Antara Ujian Kesenagan Dan Kesukaran


Pernah menghadapi kesukaran dalam hidup? Atau pun menghadapi saat-saat antara hidup dan mati? Pernahkah?

Apakah yang anda rasa?

Perasankah anda bahawa, manusia ini, apabila diasak semakin hebat, akan ada satu kekuatan di dalam jiwanya untuk melakukan defensif. Tidak kiralah sama ada defensif itu kuat atau lemah, lama bertahan atau sebentar, defensif itu secara automatiknya tetap akan wujud bila kita menghadapi kesukaran. Tidak kira juga, sama ada defensif itu dalam bentuk tabah bersabar, atau bangkit semula gagah melawan kesukaran itu.

Manusia, memang mempunyai resistensi sedemikian apabila berhadapan kesukaran.

Cuma manusia, sering jatuh bila diuji kesenangan.

Seorang sahabat saya, bernama Ammar bin Ismail, satu hari berkata:

“ Manusia ni, bila dia diuji kesukaran yang teramat sangat, sebenarnya hati dia akan kembali bersih. Di dalam hatinya akan ada ALLAH”

Kata-katanya itu memang biasa didengari dari mana-mana orang yang menyampaikan tazkirah. Tetapi ketika dia mengucapkan kata-kata biasa ini, saya terasa hati saya disentuh.

Sebenarnya perkara ini, kita dapat lihat dalam sehari-hari kehidupan kita sebenarnya. Perasan atau tidak, kita lebih mudah mengadu kepada ALLAH SWT jika ada kesukaran menimpa kita. Sebagai contoh, bila pensel kita hilang dan tidak dijumpai, secara tidak sedar, kita akan sebut:

“ ALLAH, mana aku punya pensel?”

Tetapi tidak jika pensel itu tersedia di hadapan mata kita. Dan apabila kita berjumpa dengan pensel kita, kita akan merasa bersyukur teramat sangat. Lalu kita secara tidak sedar juga akan mengucapkan “ Alhamdulillah”. Cuma, bila kita sudah menggunakan pensel kita dengan baik, kita sudah lupa akan ALLAH SWT. Tambah jika kita tidak lagi lupa di mana kita meletakkan pensel kita.

ALLAH SWT berfirman,

“ Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilang semua yang(biasa) kamu seru, kecuali DIA(ALLAH). Tetapi apabila DIA menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling (dari ALLAH) dan manusia memang selalunya kufur” Surah Al-Israa ayat 67.

Ya, apabila ombak menggunung tinggi melebihi ketinggian dua batang pokok kelapa di hadapan kita, pastinya kita tidak akan terfikir sesiapa lagi melainkan ALLAH. Saat itu, kita kembali kepada fitrah, bertindak kerdil di hadapan ALLAH SWT secara automatik. Kerana sebenarnya kita sedar bahawa, tiadalah yang boleh menyelamatkan kita selain ALLAH. Tetapi, bila kita selamat, bila kita berada dalam keadaan tenang dan tenteram, kita lupa akan ALLAH SWT.

Cuba kita lihat kepada Firaun, Raja Namrud, atau Qarun. Apakah ujian yang telah ALLAH turunkan kepada mereka? Bukankah kesenangan, kekuasaan dan harta yang melimpah ruah? Tetapi mereka akhirnya menjadi salah satu dari bahan-bahan bakar api neraka. Mereka tertipu dengan kesenangan yang mereka ada.

Kesenangan ibarat virus senyap yang akan mengendurkan semangat survival manusia dalam ketaatan mereka kepada ALLAH. Kesenangan adalah ibarat tilam selesa dan bantal yang empuk, membuatkan kita terus memanjangkan lena tanpa menyedari kehidupan itu perlu terus untuk kita jalani. Akhirnya, tanpa sedar, kesenangan akan membawa kita jauh dari ALLAH SWT.

Di sini, bukanlah saya hendak katakan bahawa kesenangan itu satu keburukan dan kerosakan. Bukanlah saya hendak mengajak kita menjauhi kesenangan. Tetapi, saya sekadar berpesan kepada diri saya dan anda, supaya kita sentiasa beringat-ingat dalam kesenangan. Janganlah kesenangan kita ini menipu diri kita, lantas membuatkan kita jauh dari ALLAH SWT.

Di dalam cerita Sang Murabbi, Ustaz Rahmat ada bercerita:

“Jangan ante jadi monyet!, sewaktu diatas pokok ada 3 jenis angin datang. Angin topan, angin bahurok, angin puting beliung. Tidak jatuh malah makin kencang pegangannya. Tapi bila angin sepoi bahasa datang, mengurut ubun-ubun, merehatkan tidak semena-mena pegangannya longgar dan akhirnya jatuh”

Kesenangan memang mudah buat kita lupa.

Hari ini, memang kesenangan dunia itulah yang disebar-sebarkan agar manusia kejar-kejarkan. Semata-mata hendak merebut tanah sejengkal, sanggup berbunuhan, semata-mata inginkan kuasa, sanggup melakukan pengingkaran kepada TUHAN. Kesenangan itu dikejar dengan berlebih-lebihan sehingga menjauhkan diri daripada ALLAH, dan bila dikecapi, tambah menjauhkan diri daripadaNya.

Jangan kita lepaskan pegangan kita kepada ALLAH kerana kesenangan. Contohilah mereka yang diuji dengan kesenangan tetapi mereka berjaya, seperti Nabi Sulaiman, Nabi Dawud, Nabi Zulkifli, Abdurrahman bin Auf, Uthman bin Affan dan Suhayb Ar-Rumy serta lain-lain manusia dalam lipatan sejarah yang telah membuktikan kepada kita keteguhan iman mereka. Jika mereka berjaya menembus syurga dalam keadaan kekayaan mereka tidak ternilai banyaknya, apatah lagi kita.

Bergeraklah, bersyukurlah dengan kesenangan yang kita ada, dan kembalilah kepada ALLAH SWT dalam keadaan hati yang sempurna. Hal ini kerana, setinggi mana pun kita, kita hanyalah HAMBA kepadaNya.

sumber: langitilahi.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: