Mula Memecut Mengejar Ramadhan


Alhamdulillah. Sudah beberapa hari kita menjengah Bulan Rejab. Apa yang menarik apabila kita berada di dalam Bulan Rejab? Sebenarnya Bulan Rejab tidaklah mempunyai kelebihan-kelebihan yang berjela-jela seperti yang biasa kita dengari. Hal ini kerana, tidak wujud hadith yang sohih dalam menerangkan kelebihan-kelebihan bulan Rejab, melainkan bulan Rejab ini termasuk dari kalangan 4 bulan Haram(yang suci) di sisi Allah SWT.

“Antaranya empat bulan haram(yang dimuliakan)” Surah At-Taubah ayat 36. Yang mana jelas buat kita bahawa empat bulan haram tersebut adalah Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram.

Namun, Rejab menjadi istimewa kerana kehampirannya dengan Ramadhan.

Ya. Itu menjadikan dia istimewa, bagi sesiapa yang mahu melihat dan mengejar kemuliaan.

Warming up merampas trofi Ramadhan

Jelas kepada kita bahawa, telah disediakan oleh Allah SWT untuk hamba-hambaNya satu bulan yang mulia bernama Ramadhan. Yang di dalam bulan itu, terdapat banyak fadhilat dan kebaikannya. Itulah dia bulan yang dikatakan musim bunga bagi orang-orang yang beriman.

Allah SWT memberikan kepada kita, 30 hari di dalam bulan Ramadhan yang mulia. Dijanjikan pula ijazah ketaqwaan bagi yang benar-benar mengisinya dan memanfaatkannya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 183.

Yang mana orang-orang yang bertaqwa inilah yang mampu memahami Al-Quran dan mendalaminya, yang mampu menggerakkan Islam dan menyebarkannya, yang dinaungi oleh Allah SWT dan mendapatkan syurgaNya.

Persoalan, apakah mudah untuk ‘mengisi’ Ramadhan?

30 hari yang Allah SWT sediakan untuk kita, sepatutnya kita gunakan setiap saat di dalamnya untuk merampas segala kebaikan dan manfaat yang Allah SWT janjikan buat kita. Maka, apakah kita bertenaga untuk mengisi setiap saat dan detik di dalam 30 hari Ramadhan tersebut?

Sebab itulah saya berpendapat, Ramadhan ini memerlukan stamina. Stamina yakni kekuatan, agar kita mampu mengejar manfaat-manfaat dan fadhilat-fadhilat di dalam Ramadhan dengan bersungguh-sungguh.

Itulah yang menjadikan, Rejab satu bulan yang menarik.

Kerana Rejab mampu menjadi “Bulan Warming Up” kepada perjalanan untuk menggapai Ramadhan.

Ibarat ingin berlari marathon

Puasa 30 hari tidak sama dengan puasa sehari. Mengisi 30 hari dengan ibadah, tidak sama dengan mengisi sehari dengan ibadah. Hendak menjaga diri dari maksiat selama 30 hari, tidak sama dengan hendak menjaga diri dari maksiat selama sehari.

Maka, apakah tanpa latihan, kita akan mampu ‘tackle’ Ramadhan dengan sebaik mungkin?

Justeru, dari Rejab lagi kita perlu membina kekuatan ini. Dari Rejab lagi, kita mula merancang untuk merampas Ramadhan. Kita tidak perlukan hadith-hadith berkenaan fadhilat Rejab untuk beribadah di dalam Bulan Rejab. Kita hanya perlukan hadith-hadith kemuliaan Ramadhan, untuk kita persiapkan diri kita dari bulan Rejab lagi.

Rasulullah s.a.w bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)” Hadith Riwayat Bukhari.

Rasulullah s.a.w bersabda : “Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada aroma (haruman) minyak kasturi.” Hadith riwayat Bukhari.

Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari Kiamat. Tidak ada seseorang pun yang akan masuk melalui pintu ini kecuali mereka .Dikatakan: Mana orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka semua berdiri. Tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu ini selain mereka. Apabila mereka semua telah masuk, pintu ini akan ditutup dan tidak ada seorang pun yang akan masuk melaluinya.” Hadith Riwayat Bukhari.

Sabda Rasulullah s.a.w :“ Setiap amal kebaikan anak Bani Adam pahalanya (dicatat oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-KU dan AKUlah yang memberi pahala puasanya.” Hadith Riwayat Bukhari.

Maka, apakah pantas buat kita berlengah-lengah? Sedangkan jarak antara kita dengan Ramadhan hanya tinggal dua bulan sahaja. Rejab dan Sya’ban.

Kalau dari hari ini tidak kita biasakan diri beribadah dengan banyak, menjaga diri dari maksiat yang menduga, apakah kita mampu mengisi setiap saat dan detik di dalam Ramadhan dengan sebaik mungkin?

Bayangkan orang yang tidak berlatih membina staminanya, mampukah dia menghabiskan 30KM marathon dengan baik?

Konsep ansur maju, Rejab ke Ramadhan

Pernah dengar konsep ansur maju? Konsep ansur maju ini adalah berdikit-dikit(sikit-sikit) agar wujud kekuatan untuk sesuatu yang lebih besar pada masa akan datang.

Contohnya, kita nak jadi pelari marathon yang mampu berlari 30KM tanpa penat, maka kita setkan dalam jadual hidup kita untuk berlari setiap petang sebanyak 2KM.

Cukup dua minggu, kita tambah lagi 2KM menjadikan larian kita setiap petang adalah 4KM. Bila rasa stabil, rasa kuat, kita tambah lagi 2KM. Menjadikan larian kita setiap petang adalah 6KM. Dan begitulah seterusnya. Perlahan-lahan, nanti akhirnya 30KM tidak menjadi masalah kepada kita kerana stamina, muscle kita telah terbina untuk mampu bertahan atas ansur maju yang kita lakukan tadi.

Tetapi kalau hari pertama kita terus berlari 30KM? Semestinya pancit.

Begitulah untuk mencapai Ramadhan dengan baik. Dari Rejab lagi kita melaksanakan ansur maju. Kita mula biasakan diri dengan puasa Isnin Khamis. Kita perlahan-lahan membiasakan diri dengan qiamullail. Kita mula disiplinkan diri bersedekah. Kita mula mengeraskan diri agar sentiasa melakukan perkara kebaikan dan menjauhi kemaksiatan. Kita bergerak mengajak rakan-rakan dan keluarga untuk memeriahkan suasana dengan perkara-perkara kebaikan. Kita lipat gandakan semua itu, dari masa ke semasa.

Dari Rejab, kita istiqomahkan hingga ke Sya’ban.

Bayangkan bila kita masuk ke dalam Ramadhan?

Semua itu seakan-akan telah menjadi ‘darah daging’ kita. Kita tidak rasa letih beramal soleh. Kita tidak rasa sukar menjauhi maksiat. Bahkan di dalam Ramadhan itu, oleh kerana kita telah terbiasa melakukan kebaikan dan menjauhi kemaksiatan, kita mampu lipat gandakan lagi amalan-amalan kita. Kita push lagi limit kita.

Bukankah ini satu strategi yang cantik?

Penutup: Hentikan kegagalan Ramadhan-Ramadhan yang lalu

Satu kesilapan ramai orang adalah, tidak bersedia untuk Ramadhan. 1hb Ramadhan baru hendak mula mendisiplinkan diri melakukan kebaikan. 1hb Ramadhan baru hendak mula beramal banyak. Inilah yang menyebabkan akhirnya kita lihat, minggu pertama Ramadhan meriah, namun bila masuk minggu kedua dan ketiga, hambar.

Minggu pertama Solat Tarawih di Masjid penuh. Masuk minggu kedua, perlahan-lahan bilangan tiang melebihi bilangan orang. Minggu pertama, sehari membaca satu juz Al-Quran. Tetapi masuk minggu kedua, semput, hanya membaca beberapa helai sahaja. Minggu pertama mampu menjaga mata dari perkara-perkara yang tidak syara’, namun masuk minggu kedua, maksiat-maksiat sudah tidak dapat dijaga lagi.

Beginilah resam kebanyakan orang sebelum-sebelum ini. Punca? Puncanya adalah ketiadaan stamina untuk menggenggam Ramadhan sebaik mungkin. Maka terlepaslah segala kebaikan yang wujud di dalam Ramadhan, dan jadilah kita orang-orang yang rugi. Sedangkan, Ramadhan yang akan datang belum tentu kita dapat lagi.

Maka jangan kita ulang tradisi ini.

Mari. Bermula Rejab ini kita berusaha. Agar kalau Allah berikan kita rezeki sampai kepada Ramadhan tahun ini, kita mampu mengisinya dengan kebaikan. 30 hari sebulan itu, 4 minggu sebulan itu, 7 hari seminggu itu, 24 jam sehari itu, 60 minit sejam itu, 60 saat seminit itu, mampu kita isi semuanya dengan kebaikan bagi menggapai keredhaan Allah SWT, dan menjadikan kita hambaNya yang lebih baik.

sumber:langitilahi.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: