Rejab: Disiplin seorang hamba dan Bau Ramadhan


Kita telah memasuki Rejab. Tanda bahawa Ramadhan semakin mendekati. Ibarat loceng yang memberikan amaran, Rejab membuatkan kita terjaga dari lena, agar kita berusaha bersedia untuk menghadapi Ramadhan.

Rasulullah SAW, dengan rendah diri mengajar kita berdoa:

“Ya Allah, berkatilah kami di dalam Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan.” Hadith Riwayat Ahmad dan Tabrani.

Ramai jadi teruja apabila datangnya Rejab. Namun, keterujaan ini yang sepatutnya menjadi satu kepositifan, kadangkala berubah menjadi satu perkara yang negatif. Negatif, apabila agama itu diletakkan di hujung perasaan, bukan di hujung kefahaman. Hingga hilang disiplin seorang hamba.

Amalan-amalan Khusus Di Dalam Bulan Rejab.

Hakikatnya, tiada amalan-amalan khusus di dalam bulan Rejab, yang diarahkan oleh Rasulullah SAW atau Allah SWT untuk dilakukan ummat Islam, khas kerana Rejab datang.

Namun kadangkala, kerana keterujaan manusia di dalam beribadah kepadaNya, maka diada-adakan ibadah yang hakikatnya tidak punya asal-usul di dalam Islam.

Seperti Puasa Rejab, solat tertentu di bulan Rejab, dan sebagainya.

Berbekalkan hanya dengan alasan: “Niat yang baik,” atau alasan “Ini semua untuk persediaan Ramadhan,” maka diada-adakan ibadah tertentu ini yang tiada asal-usulnya di dalam agama.

Sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda dengan amat tegas:

“Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka dia telah menempah tempat di dalam neraka.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dan terbukti, apa yang dikatakan sebagai amalan-amalan khusus di dalam Bulan Rejab itu, ternyata do’if dan palsu.

“Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

“Adapun mengkhususkan bulan Rajab dan Sya’ban untuk berpuasa pada seluruh harinya atau beri’tikaf pada waktu tersebut, maka tidak ada tuntunannya dari Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam dan para sahabat mengenai hal ini. Juga hal ini tidaklah dianjurkan oleh para ulama kaum muslimin. Bahkan yang terdapat dalam hadits yang shahih (riwayat Bukhari dan Muslim) dijelaskan bahwa Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam biasa banyak berpuasa di bulan Sya’ban. Dan beliau dalam setahun tidaklah pernah banyak berpuasa dalam satu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban jika hal ini dibandingkan dengan bulan Ramadhan.

Adapun melakukan puasa khusus di bulan Rajab, maka sebenarnya itu semua adalah berdasarkan hadits yang seluruhnya lemah (dho’if) bahkan maudhu’ (palsu). Para ulama tidaklah pernah menjadikan hadits-hadits ini sebagai sandaran. Hadits-haditsnya bukanlah hadits yang memotivasi beramal (fadhilah amal), bahkan kebanyakannya adalah hadits yang maudhu’ (palsu) dan dusta.” (Majmu’ Al Fatawa, 25/290-291)

Tetapi ramai yang menjawab semula perkara ini dengan berkata:

“Asal niatnya baik, apa salahnya?”

Sedangkan asasnya sahaja adalah berdusta atas nama Rasulullah SAW, maka di manakah baiknya di situ?

Disiplin Seorang Hamba.

Islam bukan agama murahan yang boleh kita tambah dan tolak isinya sesuka hati. Hanya kerana kita rasakan hudud itu buruk dan tidak adil, kita mahu tolak. Hanya kerana kita rasakan Puasa Rejab itu nampak baik, maka kita tambah. Lebih buruk, kita reka-reka hadith palsu untuk menjustifikasikannya.

Ini jelas tersasar daripada disiplin seorang penganut agama yang benar.

Bukannya tiada ibadah langsung yang boleh dilakukan tanpa perlu mengada-adakan sesuatu yang tiada. Ada sahaja ibadah-ibadah yang wujud, yang boleh dijalankan seperti biasa. Contohnya:

1. Puasa Isnin dan Khamis setiap minggu.

2. Berpuasa pada hari-hari putih(13, 14 dan 15 hb setiap bulan hijrah)

3. Solat sunat rawatib.

4. Solat sunat tahajjud.

5. Solat sunat Dhuha.

6. Bertasbih, bertahmid, bertakbir 33 kali setiap satu selepas solat fardhu.

7. Membaca Al-Quran.

Dan pelbagai lagi ibadah yang jelas mempunyai dalil. Boleh dilakukan dengan hati yang penuh yakin. Tanpa kita perlu mempalsukan sesuatu ibadah atas nama Rasulullah SAW, dan mengada-adakannya. Semuanya boleh kita laksanakan, perhebatkan, untuk menambah pahala, dan melatih diri serta jiwa dalam menghadapai Ramadhan yang semakin menghampiri.

Ada jalan yang bersih lagi jelas untuk beramal. Maka mengapa perlu mengambil jalan yang rapuh dan samar?

Disiplin kita sebagai hamba Allah SWT, adalah melakukan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, haji, zikir, Al-Quran, dalam kadar dan waktu yang dibenarkan oleh Allah SWT. Tidak pula kita tambah-tambah pada sesuatu yang tidak pernah dinyatakan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Apatah lagi mencipta satu solat baru, zikir baru, atau arahan membaca ayat-ayat atau surah-surah tertentu pada hari tertentu yang tidak pula terdapat dalil yang menyatakan sedemikian rupa.

Beribadah itu, ada panduannya. Bukan semberono sahaja.

Bau Ramadhan Yang Semakin Kuat.

Maka dengan Ramadhan yang semakin hampir, stamina iman perlu dibina. Bau Ramadhan telah semakin kuat, dengan hadirnya Rejab. Perlahan-lahan, semakin menghampiri. Maka, kita perlu bijak menyusun perancangan, dalam membina stamina keimanan kita. Jangan salah cara membina stamina iman kita dengan ibadah-ibadah yang merupakan bid’ah(perkara yang diada-adakan). Tetapi kita membina keimanan kita dengan ibadah yang betul, punya dalilnya, punya petunjuknya.

Kita mahu sampai kepada Ramadhan, dalam keadaan telah melakukan persediaan yang mantap. Kita mahu sampai kepada Ramadhan dengan jalan yang betul. Kita tidak mahu nanti, sikap kita membuat ibadah membuta-tuli akan mencacatkan Ramadhan kita. Kita tidak mahu kepercayaan rapuh kita, merosakkan Ramadhan kita.

Dalam Ramadhan, ada juga hadith-hadith palsu yang masyhur. Contohnya hadith berkenaan fadhilat solat tarawih mengikut malamnya. Pada malam pertama, pahalanya sekian-sekian. Pada malam kedua, pahalanya sekian-sekian. Dan seterusnya.

Ya, jika kita tidak membina kefahaman untuk mengetahui kepalsuan hadith-hadith ini, maka kita akan beribadah dengan niat dan kepercayaan yang silap. Ini akan memberikan implikasi yang buruk bukan sahaja di dalam ibadah, bahkan di dalam kehidupan.

Maka Ramadhan yang sepatutnya mendidik kita, tidak tercapai matlamatnya, hanya kerana kita tidak memperkasakan diri kita agar mampu sampai kepadanya dengan jalan yang benar.

Penutup: Hamba Yang Sebenar, Beribadah Dengan Kefahaman.

Kita tidak melaksanakan ibadah dengan dipandu oleh perasaan. Kefahaman mendahului perasaan. Kita tidak melakukan ibadah kerana ibu bapa kita melaksanakannya. Tetapi kita melakukan ibadah adalah kerana Allah SWT mengarahkannya.

Maka perlulah kita sebagai hambaNya yang sebenar, jelas akan hal ini.

Beribadah dengan berdisiplin. Beribadah sebagaimana yang diarahkan.

Bukannya mengada-adakan ibadah, hanya kerana merasakan ‘lagi banyak ibadah, lagi baik’.

Tiadalah apa-apa yang Rasulullah SAW ancam dengan neraka itu, baik pada hakikatnya.

sumber : langitilahi.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: