Qul InsyaAllah


Hari ini saya teringat dengan seorang pekedai di Jordan yang bernama Abu Muaz. Abu Muaz adalah pekedai alat tulis yang baik. Mesra orangnya. Sering tersenyum. Suka duduk di hadapan kedainya sambil memerhatikan orang yang lalu lalang, dan akan setiasa memberikan salam atau mengangkat tangan kepada sesiapa yang melalui kedainya.

Kenapa saya teringat akan dia? Kerana perkataan “InsyaAllah.”

Saya selalu menyebut InsyaAllah apabila orang mendoakan sesuatu, atau saya menyatakan bahawa saya hendak melakukan sesuatu. Ada beberapa orang di Malaysia menganggap saya seakan bermain-main, atau buat macam tak nak buat aja bila saya sebut InsyaAllah.

Saya kehairanan. Kerana, persepsi InsyaAllah saya adalah berbeza.

Abu Muaz yang mendidik saya.

Fitrah InsyaAllah orang kita

Dari kecil, saya didik bahawa: “Kalau tak pasti boleh buat ke tak, maka ucapkan InsyaAllah”

Masyarakat pula saya lihat, sering mengucapkan InsyaAllah sebagai alasan untuk tidak melakukan sesuatu perkara. Sebagai contoh: “Boleh tak kita berjumpa malam ini?” Jika perjumpaan itu tidak disukai, maka kita akan menjawab: “InsyaAllah la, kalau Allah izin” Sedangkan kita di dalam hati memang niatnya tak nak pergi. Nanti kalau yang mengajak bertanya mengapa tak pergi? Kita akan menjawab: “Tadi kan saya kata InsyaAllah je. Belum tentu nak pergi” Begitu.

InsyaAllah menjadi satu perkataan untuk satu kerja yang kita sebenarnya tak nak buat, atau sambil lewa hendak melakukannya.

“Kalau ana nak buat, ana buat. Kalau ana tak nak, ana tak nak la. InsyaAllah la”

Begitu.

Sebab itu saya faham, mengapa beberapa orang nampak kurang senang bila saya sentiasa menyebut insyaAllah baik apabila mendengar doa mereka, atau apabila saya kata saya hendak melaksanakan kerja.

“Mengapa sebut InsyaAllah? Enta tak suka dengan doa tu ke? Enta tak nak buat kerja ke?” Begitulah wajah mereka berbicara.

Saya hanya tersenyum sahaja.

Didikan Abu Muaz

Pada satu hari, saya perlu memfotostat. Maka saya pergi ke kedai alatulis milik Abu Muaz.

“Assalamu’alaikum ya Abu Muaz, biddi taswir hai” Assalamu’alaikum wahai Abu Muaz, aku nak fotostat benda ni.

“Walaikumussalam. Qul insyaAllah” Waalaikumussalam, maka katakanlah InsyaAllah.

Saya hairan. Awalnya, persepsi saya, bila kata InsyaAllah, kita hakikatnya tak nak buat benda tu. Tapi ketika itu, saya betul-betul nak fotostat. Maka buat apa nak sebut insyaAllah? Sebab saya memang nak fotostat. Maka saya bertanya:

“Eisy InsyaAllah? Biddi taswir al an” Kenapa pula InsyaAllah? Aku nak fotostat sekarang.

Abu Muaz tersenyum. “Qul insyaAllah” Maka katakanlah InsyaAllah.

“Ana la afham” Aku tak faham.

Kemudian ketika itu, Abu Muaz mengungkapkan satu kata-kata yang membuatkan saya berjaya menghayati makna sebenar InsyaAllah.

“Ketahuilah bahawa, segala perbuatan kita adalah milik Allah. InsyaAllah bukan bicara kosong. Tetapi ia adalah doa agar Allah benar-benar merealisasikan apa yang kamu hendak buat. Macam kamu nak fotostat. Kalau kamu benar-benar serius hendak fotostat, maka katakanlah InsyaAllah agar Allah benar-benar izinkan kamu fotostat. Faham?”

Dan mata saya terbuka.

MasyaAllah. Rupanya, itulah dia InsyaAllah dalam erti kata sebenar.

Manifestasi ketundukan hamba kepada Rabbnya. Menyatakan betapa segala perbuatan hamba adalah di bawah keizinan Allah SWT. Maka jika benar serius hendak melakukan sesuatu perkara atau ingin mendapatkan sesuatu perkara, maka katakanlah InsyaAllah sebagai doa agar Allah mengizinkannya.

Bukanlah InsyaAllah itu digunakan untuk sesuatu yang tidak mahu dilakukan, atau dilakukan sambil lewa.

Allah SWT berfirman

Ketika ini, saya baru memahami firman Allah SWT:

“Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” Surah Ali-Imran ayat 159.

Ya. Bukanlah tawakkal itu selepas berusaha. Tetapi semasa berusaha itu sudah mula bertawakkal. Sedari kita berniat nak fotostat, sedari itu sudah kita letakkan pergantungan kita kepada Allah SWT agar kita benar-benar boleh fotostat.

Ya, begitu.

InsyaAllah, lambang keseriusan

Maka, sebab itulah kalau apa-apa perkara, saya akan menyebut insyaAllah. Kerana InsyaAllah saya bukan InsyaAllah yang biasa masyarakat kita pakai. InsyaAllah saya adalah InsyaAllah didikan Abu Muaz, dan saya yakin itulah dia InsyaAllah yang Islam ajar.

InsyaAllah bukti keseriusan kita dalam sesuatu perkara. Sebab itu kita sebut: “InsyaAllah” sebagai doa ianya direalisasikan oleh Allah SWT sambil kita mengusahakannya.

Bukannya InsyaAllah itu tanda kesambil lewaan kita, kemalasan kita. Kita sebut: “InsyaAllah” untuk melepaskan diri kita dari bebanan tak mahu buat kerja, dan kemudian kita salahkan Allah SWT apabila kita ditanya mengapa tak buat kerja tadi. “Kan saya dah kata InsyaAllah? Allah yang tak izin. Nak buat macam mana?”

Sedangkan, usaha adalah kerja yang sewajibnya manusia lakukan. Mengapa dipersalahkan Allah pula atas kemalasan kita dalam berusaha?

Penutup: Mari, perbetulkan InsyaAllah kita

Maka saya kira, kita perlu merubah pengunaan InsyaAllah kita. Saya tidak rasa InsyaAllah adalah satu perkataan kecil untuk dibuat main, untuk digunakan sebagai tanda kemalasan.

InsyaAllah, maksudnya: Dengan izin Allah, dengan kehendak Allah.

Bukankah ia berbunyi doa?

Dan ia lambang keseriusan.

Kalau kita nak cemerlang peperiksaan, kita minta pada Allah bukan?

Begitulah dalam melaksanakan kerja. Kita sebutkan InsyaAllah, kerana benar-benar inginkan kerja itu terlaksana. Bukannya sebagai tanda kita tak nak buat kerja.

Maka, terjawab rasanya mengapa saya sering menggumam InsyaAllah bila saya kata saya nak buat sesuatu, atau bila orang beri harapan dan doa kepada saya.

Sebab saya memang serius hendakkan ia menjadi kenyataan.

Sebab InsyaAllah saya, adalah InsyaAllah yang sebenarnya.

sumber: http://ms.langitilahi.com/perkongsian-qul-insyaallah/#more-2696

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: