Cita-cita yang abadi


Ada satu cita-cita yang biasanya orang terlupa untuk tanamkan dalam dirinya.

Cita-cita kepada akhirat.

Ya. Apa cita-cita akhirat kita? Pernahkah kita tanamkan di dalam diri dan jiwa kita?

Biasanya, apabila ditanya berkenaan akhirat, semua akan berkata hendak masuk syurga. Namun biasanya juga, jawapan kita itu ibarat angin yang berlalu. Usaha untuk merealisasikan jawapan ‘nak masuk syurga’ dengan jawapan ‘saya nak jadi engineer/doktor/pensyarah’ adalah sangat berbeza sekali.

Siapa yang mengambil serius akan cita-cita kepada akhiratnya?

Manusia yang menjadikan akhirat sebagai cita-cita mereka yang serius, bukan membuatkannya berhenti bercita-cita akan hal dunia. Bahkan, cita-cita mereka akan hal keduniaan menjadi lebih kukuh apabila dasarnya adalah cita-cita akhirat.

Manusia yang melihat akhirat sebagai cita-cita utama mereka, akan faham bahawa modal yang mereka ada untuk mencapai cita-cita utama mereka itu hanyalah dunia. Waktu kehidupan mereka. Maka, mereka akan menyusun strategi bagi mendapatkan akhirat itu, dengan mempergunakan dunia yang ada.

Di sini, apa sahaja cita-citanya. Baik skor dalam peperiksaan, baik menjawat jawatan tertentu, hatta cita-cita untuk mendapat pasangan dan membina rumah serta mendapatkan kereta, semua itu akan dibina atas binaan cita-cita akhiratnya.

Maka dia akan melaksanakan sesuatu itu dengan kondisinya yang terbaik. Dia akan mencapai sesuatu itu dengan jalannya yang bersih. Dan dia akan bersungguh-sungguh dalam mencapai cita-citanya itu. Hal ini kerana, manusia yang memahami akan cita-cita utamanya dalah akhirat, akan melihat bahawa pencapaian cita-citanya di atas dunia adalah ibadah.

Dalam erti kata lain, saham kepada akhiratnya juga.

Manusia yang melihat cita-citanya adalah akhirat, maka dia akan bercita-cita setiap hari. Setiap kali sebelum tidur, dia akan melihat semula kehidupannya. Apakah kehidupannya sudah baik untuk mencapai cita-cita yang dihajatkan. Setiap kali dia bangun tidur, dia akan mempunyai cita-cita baru dalam menjadikan hari baru itu hari yang terbaik dalam rangka perjuangannya mencapai cita-cita akhirat.

Usaha dalam menggapai cita-cita akhirat adalah usaha yang tiada cuti.

Ini menjadikan manusia, yang benar bercita-cita akan akhirat, sebagai manusia yang matang, kemas, dan sentiasa berusaha mempertingkatkan diri. Manusia seperti ini tidak tentu arah. Dia sentiasa mempunyai hala tuju dan merancang ke mana dia menuju. Dia sentiasa ada sebab dalam melakukan sesuatu dan tidak gemar melakukan sesuatu yang sia-sia.

Hatta tidurnya juga, dalam rangka memberikan manfaat kepada cita-cita utamanya.

Dahulu. Sekitar tahun 1992, ada seorang tokoh memberikan kenyataan di dalam akhbar yang menyatakan bahawa, cita-cita terhadap akhirat menjadikan seseorang itu mundur.

Pada saya, ini adalah satu kesilapan. Pada saya, manusia yang memahami akhirat sebagai cita-citanya, maka kehidupannya akan sentiasa wujud peningkatan. Kualiti kerjanya akan meningkat. Dia seorang amanah dan jujur. Tabah dan cekal. Gigih dan kuat. Sabar dan sentiasa berusaha untuk tenang.

Tinggal ramai orang yang silap memandang cita-cita akhiratnya semata-mata dalam pagar masjid. Semata-mata atas sejadah. Itulah yang membuatkan orang menuduh cita-cita akhirat membawa kemunduran.

Manusia perlu keluar menggegar dan menumbangkan jahiliyyah.

Mencapai yang tertinggi di atas muka bumi sebagai khalifah.

Cita-cita akhirat, mampu membuahkan cita-cita sedemikian, dan memberikan kepada manusia kualiti kehidupan.

Tidakkah manusia memerhatikan?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: