Allah Menyeru Kamu, Allah Menjaga Kamu


Manusia sering alpa dan mudah leka dengan kesenangan. Nikmat-nikmat yang melimpah ruah di sekelilingnya mudah membuatkannya lupa dengan tanggungjawabnya terhadap Allah SWT sebagai hamba. Biasanya, manusia dengan banyak kesenangan, lebih cenderung menggunakan atau dipergunakan oleh kesenangannya untuk jauh daripada Allah SWT.

Maka kadangkala, kehidupan akan di’gegar’kan oleh Allah SWT.

Seperti orang yang mengantuk digegarkan oleh rakan di sebelah agar dia terjaga, maka begitulah ujian-ujian yang diberikan kepada manusia.

Seakan-akan ia seruan lembut daripada Allah SWT: “Sedarlah dari kealpaanmu, dan merapatlahg kepadaKu.”

Maka ada orang berkata kepada saya: “Tetapi saya tidak pernah mengecapi kesenangan pun seumur hidup saya!”

Saya akan menjawab: “Sama ada kamu yang tidak berusaha bersungguh-sungguh, ataupun Allah tahu sekiranya kamu memperolehi kesenangan, kamu akan lebih kufur daripada hari ini.”

Tidakkah kamu melihat Allah ingin menjaga kamu?

Allah, aturanNya tidak pernah sia-sia. Tinggal manusia sahaja tidak menyedarinya.

Satu keyakinan yang pasti, Allah tidak pernah melakukan sesuatu perkara dengan sia-sia. Semuanya pasti ada hikmah dan pengajarannya. Termasuklah dengan apa sahaja yang diberikan kepada kita. Tinggal biasanya, kita tidak memerhatikannya, menelitinya, ataupun ilmu kita tidak sampai untuk menyedari hikmahNya.

Satu yang perlu ditanam di dalam jiwa kita adalah bersangka baik kepadaNya dalam segala hal. Kita kena faham bahawa, Dia Maha Mengetahui, dan kita langsung tidak mengetahui apa-apa.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 216.

Allah sedang menyeru kamu. Memanggil dekat ke sisiNya.

Jangan fikir Allah tidak menyayangi kita apabila Dia memberikan kita kesusahan dan kesukaran. Jangan sangka Allah mebenci kita apabila Dia menguji dan memberikan bencana.

Tidakkah kita perasan apabila kita ditimpa kesusahan, jiwa kita automatik memerlukan sokongan? Dan akhirnya kita faham bahawa tiada sokongan yang lebih kuat melainkan sokongan Allah SWT. Akhirnya kita bergerak kepadaNya, mengadu kepadaNya, meminta bantuanNya.

Maka kesusahan, ujian dan bala bencana yang menimpa kita tadi, hakikatnya adalah ‘panggilan kasih sayang’ Allah kepada kita. Bagaimana agaknya kalau kita tidak ditimpa kesusahan? Apakah kita lebih mudah mengingati Allah SWT?

“Dan apa musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” Surah Ash-Shura ayat 30.

Tidak semestinya maksud ‘perbuatan tanganmu sendiri’ di sini adalah dosa dan maksiat seperti membunuh, mencuri, berzina dan sebagainya. Jauh daripada Allah, lupa kepada Allah, itu juga adalah termasuk dalam ‘perbuatan tanganmu sendiri’ juga sebenarnya.

Maka, musibah datang memberikan peringatan. Kenapa Allah memberikan peringatan? Kerana Allah bersedia untuk memberikan keampunan. Sebab itu ayat itu ditutup dengna ‘dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan-kesalahanmu(yang menyebabkan kamu ditimpa musibah)’.

Semua orang-orang kaya di zaman Rasulullah, tetap melalui ujian. Saidina Uthman bin Affan RA diuji dengan kematian kedua-dua isterinya(Ruqayyah dan Ummi Kalthum). Abdurrahman bin Auf RA diuji dengan kakinya yang tempang apabila ditusuk dengan 21 tusukan ketika mempertahankan Rasulullah di Uhud. Belum dikira ujiannya yang meninggalkan semua hartanya di Makkah ketika Hijrah. Sama begitu juga dengan jutawan Suhaib Ar-Rumy, yang pergi ke Madinah sehelai sepinggang apabila hijrah.

Ujian-ujian ini, yang membuatkan mereka lebih menghargai harta-harta yang mereka ada. Adakah dengan menghargai itu bermakna mereka menyimpannya dan bakhil tidak menggunakannya untuk Islam? Tidak. Mereka menjadi seorang yang sangat dermawan, membantu Islam dengan kekayaan mereka, dan mereka tidak sesekali meletakkan kesenangan-kesenangan mereka di dalam jiwa.

Kerana mereka telah diproses oleh ujian yang Allah berikan.

Bagaimana kalau Allah tidak memberikan mereka ujian? Apakah mereka akan menjadi seorang yang sama dengan apa yang mereka jadi di dalam sejarah?

Semestinya tidak. Hal ini kerana, hanya orang yang pernah kehilangan nikmat, tahu apa nikmatnya nikmat. Lebih-lebih lagi apabila jiwanya telah berhubung dengan Allah SWT.

Allah sedang menjaga kamu, menjauhkan kamu dari keburukan.

Ada pula yang mengadu bahawa dia langsung tidak pernah senang. Hidupnya penuh dengan ujian. Hidupnya penuh dengan kesengsaraan.

Guru Aqidah saya, Dr Samirah Tohir pernah berkata:

“Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Ada kemungkinan kesenangan tidak datang kepada kamu, kerana Allah Maha Tahu bahawa kamu akan menggunakan kesenangan itu ke arah kemungkaran nanti.”

Tidakkah kita memerhatikan? Ya, mungkin kita akan kata: “Mana ada. Saya akan gunakannya sebaik-baiknya!” Tetapi siapakah kita hendak menandingi pengetahuan Allah SWT?

Kita melihat ramai orang yang hidup dalam kesenangan tertipu dengan kesenangan mereka, tidak mempunyai ketabahan seperti ketabahan kita yang hidup sukar, tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah seperti kita yang seringkali mendekati Allah mengadu dan memohon. Bagaimana agaknya kita apabila diberikan kesenangan?

Tidakkah kita memerhatikan?

Allah sedang menjaga kita, memuliakan kita, mengangkat kita.

“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” Surah At-Taghabun ayat 11.

Tidakkah kita merasa bahagia?

Penutup: Sangka baik kepada Allah, dan melihat segala yang berlaku dengan pandangan mukmin.

Sebagai seorang yang beriman kepada Allah tanpa keraguan, kita sepatutnya mengekstrak hanya kebaikan-kebaikan dari apa sahaja yang berlaku. Seorang yang beriman kepada Allah, akan senantiasa positif kepadaNya. Hal ini kerana, keimanan-keimanannya memandu. Keimanan-keimanannya memimpin. Kita yakin Allah mengharamkan kezaliman pada diriNya, kita yakin bahawa Allah tidak Memungkiri JanjiNya, Kita yakin Allah tidak akan melakukan perkara yang sia-sia.

Maka kita yakin, apabila Allah mengekalkan kita di satu tempat, ada hikmahnya.

Maka kita yakin, apabila Allah memberikan kita bala bencana, ada hikmahnya.

Semuanya perlu kita hubungkan kembali dengan Allah, kehidupan kita, dan akhirat. maka kita akan melihat, memang benar, semua ini bukan sia-sia. Ada sebab kenapa Allah buat demikian kepada kita.

Ini pandangan seorang mukmin.

Sebab itu, orang mukmin memang manusia biasa yang imannya turut turun dan naik. Tetapi orang mukmin, apabila dia berada di bawah, dia tidak akan berlama-lamanya pada kerendahan keimanannya. Dia akan segera naik. Dan apabila dia naik, dia naik lebih tinggi dari sebelumnya.

Orang mukmin sentiasa bahagia dengan kepercayaan ini.

Jika tidak, Sumaiyah yang disula sudah pasti meraung-raung mencaci Allah ketika Abu Jahal hendak menyulanya. Jika tidak, Suhaib Ar-Rumy pasti sudah mencaci-caci Allah ketika dia terpaksa meninggalkan hartanya yang susah payah dikumpulkannya. Jika tidak, Bilal bin Rabah pasti sudah mencaci-caci Allah apabila dia diseret di tengah padang pasir yang panas dan dihempapkan batu di atasnya.

Tidakkah kita memerhatikan?

sumber: langitilahi.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: