Mengumpul Harta Bathil


Mengumpul dan memperbanyakkan harta, pangkat, kuasa dan pengaruh adalah salah satu dari sifat biasa manusia. Kita sukakan harta disebabkan manfaat segera yang boleh dinikmati darinya. Sama ada harta tersebut dalam bentuk wang tunai atau juga aset seperti kenderaan, tanah, rumah, saham dan sebagainya.

Dalam pada itu, terlalu ramai manusia yang menjadikan harta dan wang sebagai objektif utama dalam kehdiupannya. Mungkin pada asalnya niat berkerja dan berusaha adalah untuk kehidupan, namun ramai juga yang dalam proses pencarian itu, mereka terpesona dengan kenikmatan segera dari harta ini, lantaran itu kehidupan mula berubah dan tindakan mereka juga terkesan.

Allah swt berfirman :

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ . حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ

Ertinya : Memperbanyakkan (harta) dan bermegah-megah dengannya itu sesungguhnya telah melalaikan kamu, sehinggalah nanti kamu sampai ke kubur ( At-Takathur : 1-2)

Kelalaian itu hingga membawa manusia mencari harta walau dengan apa cara sekalipun, sehingga ramai yang tanpa merasa bersalah atau mengendahkan perasaan orang lain, mengambil hak yang bukan miliknya yang sah, tidak pula diiktiraf oleh hukum Islam.

Nabi s.a.w sudah mengingatkan kita agar mengasihi saudara kita sama seperti mengasihi diri sendiri. Sudah tentu, sesuatu yang buruk tidak pernah kita ingini berlaku kepada diri dan keluarga kita. Sesuatu yang kita benci, amat sekali tidak wajar dilakukannya kepada manusia yang lain, tentunya dia juga tidak suka diperlakukan sedemikian.

Allah berfirman,

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُواْ بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُواْ فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya : Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. (Al-Baqarah : 188)

Umat Islam perlu mengambil berat perihal pendapatan mereka. Kita bimbang ambil berat ini semakin suram apabila objektif mengumpul dan memperbanyakkan harta menjadi target utama di dalam kehidupan. Apabila itu berlaku, kita akan dapati gejala negatif ini bertambah. Kerana itulah para pemimpin yang berkuasa di semua peringkat perlu segera kembali berperanan untuk mengikat dan mengakarkan hati rakyat jelata dengan pembalasan baik buruk di akhirat. Hanya dengan demikian, keharmonian hakiki akan mampu dikembalikan.

Ringkasannya, termasuk juga dalam erti memakan atau menerima dan mengambil harta secara batil antaranya:-

a. Menjual sesuatu yang memudaratkan masyarakat seperti menjual ubat dan makanan yang telah tamat tempoh, kesan buruk akibat tercemar atau mempunyai aib tapi disembunyikan,

b. Upah menjampi yang bercanggah dengan Islam,

c. Mengadakan kursus motivasi dengan ilmu-ilmu karut dan meragukan seperti sandaran ramal masa hadapan sama ada melalui tarikh lahir, rupa paras dan yang sepertinya,

d. Menyalahgunakan pekerja sehingga mereka disuruh melakukan tugasan yang tidak dibayar setimpal serta dizalimi dari sebarang kenaikan walau mempunyai merit yang tinggi dan baik.

e. Mengambil upah hiburan (entertaintment cost) dari syarikat-syarikat sebagai pra-syarat untuk memastikan peluang kontrak dan tender sentiasa baik.

f. Sengaja dengan niat berhutang dengan niat untuk tidak membayar semula, dan sentiasa beralasan untuk melepaskan diri dari pembayaran semula hutangnya, walau dalam keadaan mampu.

g. Individu yang tidak termasuk dalam kategori asnaf zakat tetapi menerima wang zakat. Mereka juga adalah pemakan harta secara bathil.

h. Individu yang mengambil dan menikmati harta waqaf secara peribadi dan menjadikannya sebagai hak miliknya secara tetap. Ini juga ditegah dan termasuk dalam harta bathil.

i. Memakan dan menyalahgunakan harta anak yatim piatu yang masih kecil.

j. Hadiah-hadiah yang diberi oleh pelanggan atas alasan kononnya berterima kasih atas kecekapan dan bantuan kita selaku pekerja yang menyiapkan kerja tepat waktunya atau segera. Ia dinamakan wang ‘ghulul’ atau ‘khianat’ oleh Nabi s.a.w.

k. Mencipta dan menghasilkan filem, novel, penulisan majalah, artikel, kartun, animasi, drama, buku, cerpen dan sepertinya yang meraikan nafsu manusia, bertemakan nafsu dan hiburan bagi meraih keuntungan dari undstri nafsu yang tiada bertepian. Keuntungan yang diperolehi hasil dari hasil ‘seni’ yang merosakan jatidiri kemanusian, ini tentulah tergolong di dalam harta bathil.

l. Mencuri dan mengambil kesempatan di atas musibah yang sedang menimpa orang lain, lalu berganda-gandalah dosa mereka.

Akhir sekali nabi mengingatkan kita bersifat unik khususnya di akhir zaman di mana terlalu ramai ramai yang kemaruk wang bathil, sabda nabi:

لو كان لابن آدم واديان من مال لابتغى ثالثا ولا يملأ جوف ابن آدم إلا التراب ويتوب الله على من تاب .
Maksudnya : “Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, dia berkata: “Saya mendengar Nabi Shallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “Seandainya manusia memiliki dua lembah yang penuh dengan harta, nescaya dia mencari (lembah harta) yang ketiga. Tiada yang memenuhi isi perut manusia, kecuali tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat. ( Al-Bukhari)
sumber asal : Zaharuddin Abd Rahman (dengan ubahsuai bebas)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: