KHUTBAH JUMAAT: “MINDA TERJAJAH?, BEBASKANNYA”


Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan semua
perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang
paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertakwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Umat Islam terdahulu telah berjaya mencipta kegemilangan yang banyak
memberi faedah kepada seluruh manusia. Namun keadaan hari ini telah
berubah. Umat Islam yang dahulunya hebat, sekarang telah jauh ketinggalan
dalam pelbagai bidang. Kenapa perkara ini boleh terjadi?. Di mana silapnya?.
Bagaimana untuk kita mengatasinya? Dan bolehkah kita memperbaikinya
sedangkan sebahagian umat Islam kini yang minda dan jiwanya masih terjajah
walaupun negara telah merdeka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Maksud minda dan jiwa terjajah ialah apabila umat Islam, sekalipun
berpendidikan tinggi tetapi tidak mampu melepaskan diri daripada belenggu
cengkaman pemikiran penjajahan dan pemikiran barat. Orang yang mindanya
terjajah sentiasa menganggap segala idea, pemikiran dan kejayaan yang datang
daripada luar semuanya baik, betul dan perlu diikuti sekalipun perkara tersebut
bertentangan dengan syariat Islam. Sebaliknya mana-mana peraturan, idea dan
fikiran yang bersumberkan Islam dikatakan kolot, ketinggalan zaman, tidak adil
dan tidak realistik.

Orang yang mindanya terjajah tidak akan dapat melihat dengan mata hati,
tidak dapat berfikir dengan akal fikiran sendiri. Sebaliknya, mereka melihat
mengikut apa yang dilihat oleh penjajah dan mereka mendokong fikiran-fikiran
yang dikehendaki oleh penjajah. Semuanya menghakis jati diri, wibawa dan
kehebatan mereka. Sesungguhnya ini adalah antara hasil perancangan rapi
para penjajah yang telah menyedia dan mengatur dasar pendidikan yang
mengabaikan hakikat kebenaran Islam. Penjajah berniat jahat dan melakukan
kerosakan, terutama merosakkan akal, pemikiran rakyat agar jauh daripada
kebenaran syariat Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 120:

“Orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka
kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka
(yang telah terpesong itu)”. . .
Antara matlamat penjajahan ialah mereka mahu supaya para pelajar Islam
tidak diajar tentang Islam sebagai satu cara hidup syumul yang menyeluruh
untuk keperluan hidup di dunia dan di akhirat. Mereka hanya diajar mengenai
Islam yang menitikberatkan persoalan-persoalan ibadah khusus sahaja. Di
samping itu, para pelajar juga disuntik dengan pelbagai keraguan dan salah
faham yang dirancang dengan rapi oleh penjajah. Contohnya, anak-anak orang
Islam telah disogokkan dengan sejarah Keagungan Eropah, supaya umat
Islam sentiasa leka, terkeliru, ragu dan merasa rendah diri serta hina dengan
agama Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kesan daripada itu, maka lahirlah golongan Islam yang merasa selesa dan
berpada melakukan ibadah khusus sedangkan pemikiran, fahaman dan tindakan
mereka bertentangan dengan kehendak Islam. Sebab itu di mana-mana negara
Islam yang pernah dijajah, sampai sekarang masih terdapat sekolah-sekolah dan
Pusat Pengajian Tinggi yang mereka miliki masih beroperasi. Dengan
Perancangan Pendidikan ini, para penjajah dapat meneruskan agenda mereka
dalam menjajah minda umat Islam walaupun negara telah dimerdekakan.
Di samping itu, wujud pula segolongan umat Islam yang tidak yakin, raguragu
atau terkeliru. Lebih mendukacitakan lagi ada yang berani mencabar
Syariat Islam secara terbuka seperti hukum hudud, faraidh, masalah-masalah
judi, arak, zina, aurat, riba, rasuah dan lain-lain. Mereka beriman dengan
sebahagian kitab dan ingkar dengan sebahagian yang lain. Atau beriman
dengan hukum yang menguntungkan dan meninggalkan hukum yang mereka
anggap akan merugikan mereka.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 85;
“Sesudah itu, adakah kamu hanya beriman kepada sebahagian (daripada
isi) Kitab Taurat (dalam soal menebus tawanan) dan mengingkari akan
sebahagian yang lain (agar tidak membunuh dan sebagainya)?. Maka tiadalah
balasan bagi orang yang berbuat demikian itu antara kamu, melainkan kehinaan
ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat mereka akan dihumbankan ke dalam
azab yang amat berat dan Allah sekali-kali tidak lalai akan apa yang kamu
lakukan”.
Terdapat segolongan orang Islam yang gagal memahami bahawa Islam
mempunyai sistem ekonomi, perundangan, pentadbiran, politik, sosial, Sistem
Pendidikan dan Sistem Kemasyarakatan yang sempurna lagi berwibawa.
Mereka telah dipesongkan sejak di peringkat sekolah sehinggalah ke Institusi
Pengajian Tinggi. Penjajah juga telah berjaya menjadikan segolongan pelajar
muslim terpisah dari akar akidah Islam kerana terpedaya dan terpesona dengan
kejayaan lahiriah para penjajah yang dicanang melalui mata pelajaran sejarah
keagungan penjajah.
Para penjajah telah menggunakan segala ruang dan peluang untuk
mempengaruhi minda, idea dan pandangan umat Islam. Sebab itu mereka
sentiasa berusaha untuk meruntuh, merungkai dan melonggarkan keyakinan
umat Islam dengan pelbagai cara. Ternyata strategi mereka telah berjaya
melahirkan golongan muslim berminda dan berwatakkan penjajah. Walaupun
mereka Islam pada namanya, tetapi tingkahlaku, pemikiran dan keyakinan tetap
menyanjung kehebatan penjajah.
Mereka menghendaki supaya umat Islam berubah menurut acuan dan
Sistem Barat dalam segala bidang kehidupan. Agama Islam perlu diketepikan
kerana ianya menjadi penghalang. Penjajah menyatakan bahawa, Islam

mempunyai tata hukum tertentu yang menyekat kebebasan manusia.
Maka ia perlu dipisahkan dari pemerintahan, pentadbiran, politik dan ekonomi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Begitulah liciknya penjajah, sama ada Belanda, Inggeris atau Komunis.
Dengan strategi dan perancangan yang diatur rapi di tanah jajahan masingmasing
telah berjaya menggugat serta menyelewengkan akidah sebahagian
besar umat Islam. Berabad-abad lamanya umat Islam telah dipaksa menerima
pandangan yang tidak tepat mengenai Islam. Saki-baki umat Islam yang
terjajah minda dan jiwanya ini telah menjalankan di’ayah sambil mengatakan
bahawa syariat Islam tidak sesuai lagi untuk dilaksanakan sekarang. Maksud
mereka, Islam perlu disesuaikan dengan pembangunan dan peredaran zaman
bukan sebaliknya. Sesungguhnya golongan ini telah rosak akidah, sesat dan
menyeleweng.

Namun kita bersyukur kerana masih ramai golongan yang bangkit dengan
tindakbalas positif dan tetap berpegang teguh dengan islam. Di sinilah lahirnya
pertembungan yang bakal menimbulkan pelbagai tentangan dan pertelagahan
berterusan sehinggalah tertegak dan terlaksananya Syariat Islam yang syumul.

Mereka berani, tegas dan istiqamah tanpa jemu menyampaikan risalah, memberi
nasihat, teguran, pandangan secara lisan mahupun tulisan dengan penuh
hikmah dan bijaksana supaya Islam sentiasa terpelihara.
Kesimpulannya ;
Berdasarkan hakikat tersebut, nyatalah umat Islam perlu bangkit dan
kembali memperbetul serta memperbaiki segala kesilapan yang telah terjadi.

Kita mesti membebaskan tanggapan, pemikiran, tindakan dan pandangan salah
yang memusnah dan merosakkan imej Islam di mata masyarakat seluruh dunia.
Sesungguhnya kita amat bertuah menjadi penganut Islam yang walaupun
pelbagai usaha telah dilakukan untuk menghancurkannya, namun Islam tetap
bertahan dan terus berkembang.

Untuk itu umat Islam yang yakin mesti bertindak untuk melakukan;
 Pengukuhan kurikulum pendidikan dengan menjadikan akidah, akhlak
dan syariat Islam sebagai teras ke arah melahirkan insan yang
berakidah, beriman, berakhlak mulia, berketrampilan, dan berdaya
saing.
 Memahami pelbagai aktiviti dan strategi yang telah diatur dengan rapi
oleh para musuh-musuh Islam bagi merosak akidah umat Islam, dan
 Bertindak meningkatkan tahap kepekaan ke arah mengawal diri,
keluarga dan masyarakat umat Islam supaya tampil mengatasi pelbagai
tipu-daya musuh-musuh Islam yang berpanjangan.
Oleh itu, marilah kita memperbanyakkan aktiviti wacana dan program bagi
memperjelaskan mesej yang dibawa oleh Islam. Kita kembalikan semula
keagunan Islam di persada keunggulannya.
Marilah kita bentuk satu kesatuan, tenaga dan fikrah ke arah meneruskan
gerak kerja secara bersepadu bagi menjayakan misi bersama memperkukuh
Islam di negeri dan Negara yang tercinta ini. Marilah kita bentuk satu kesatuan;
tenaga, fikrah dan hadap ke arah meneruskan gerak kerja secara bersepadu
bagi menjayakan misi bersama memperkukuh Islam di negeri dan Negara yang
tercinta ini. Marilah kita berpegang-teguh dan istiqamah beramal dengan Syariat

Islam. Marilah kita merdekakan minda, matangkan pemikiran dan jelaskan
wawasan serta bebaskan minda dari sebarang pengaruh buruk dari luar Islam.

Maksud At-Taubah : 32
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut
mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-
Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 43 other followers

%d bloggers like this: