Faqir yang sebenar


Satu hari di dalam kelas, Dr Ala’ Hilat berkongsi sesuatu yang amat menarik kepada kami di dalam kelas.

Akan makna faqir yang sebenar. Ya. Faqir yang sebenar.

Apakah makna faqir kepada kita?

Biasanya, kita takrifkan miskin kepada ada duit, tinggal tidak cukup. Tetapi faqir adalah lebih daripada itu. Faqir adalah langsung tidak punya apa-apa.

Begitulah. Tak ada apa-apa. Tetapi biasanya, kita kaitkan Faqir hanya dengan isu kewangan.

Dr Ala’ menceritakan Faqir yang lebih teruk daripada faqir kewangan.

Itulah dia faqirnya jiwa. Ya.

“Kamu tahukah apa faqir yang sebenar?”

Kami diam.

“Itulah dia apabila kamu kehilangan sesuatu, kamu rasa seperti kehilangan segala-galanya.”

Kesempitan yang direka-reka oleh lemahnya keimanan

Walaupun sedikit sahaja pesanannya, tetapi pesanan Dr Ala’ itu benar-benar mengetuk jiwa saya.

Contoh paling dekat kita boleh petik adalah tidak cemerlang dalam peperiksaan. Sudah berusaha bersungguh-sungguh, tetapi gagal. Bila gagal itu, kita rasa dunia telah gelap. Rasa tidak bermaknanya kehidupan.

Contoh lain, putus cinta. Bila cinta putus, rasa dunia seperti hendak kiamat. Rasa semuanya tidak lagi punya makna untuk diteruskan. Benda-benda lain seakan tidak lagi punya harganya.

Contoh lain adalah kematian orang yang tersayang. Kita rasa seperti hidup ini sudah tidak boleh berjalan. Kita rasa semua tidak lagi bermakna dan hilang harganya.

Dan tidak kurang ramainya yang membunuh diri akibat kekecewaan dalam hal-hal demikian.

Itulah dia Faqir yang Dr Ala’ nyatakan.

Ya. Faqir.

Ujian Allah beri sedikit sahaja sebenarnya. Dan kita tidak tahu apa yang Allah kehendaki daripada kita sebenarnya. Tetapi sepatutnya kita amat arif Allah itu hanya mahu yang baik-baik sahaja kepada hambaNya. Namun oleh kerana dunia itu kita letak besar dalam hati kita, maka bila kehilangan sesuatu, kita pun hilangkan segala-galanya.

Sedangkan, selain perkara yang kita hilangi itu, rahmat Allah tetap wujud dengan wujudnya perkara lain di dalam kehidupan kita. Sekurang-kurangnya, kita masih hidup, diberikan peluang meneruskan kehidupan. Diberikan peluang berusaha. Diberikan peluang untuk mencuba.

Namun kita sempitkan dunia kita dengan keimanan kita yang lemah.

Kita akhiri segala-galanya. Menyebabkan kita menjadi Faqir, tidak punya apa-apa di sisi Allah pada akhirat kelak.

Dunia ini Allah ciptakan luas

Pesanan Dr Ala’ itu juga akhirnya membawa saya kepada betapa Allah ciptakan dunia kita ini teramat luas. Kehilangan sesuatu bukanlah bermakna berakhirnya segala-gala.

Hilang anak bukan bermakna kiamat telah tiba buat dunia. Putus cinta, bukan bermakna kita tidak punya peluang untuk berkeluarga. Tidak cemerlang peperiksaan, bukan bermakna kita tidak akan mampu memberi makan pada keluarga di hari tua.

Dunia Allah ciptakan luas. Janganlah kita sempitkan dengan hanya memfokus kepada masalah kita. Lihatlah luar daripada masalah kita. Lihatlah peluang-peluang yang kita ada selain daripada kehilangan kita.

Di situlah kita akan rasa luasnya Allah ciptakan dunia ini. Luasnya kasih sayang Allah SWT. Luasnya peluang dan ruang yang Allah SWT sediakan sebenarnya. Dan di situlah kita akan rasa, mengapa Allah memberikan kita kehilangan tersebut. Semata-mata untuk menjadikan kita hambaNya yang lebih tabah, lebih sabar, lebih kuat. Dan itu adalah apa yang kita mampu ekstrak. Ada lagi mungkin hikmah-hikmah yang kita tak mampu ekstrak.

Sebagai contoh, apabila Khidir membunuh seorang anak, dan Musa bertanya mengapa dibunuh anak itu, lihatlah apa jawapan Khidir:

“Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.” Surah Al-Kahfi ayat 80.

Anak itu dihilangkan daripada kedua ibu bapanya, adalah kerana anak itu akan membawa ibu bapanya ke neraka. Nah, tidakkah itu hikmah dan kasih sayang Allah SWT yang inginkan ibu bapa itu masuk ke syurgaNya? Ini memang tak akan mampu kita jangkau dengan akal fikiran kita.

Dunia ini Allah ciptakan luas.

Jangan sempitkan. Bersangka baiklah dengan Allah SWT.

Maka janganlah kita menjadi faqir. Kayakan diri dengan keimanan.

Sebab itu keimanan kepada Allah SWT adalah apa yang pertama sekali perlu kita perkemaskan. Keimanan inilah yang melahirkan kekuatan. Keimanan inilah yang akan menyelamatkan kita daripada melakukan perkara-perkara yang bodoh dan merosakkan kehidupan kita. Baik kehidupan di dunia, mahupun kehidupan di akhirat.

Amatlah merugi orang-orang yang menyempitkan kehidupan mereka.

Yang tidak mahu bersangka baik kepada Allah SWT apabila timbulnya masalah.

Kerana mereka adalah yang akan berdiri di hadapan Allah SWT nanti, tanpa membawa apa-apa untuk membawa mereka ke syurga.

Hal ini kerana, yang bermanfaat nanti di akhirat hanyalah orang-orang yang mempunyai hati yang sejahtera di atas dunia.

“Hari yang tidak akan bermanfaatnya harta dan anak-pinak. Kecuali buat mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 88-89.

Penutup: Faqir itu adalah faqir yang paling celaka.

Hilang harta di dunia, tidak menutup peluang kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Sebab kita masih boleh menjadi orang yang tiada harta, tetapi baik dan taat kepada Allah SWT.

Tetapi apabila hilang keimanan kepada Allah SWT, yakni menjadi faqir yang sebenar-benarnya, kita rugi bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat sana. Dan kerugian di akhirat itulah yang orang-orang beriman amat takutkan. Kerana rugi di akhirat, tiada bayaran yang mampu menampungnya semula.

Maka sama-samalah kita melihat semula kehidupan kita.

Kuatkan kembali keimanan kita.

Menyedari betapa luasnya rahmat Allah SWT yang sebenarnya wujud di keliling kita.

Dan tidak meletakkan dunia itu di dalam hati kita.

Agar kita tidak menjadi faqir yang sebenar-benarnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: