Layakkah kita meraikannya?


Apakah kita adalah seorang yang layak merayakan Aidilfitri?
Adakah kita layak untuk merayakannya sebenarnya?
Dan bagaimanakah sebenarnya untuk merayakannya?
Perkataan ‘Aid’ atau (‘id) pada awal kata Aidulfitri adalah berkmaksud perayaan. Perkataan ‘fitri’ atau (fitr) pula pulang kepada makna Fitrah.
Melihat semula maknanya, maka hakikatnya Aidilfitri ini adalah perayaan merayakan fitrah. Fitrah apakah yang hendak dirayakan ini? Mengapa namanya demikian?
Maka di sinilah kita perlu melihat semula kepada Ramadhan. Apakah kegunaan Ramadhan?
Ramadhan adalah kem pengislahan diri, peningkatan peribadi, pembersihan hati. Sekiranya kita benar-benar mengisi Ramadhan dengan baik, maka kita akan keluar daripada menjadi seseorang yang baru. Seseorang yang seakan bayi baru lahir. Suci sesuci fitrahnya yang sebenar. Kita akan kembali kepada fitrah kita yang hakiki, yakni menjadi hamba Allah SWT yang taat.
Aidilfitri wujud, untuk meraikan graduan-graduan Ramadhan yang berjaya kembali kepada fitrah. Aidilfitri wujud, untuk meraikan mereka yang bermati-matian mengisi Ramadhan dengan amal ibadah dengan tujuan untuk kembali kepada fitrah ini. Aidilfitri wujud, untuk mereka yang menghidupkan Ramadhan dan mengambil manfaatnya dengan bersungguh-sungguh, untuk dibawa keluar manfaatnya itu pada sebelah bulan yang lain.
Itulah maknanya Aidilfitri.
Muslimin dan muslimat sekelian,
Persoalannya, apakah kita mengisi Ramadhan dengan bersungguh-sungguh? Persoalannya, apakah kita menghidupkan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh? Persoalannya, apakah kita menghargai Ramadhan dengan amalan-amalan kita? Persoalannya, apakah kita benar-benar mengerah diri untuk menyerap khasiat Ramadhan?
Dan kemudian kita bergembira-gembira walaupun Ramadhan belum tamat bahkan sudah hampir hendak pergi, dalam keadaan kita bersambil lewa dan bermain-main dalam melayani Ramadhan?
Kita perlu ada rasa sedikit malu pada diri . Sebab , Aidilfitri mungkin tidak layak untuk kita.
Perasan atau tidak, untuk mereka yang bermain-main di dalam Ramadhan, yang tidak bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan, Aidilfitri jelas sekali bukan satu perayaan untuk mereka.
Sebab kita tidak berjaya kembali kepada fitrah. Ramadhan kita isi dengan drama-drama dan perkara yang melalaikan. Kita tidak bangkit pun qiam. Kita tak banyakkan pun sedekah. Kita tak rancang apa-apa pun amal untuk Ramadhan. Kita tidak pula melayan Ramadhan dengan ‘keimanan dan berkira-kira’.( )
Bahkan ada antara kita, di dalam Ramadhan masih bermaksiat, ingkar pada Allah, hidup bukan di atas sistemNya, hidup bukan mencari redhaNya.
Untuk kita yang menyangka Aidilfitri adalah hanya perayaan kita berjaya menahan lapar dan dahaga selama 30 hari, adakah Aidilfitri untuk kita? Kita patut ada rasa malu.
Muslimin dan muslimat…
Hakikatnya, yang dinamakan Aidilfitri itu hanyalah pada 1hb Syawal sahaja. Sebab itu, pada hari itu diharamkan untuk seluruh ummat Islam berpuasa.
Hari itu, memang ummat Islam diarahkan bergembira, memakai pakaian yang lawa-lawa, memakai bau-bauan yang wangi, dan diarahkan untuk berkumpul serta membesarkan Allah SWT sebesar-besarnya untuk mensyukuri pengembalian mereka kepada fitrah itu secara beramai-ramai. Kemudian pulang dari masjid untuk berziarah-ziarah.
Dan pada 2 Syawal kita telah boleh berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal.
Namun kita, dengan tanpa rasa malu, walaupun mengisi Ramadhan sekadar sambil lewa sahaja, beraya sampai 30 hari lamanya. Kononnya membalas dendam pantang itu ini selama 30 hari di bulan Ramadhan. Bahkan ada pula yang merayakan Hari Raya lebih dari 30 hari.
Bukanlah untuk menyelar mereka yang berziarah walaupun selepas 1hb Syawal. Tidak mengapa berziarah. Ziarahlah memang dianjurkan. Tetapi hakikatnya kita kadang-kadang meletakkan kegembiraan kita pada yang tidak sepatutunya.
Hamba-hamba Allah yang sebenar itu, adalah yang mengambil manisan dunia sekadarnya sahaja. Bukannya melebih-lebih.
Kita secara jujurnya, perlu ada malu pada diri kita sendiri.
Bukanlah untuk menghalang diri kita dari menyambut hari raya. Aidilfitri memang disyariatkan oleh Islam. Tetapi kita perlu malu dengan sikap kita yang berulang-ulang setiap tahun, dimana kita tidaklah mengisi Ramadhan sesungguh mana pun. Namun menyambut Aidilfitri seakan-akan Aidilfitri itu benar-benar untuk kita.
Ada dikalangan kita pula telah mula mengucapkan selamat hari raya kepada orang lain, walau pun semasa masih lagi berada di bulan Ramadhan. Seolah-olah tidak sabar-sabbar untuk meninggalkan Ramadhan.
Mereka telah meninggalkan Ramadhan hadiah Allah yang sebenarnya, sebelum Ramadhan meninggalkan mereka. Sepatutnya, kita dakap Ramadhan erat-erat sebelum ramadhan meninggalkan kita. Sepatutnya, kita ada rasa‘terpaksa’ terpisah dengan Ramadhan. Bukan me’rela’kan perpisahan kita dengannya.
Sebab Ramadhan adalah hadiah hakiki untuk manusia. Sebab Ramadhan adalah salah satu tanda kasih sayang Allah pada kita.
Sedang Aidilfitri, adalah hadiah kepada mereka yang berjaya melayani hadiah Ramadhan dengan baik. Berjaya menghidupkan seperti yang di perintahkan oleh Allah dan di tunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Barangsiapa yang tidak melayani, menghargai hadiah Ramadhan daripada Allah itu dengan baik, hakikatnya Aidilfitri bukanlah untuknya.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri agar kita dapat memperbaiki segala kelemahan kita. Marilah kita berdoa supaya Allah menerima segala amalan kita dalam bulan ramadhan yang lepas walau pun kita sedar banyak kekurangannya.

sumber : langitilahi (dengan ubahsuai)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: