha itu dan ini selama 23 tahun, akhirnya seluruh jazirah arab tunduk beriman kepada Allah SWT.

Jadi, kalau baginda hendak ‘ujub, boleh sahaja. Boleh sahaja jiwa baginda berkata pada saat orang-orang arab berpusu-pusu beriman kepadanya: “Lihatlah usaha aku. Tak sangka aku ni boleh buat macam ini ya? Hebat jugak aku ni rupanya. Dalam 23 tahun je, seluruh jazirah arab beriman. Siapa boleh buat macam aku?”

Tetapi saya yakin Rasulullah bukan sedemikian.

Saya kira juga, orang yang paling terbuka kepada takabbur adalah Rasulullah SAW. Hal ini kerana, baginda diangkat sebagai pemimpin ummat dan di kemuncak perjalanan hidup baginda, baginda mempunyai bala tentera yang sangat besar. Ketika Fathu Makkah, baginda mempunyai 10,000 tentera lengkap berbaju besi dan bersenjata.

Jadi, kalau baginda hendak takabbur, boleh sahaja. Boleh sahaja jiwa baginda berkata pada saat baginda memasuki Makkah dengan bala tenteranya yang hebat hari itu: “Tiada siapa yang mampu menewaskan aku lagi. Akulah yang terhebat dan tertinggi. Siapa boleh lawan aku? Ada? Ada?” sambil mendabik dada mengangkat kepala.

Tetapi saya yakin Rasulullah bukan sedemikian.

Persoalan utama di sini, mengapa Rasulullah SAW bukan sedemikian orangnya? Saya melihat jawapannya hanya satu.

Hubungan dengan Allah SWT.

Ini yang ada pada Rasulullah SAW, menyebabkan dia berjaya menangkis perasaan-perasaan mazmumah yang boleh mencucuk jiwanya.

HDA

HDA adalah singkatan kepada Hubungan Dengan Allah. Di MATRI dahulu, pelajar-pelajarnya dididik dengan ayat-ayat sebegini: “Jaga HDA”, “Ingat, HDA”, “HDA itu penting” dan sebagainya. Kalau DHA itu satu vitamin penting untuk kesihatan tubuh, saya rasa HDA juga vitamin penting untuk kesihatan jiwa.

Kekuatan untuk menangkis riya’, ‘ujub dan takabbur hanya akan terwujud sekiranya hubungan kita dengan Allah itu kuat. Bila hubungan dengan Allah itu menjadi kuat, barulah kita melihat bahawa amalan-amalan kita perlu semuanya kerana Dia, sebab Allah yang nak kira amal kita. Barulah kita nampak bahawa segala apa yang kita lakukan, hakikatnya Allah lah yang bantu kita, bukannya sebab diri kita hebat, ajaib dan sebagainya. Barulah kita nampak bahawa kita ini adalah kerdil, dan Allah lah Yang Maha Besar, tak layak langsung kita nak meninggi diri.

Sebab itu, hubungan dengan Allah adalah asas yang patut ditekankan. Saya faham itulah juga tujuan kenapa di MATRI, wujudnya dididikan bernama HDA. Di padang Hoki tetap HDA itu dilaung-laung. Di court Bola Tampar, tetap HDA itu disebut-sebut. Semasa tazkirah, tetap HDA itu diulang-ulang. Di dalam usrah, program asrama, di dalam kelas, semua tempat, HDA tetap disebut.

Sebab Hubungan Dengan Allah adalah asas kehidupan sihat seorang mu’min berjaya.

Mereka itu tidak akan terbunuh

Oh, jangan salah sangka ya. Riya’, ‘ujub, takabbur ini takkan terbunuh. Ia takkan hilang. Ia akan datang dan datang dan datang lagi. Mencucuk kita agar tersasar dalam melakukan amal. Memangkas ikhlas dari dalam jiwa. Sebab riya’, ‘ujub dan takabbur adalah cucukan syaitan.

Melainkan syaitan mati, selagi itu riya’, ‘ujub dan takabbur ini tak akan hilang dari muka bumi.

Justeru, yang ada hanyalah seni menangkis. Bukannya seni membunuh.

Seni penangkisan

Silap manusia dalam menangani riya’, ‘ujub dan takabbur adalah seperti berikut:

“Aku tak nak la buat ni. Nanti riya’”

“Aku bukannya apa. Nanti kalau aku berjaya buat semua ni, aku ‘ujub nanti”

“Aku takut takabbur la. Sebab tu aku tak kerja sungguh-sungguh. Nanti kaya, aku lupa diri”

Semua itu adalah cara yang silap. Pemahaman yang silap, melahirkan pandangan yang silap. Orang lain pula akan melihat Islam ini memundurkan masyarakat, masyarakatnya dididik agar tidak proaktif dan sebagainya.

Hakikatnya, dalam hal-hal riya’, ‘ujub dan takabbur, seni penangkisannya adalah:

“Teruskan, sambil beristighfar”

Hakikatnya, berhenti kerana riya’ itulah dia satu riya’. Berhenti kerana ‘ujub, itulah dia ‘ujub. Berhenti kerana takabbur, itulah dia takabbur. Kalau benar niat asalnya adalah kerana Allah, buat sesuatu itu kerana Allah, maka teruskan. Bila riya’, ‘ujub, takabbur datang, maka pantaslah beristighfar dan ingat kembali niat melakukan amal, ingat kembali siapakah yang membantu dalam menyempurnakan amal, dan ingatlah atas kekuatan siapa kita bernaung dalam melakukan amalan.

Itulah dia seni penangkisnya. Terus laksanakan, sambil beristighfar, kembali berhubung dengan Allah SWT.

Rasulullah SAW, baginda meneruskan kehidupan baginda sehari-hari seperti itu tanpa masalah. Pada malamnya baginda bersendirian menangis, mengkerdilkan diri, bersyukur kepada Allah hingga kaki bengkak-bengkak, menghalang riya’ menyusup pada diri. Pada saat baginda telah berjaya, baginda adalah yang paling rapat dengan Allah, menghalang diri daripada ‘ujub. Pada saat baginda memasuki Makkah dengan 10,000 tenteranya, baginda menundukkan kepala baginda sambil terus bertasbih, bertahmid dan bertakbir, sehingga diriwayatkan bahawa dagunya hampir menyentuh tubuh untanya.

Rasulullah sendiri menunjukkan kepada kita bahawa, hubungan dengan Allah adalah perisai ampuh menutup lubang-lubang riya’. Teruskan, dan beristighfarlah. Bukannya berhenti. Berhenti kerana apa? Adakah kerana Allah kita berhenti? Atau sebenarnya lebih kepada “Agar manusia tak nampak aku riya’, ‘ujub dan takabbur?”

Dalil-dalil keburukannya

“Sesungguhnya yang paling aku khawatirkan menimpa kamu sekalian ialah syirik yang paling kecil. Mereka bertanya: Apakah itu syirik yang paling kecil ya Rasulullah? Beliau menjawab: Riya! Allah berfirman pada hari kiyamat, ketika memberikan pahala terhadap manusia sesuai perbuatan-perbuatannya: Pergilah kamu sekalian kepada orang-orang yang kamu pamerkan perilaku amal kamu di dunia. Maka nantikanlah apakah kamu menerima balasan dari mereka itu.” Hadith Riwayat Ahmad.

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat, (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya, orang-orang yang berbuat riya, dan enggan (menolong dengan) barang berguna.” Surah Al-Ma’un ayat 6-7.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya’ kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, Kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.” Surah Al-Baqarah ayat 264.

Imam Syafi’i rohimahumulloh berkata : “Baransgsiapa yang mengangkat-angkat diri secara berlebihan, niscaya Allah akan menjatuhkan martabatnya”

“Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan santai dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya” Hadith Riwayat Bukhari.

“Ketika seorang lelaki berjalan dengan mengenakan pakaian yang necis, rambut tersisir rapi sehingga ia takjub pada dirinya sendiri, seketika Allah membenamkannya hingga ia terpuruk ke dasar bumi sampai hari kiamat” Hadith Riwayat Bukhari

“Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanyaperbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”. Al-Qasas ayat 76.

“Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada malaikat,Tunduklah beri hormat kepada Nabi Adam, Lalu mereka sekalianya tunduk memberi hormat melainkan iblis ia enggan dan takabbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” Al-Baqarah ayat 34.

Penutup: Memang menghukum pada zahir, tapi hal-hal hati serahkan pada Allah

Memang manusia hanya ada mata yang boleh melihat zahir. Tiada manusia yang mempunyai mata yang boleh menembusi hati secara tepat. Hatta ulama’-ulama’ yang dikurniakan kasyaf sekalipun, sekiranya mereka benar-benar ulama’, mereka tidak akan menjadikan kasyaf mereka sebagai dalil untuk menghukum.

Mungkin sahaja kita tengok seseorang itu perawakannya seakan riya’, ‘ujub, takabbur, tetapi jangan sesekali kita kata pada orang lain bahawa dia itu sedang riya’, ‘ujub dan takabbur. Adakah benar dia riya’, ‘ujub, dan takabbur?

Sebaiknya, kalau kita rasa tidak senang dengan gayanya yang mungkin pada kita riya’, ‘ujub, takabbur, kita pergi terus berbincang dengannya. Sebagaimana diceritakan guru saya, Dr Samirah Tohir berkenaan seorang ulama’ bertemu rakannya yang memberikan penyampaian.

“Wahai sahabatku. Aku mendengar penyampaianmu, tetapi hatiku tidak terasa apa-apa. Sama ada hatiku bermasalah, ataupun pada hatimu wujud masalah. Maka sama-samalah kita memerhatikan hati kita”

Lihat. Itulah dia caranya. Ada kemungkinan, perasaan kita yang menyatakan seseorang itu ‘ujub, riya’, takabbur, adalah satu sifat mazmumah bernama hasad dalam diri kita. Sebab itu ulama’ itu menegur sahabatnya sedemikian rupa. Menegur sahabatnya, dan menegur dirinya juga.

Sebab itu, saya katakan, artikel ini lebih menunjuk kepada diri kita sendiri.

Bukan mengajar kita menghukum orang lain.

Sama-sama kita muhasabah, dan koreksi diri.

sumber:langitilahi.com

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,477 other followers

%d bloggers like this: