Dosa pada pandangan orang beriman


Dosa perlu dipandang besar oleh orang yang beriman. Saya teringat pada satu hari, pensyarah saya bernama Dr Asyraf Banu Kinanah menerangkan berkenaan dosa-dosa. Dari bicaranya, semua dosa-dosa itu seakan besar. Maka seorang pelajar bertanya:

“Ya duktur, wein sogho’ir?” Wahai Doktor, di manakah dosa-dosa kecil?

Dr Asyraf Banu Kinanah menjawab: “Apakah wujud dosa yang boleh dikira kecil?”

Kata-katanya, bukanlah menafikan bahawa wujudnya dosa-dosa kecil. Tetapi dia hakikatnya hendak menyatakan bahawa, dosa yang kecil itu juga adalah besar bagi orang yang beriman.

Dosa itu sendiri, merupakan bencana pada kita.

Ibarat gunung yang menghempap. Begitulah jiwa kita tidak tenang bila melakukan dosa.

Kerana dosa akan membunuh jiwa kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan dosa, maka akan tumbuh pada hatinya satu bintik hitam, sekiranya dia bertaubat, maka akan terkikislah bintik hitam itu. Sekiranya dia tidak bertaubat, maka akan merebaklah binitik hitam itu hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” Riwayat Ibn Majah.

Bila hati menjadi hitam

Bila hati menjadi hitam, kita hilang arah, tertutup dari penerimaan terhadap cahaya Allah SWT. Tidak lagi takut pada azab-azab Allah SWT. Maka, mulalah berlakunya pembaziran masa, perlakuan maksiat yang lebih besar dan menarik kita pada kehancuran.

Allah SWT berfirman:

“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.” Surah Al-Muthaffifin ayat 14.

Kita jadi buta. Jiwa kita terbunuh oleh dosa.

Merugi. Orang-orang dosa itu merugi

Allah SWT berfirman:

“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Surah Asy-Syams ayat 8-10.

Maka, tidakkah kita rasa gusar dengan dosa-dosa kita?

Sudah berapa lama kita hidup? Mari pandang ke belakang, mari lihat ke arah semalam. Berapa banyak dosa kita sudah terkumpul dan tidak pula kita teringat untuk bersimpuh di hadapan Allah SWT meminta keampunan?

Adakah orang beriman tidak melakukan dosa? Tidak. Orang yang beriman juga melakukan dosa. Tetapi apakah beza orang beriman yang melakukan dosa dengan orang yang tidak beriman melakukan dosa?

Orang beriman, jiwanya akan bergetar hebat ketakutan bila dia melakukan dosa. Dia akan merasa resah, gelisah dan tidak tenang dengan kewujudan dosanya. Maka dia akan bergerak pantas memohon keampunan kepada Allah SWT. Dia tidak redha dengan dirinya yang berdosa.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” Surah Al-Anfal ayat 2.

Maka?

Apa yang anda tunggu lagi?

Bersimpuhlah.

Mohon keampunan.

sumber: langitilahi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: