Beriman hingga ke akhir


Kalau kita ditanya: “Apakah kamu beriman kepada Allah?”

Kita pastinya akan pantas menjawab: “Ya”

Kerana, itu adalah keyakinan kita. Benar?

Namun kadangkala, keyakinan kita ini akan tergugah bila diuji. Saat-saat sukar dan pertolongan lambat tiba, kita mula ragu dan mempersoalkan: “Ish, Allah ni dengar tak doa aku?”

Bila kita ditimpa kecelakaan, kita akan merungut: “Kenapa la Allah buat macam ni kat aku?”

Bila kita cuba bertaubat dari dosa, tetapi kemudian asyik mengulanginya, kita berkata: “Allah ni memang takdirkan aku masuk neraka ke?”

Saya yakin, kebanyakan kita akan mengalami situasi-situasi di atas, atau lebih kurang demikian. Ujian-ujian akan menggoyahkan keimanan, menyebabkan kepercayaan kita kepada Rabb kita sedikit sebanyak tergugah. Tambahan pula kepada mereka yang diuji bertubi-tubi, untuk masa yang panjang. Mereka akan terasa seperti Allah sedang menyeksa mereka.

Jadi, bagaimana kita hendak beriman hingga ke akhirnya?

“Hilal, Bersangka baiklah enta kepada Allah” Itu antara pesanan Ustaz Mahadzir, warden MATRI kepada saya. Saya sudah tidak ingat bila dia memberikan pesanan itu kepada saya, namun ingatan itu tidak pernah pudar pada diri saya.

Ya, kadangkala kita susah, kita kesempitan, kita berdosa, maka kita bergerak dengan keyakinan kita memohon kepada Allah Yang Maha Mendengar, Allah Yang Maha Perkasa, Allah Yang Mampu Berbuat Apa-apa Sahaja. Namun, doa kita terasa seperti tidak makbul, kelapangan yang kita minta tidak datang malah hidup bertambah sempit, taubat kita terasa seperti tidak diterima dan kita sekali lagi terjerumus ke dalam lembah dosa kerana kelamahan kita.

Kita terasa seperti: “Allah dah tinggalkan aku ke?”

Syaitan ketika itu akan mencucuk-cucuk kita. “Ya, Allah dah tinggalkan kau.”, “Allah lah yang semmpitkan hidup kau ni, buat kau susah”, “Allah tak pandang kau lagi, kau terlalu berdosa”

Saya dulu pernah rasa begitu juga. Kadang2, sekarang pun, bila terlalu susah, saya akan terasa begitu. Bila doa rasa tidak dilayan, saya akan terasa begitu. Bila buat dosa, dan tidak mampu meninggalkan dosa itu walaupun saya telah berusaha, saya akan terasa begitu.

Kadang-kadang terasa diri ini dipeluk kegelapan. Pelbagai perkara meracuni fikiran.

Saat inilah selalunya kata-kata Ustaz Mahadzir akan datang membelai:

“Hilal, bersangka baiklah enta kepada Allah”

Bersangka baik. Bersangka baik kepada manusia yang kita nampak pun sudah sukar. Apatah lagi hendak bersangka baik kepada Allah yang ghaib. Namun, di sinilah sebenarnya ukuran keimanan kita. Iman itu sukar kerana kita banyak ber’komunikasi’ dengan keghaiban, dengan tidak terlihat. Beriman kepada Allah yang ghaib, beriman kepada malaikat yang ghaib, beriman kepada hari kiamat yang tidak tahu bila, beriman kepada qada’ qadar yang kita tidak tahu apa-apa. Tiga dari lima rukun iman adalah perkara ghaib yang tidak akan kita tahu berkenaan dengannya, melainkan apa yang telah Rasul dan Kitab beritahu kepada kita.

Bukan mudah bersangka baik kepada Allah, tetapi di sinilah bukti keimanan kita.

Berapa ramai yang memilih untuk meneruskan keimanannya hingga ke hujung waktu? Berapa ramai pula yang tersungkur dengan ujian keimanan ini dan memilih untuk meninggalkan Allah?

Di dalam sejarah manusia, ada beberapa cerita yang membangkitkan kesedaran saya berkenaan hal ini.

Pertamanya adalah kisah Nabi Musa AS.

Ketika Allah mengarahkannya membawa Bani Israel melarikan diri dari Firaun pada waktu malam, Nabi Musa AS telah mendapati dirinya dan Bani Israel terperangkap antara Laut Mati dan tentera Firaun yang mengejar di belakang pada waktu pagi esoknya.

Bani Israel ketika itu sampai ada yang berkata: ““ Musa, apakah yang kau bawa kami ini? Di hadapan kita laut, di belakang kita Firaun dan bala tenteranya. Nampaknya kita akan tersusur, kita akan hancur!”

Apakah kata-kata Nabi Musa AS ketika itu?

“Kalla…” Sekali-kali tidak. Sekali-kali kita tidak akan hancur.

Kenapa Nabi Musa AS dapat menyatakan sedemikian rupa, walau nyawanya tersepit antara Laut Mati dan Tentera Firaun?

Kerana Nabi Musa beriman kepada Allah hingga ke akhirnya. Dia yakin, Allah tidak akan meninggalkannya. Dia yakin, Allah tidak akan memungkiri janji-janji-Nya.

Akhirnya, laut mati terbelah dipukul tongkat Nabi Musa, mukjizat kurniaan Allah, dan Firaun mati lemas di Laut Mati ketika cuba mengejar.

Kedua, adalah kisah Nabi Ibrahim.

Apabila Raja Namrud telah melontar Nabi Ibrahim AS ke dalam mati, ketika Nabi Ibrahim AS di tengah udara, tercampak ke arah api itu, Jibril telah datang dan menawarkan bantuan.

Nabi Ibrahim berkata: “Kalau daripada kau, aku tidak memerlukan”

Saat nyawanya di penghujung, ketika tubuhnya terlontar ke dalam api, Nabi Ibrahim tenang sahaja, tidak ketakutan, malah apabila malaikat terhebat, Jibril menawarkan bantuan, Nabi Ibrahim menolak. Kenapa?

Kerana Nabi Ibrahim AS beriman kepada Allah hingga ke akhirnya. Dia yakin, Allah tidak akan meninggalkannya. Dia yakin, Allah tidak akan memungkiri janji-janji-Nnya.

Akhirnya, Nabi Ibrahim tidak terbakar pun apabila berada di dalam api itu. Tidak lama kemudian, Raja Namrud mati kerana diserang tentera nyamuk yang Allah hantar.

Ketiga, Sirah Rasulullah SAW ketika berhijrah dengan Abu Bakr RA.

Ketika kafir Quraisy tiba di muka pintu gua tsur, Abu Bakr RA sudah ketakutan teramat sangat. Hingga dia berkata:

“Ya Rasulullah, andai mereka tunduk sahaja, pastinya mereka akan dapat melihat kita di dalam gua ini”

Rasulullah SAW menjawab: “Wahai Abu Bakr, apakah pandanganmu, jika kita berdua dan yang ketiganya adalah Allah?”

Saat nyawanya menjadi taruhan, dan kepalanya diletakkan ganjaran 100 ekor unta, musuh pula sudah berada di pintu gua, Rasulullah SAW boleh setenang itu. Kenapa?

Kerana Rasulullah SAW beriman kepada Allah hingga ke akhirnya. Dia yakin, Allah tidak akan meninggalkannya. Dia yakin, Allah tidak akan memungkiri janji-janji-Nya.

Akhirnya, Allah menurunkan bantuan berbentuk burung yang membuat sarang di muka pintu gua, dan labah-labah yang membina jaring di pintu gua juga. Kaum Quraisy terus beredar. Seterusnya, Rasulullah SAW berjaya mendirikan daulah Islam di Madinah, dan seterusnya berjaya menundukkan Makkah dan Islam berjaya tersebar ke seluruh dunia, dan kita dapat mereguk nikmat Iman dan Islam hari ini.

Keempat, kisah Ka’ab bin Malik.

Ka’ab bin Malik, telah dipulaukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, atas arahan Allah SWT kerana dia tidak mengikuti Perang Tabuk dengan sengaja. Dia dan dua lagi sahabat telah dipulaukan, kerana mereka bertiga tidak berbohong seperti orang munafiq berbohong. Mereka bertiga, tidak memberikan apa-apa alasan, dan bercakap benar menyatakan bahawa mereka tidak pergi kerana terlalai dengan dunia.

Selama 40 hari, Ka’ab bin Malik tidak dilayan sesiapa. Apabila dia memberi salam, tiada siapa menyahut. Apabila dia datang ke masjid, tiada siapa menyapa. Apabila menegur, tiada siapa menyahut. Semuanya taat dengan perintah Allah dan Rasul untuk memboikot Ka’ab bin Malik.

Pada hari ke-40, ujian ditambah lagi dengan Rasulullah SAW melarang isteri Ka’ab bin Malik mendekati suaminya itu. Ka’ab bin Malik benar-benar diasingkan. Keseorangan.

Bagaimana agaknya keadaanya ketika itu?

Kalau kita, agaknya bagaimana tindakan kita?

Tetapi tahukah apa yang Ka’ab bin Malik buat?

Dia tetap pergi ke masjid, dia tetap memberikan salam, dia tetap menyapa sahabat-sahabat, dia tetap keluar mengikuti majlis-majlis Rasulullah SAW. Walaupun dia terasa dirinya seperti berada di negeri asing memandangkan semmua orang tidak melayannya.

Malah, saat dia sedang diboikot itu, datang surat dari Raja Ghassan, yang ingin ‘membeli’ Ka’ab bin Malik kerana dia mendengar Ka’ab bin Malik disisihkan dari orang Islam. Raja Ghassan inginkan Ka’ab bin Malik agar mengkhianati Rasulullah. Raja Ghassan menawarkan Ka’ab bin Malik harta kekayaan dan kekuatan.

Namun Ka’ab bin Malik mengoyakkan surat itu dan berkata: “Ini adalah ujian”

Kenapa Ka’ab bin Malik mampu berbuat demikian? Kenapa pada saat-saat dia ditinggalkan oleh Rasul Allah(bukan orang biasa), dia masih kuat dan tabah? Saat-saat dia disisihkan umat Islam, kenapa dia masih terus berusaha menjaga keislamannya? Kenapa?

Kerana Ka’ab bin Malik beriman kepada Allah hingga akhirnya. Dia yakin ini semua adalah ujian, kafarah dosanya kerana meninggalkan perang. Dia juga yakin Allah SWT tidak akan menzaliminya. Dia juga yakin Allah SWT tidak akan memungkiri janji-janji-Nya. Dia yakin bahawa, ini semua pasti ada hikmahnya. Jika tidak, kenapa orang yang bercakap benar sahaja dihukum.

Akhirnya, Allah menurunkan ayat Al-Quran, mengampunkan mereka bertiga secara terang-terangan. Hal ini sekaligus meningkatkan darjat Ka’ab bin Malik dan dua lagi sahabatnya kerana mereka telah menjadi penyebab untuk ayat Al-Quran turun. Rasulullah SAW memeluk erat Ka’ab bin Malik ketika itu. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW turut meraikan Ka’ab bin Malik. Semua mengagumi ketabahan dan kecekalannya dalam menghadapi ujian.

Tahukah, apa hikmah orang yang bercakap benar sahaja dihukum ketika itu?

Sebab Allah mahu menunjukkan ‘kualiti keimanan’ orang yang benar-benar beriman.

Jadi, kita bagaimana?

Bila berhadapan ujian, bila berusaha tetapi sering menemui kegagalan, saat merasa sempit, ketika merasa ditinggalkan, bagaimana kita bertindak? Merungut-rungut kepada Allah? Atau memilih untuk terus meyakini-Nya, dan beriman kepada-Nya?

Sesungguhnya, kepada orang-orang beriman itu, hanyalah kemenangan di akhirnya.

Kalau bukan kemenangan di dunia, pastinya kemenangan di akhirat menanti manusia yang beriman kepada Allah SWT.

Namun, kemenangan yang pasti ini, dan ganjaran besar di pengakhiran nanti, tidak akan diberi percuma. Ada ujian untuk memastikan kita lulus bagi mencapai gulungan ‘ijazah’ kemenangan ini.

Mari kita lihat apa firman Allah SWT berkenaan perkara yang mesti kita ada jika mahukan kemenangan/ganjaran daripadaNya:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Keimanan itu akan terbukti, apabila kita berjaya bertahan hingga ke akhirnya. Dan apabila kita berjaya beriman hingga ke akhirnya, ketika itulah ganjaran akan tiba. Kita ini, tidak akan mampu hendak bertahan beriman hingga ke akhirnya, tanpa bersangka baik kepada Allah SWT.

Maka, marilah sama-sama kita, bersangka baik kepada Allah, dan memilih untuk terus beriman kepada-Nya hingga ke akhirnya. Walau dalam kesempitan, walau terdorong ke tebing gaung yang dalam, tetapkanlah iman kita agar tidak tergugah.

Allah hendak memberikan sesuatu yang besar kepada kita.

sumber: langitilahi.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: