Archive for Julai 2011

Malaysia Mengundang Tsunami?

Malaysia Jadi Pusat Pengeluaran Beer ASAHI?

Produk ASAHI
Syarikat PERMANIS yang mengeluarkan sebahagian besar minuman ringan di Malaysia telah di jual kepada ASAHI pengeluar beer terbesar Jepun sebanyak RM820 Juta. Dengan pembelian ini ASAHI bukan sahaja menjadikan pusat minuman ringannya tetapi adalah dipercayai untuk meluaskan pasaran beer keluarannya di Malaysia akibat kelembapan jualannya di Jepun. Pembellian ini adalah langkah strategik untuk memasuki pasaran Malaysia buat masa ini di kuasai oleh Guinness Anchor (GAB) yang telah bertapak sekian lama. Adalah diketahui Malaysia merupakan yang ke 10 tertinggi di dunia dalam minuman beralkohol. sumber:  http://beerbeer.org/?p=491

ASAHI Membawa Bencana Tsunami! 

http://www.abc.net.au/news/2011-03-14/tsunami-transforms-asahi-into-rubble/2657084

Lihatlah kehancuran bandar Asahi pusat pengeluaran beer terbesar menjadi padang jarak akibat di landa tsunami. Sebenarnya inilah janji Allah yang telah di beri amaran oleh Rasulullah s.a.w tentang balasan bencana tsunami akibat berleluasanya arak dan muzik;
Daripada Abu Malik Al-Asy’ari r.a. bahawasanya ia mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya ada sebahagian dari umat ku yang akan meminum thamar dan mereka menamanya dengan nama yang lain (mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah swt. akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa)dan Allah swt. akan merobah mereka menjadi kera atau babi”.

Riwayat Ibnu Majah

Kerajaan dengan bangganya mengisytiharkan pelaburan berjuta-juta ringgit oleh ASAHI tanpa peduli tentang amaran Allah dan Rasulnya bala yang bakal di terima. Di manakah letaknya taraf kewajaran sebagai negara Islam apabila menggalakan kemasukan syarikat beer secara besar-besaran? Sesungguhnya amaran yang telah di beri oleh Rasulullah pasti akan berlaku dan bersedialah kamu wahai kaum yang engkar menghadapi pembalasan yang telah di janjikan!

Malaysia hab minuman berkarbonat

ASAHI Group Holdings Ltd, iaitu pengeluar minuman ringan terbesar Jepun akan menjadikan Malaysia sebagai hab bagi perniagaannya di Asia Tenggara susulan pengambilalihan 100 peratus kepentingan dalam Permanis Sdn Bhd. 

Syarikat itu semalam memeterai perjanjian dengan CI Holdings Bhd bagi membeli Permanis, yang kini adalah pengeluar minuman berkarbonat kedua terbesar di negara ini dengan jenama utama Pepsi dan 7-up pada harga RM820 juta.

“Pengambilalihan ini membolehkan kami bertapak dalam pasaran minuman berkarbonat Malaysia dan kemudian menggunakannya sebagai pusat bagi peluasan perniagaan ke rantau Asia Tenggara,” kata Asahi Group dalam kenyataannya kepada Singapore Stock Exchange semalam.
sumber: petunjukzaman.blogspot

“Dunia dan Akhirat” ATAU “Dunia atau Akhirat” ?

Sabda Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang bermaksud:2 kalimah yang ringan di lidah,beratdi atas neraca timbangan
dan disukai oleh Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:
SubhanAllahi wa bihamdih,
SubhanAllahil-`Azim

Sabda Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang bermaksud:2 kalimah yang ringan di lidah,beratdi atas neraca timbangan
dan disukai oleh Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:
SubhanAllahi wa bihamdih,
SubhanAllahil-`Azim


 

DR LO’ LO’ SEKADAR YANG SAYA KENALI

 

 

Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.

 

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya. Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut ‘insyaAllah’.

 

Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM. Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo’ Lo’ Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

 

Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi s.a.w nasihati kita:

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: ‘aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.

Peringatan Jawatan Mufti

Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo’ Lo’. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo’ Lo’ sejak sebelum saya menjadi Mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya. Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum.

Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo’ Lo’ menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut. Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu.

Antara yang beliau sebut

“..saya juga seorang manusia yang dhaif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam. Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.

Itulah antara kandungan email beliau. Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu. Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.

Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin UMNO.

Selepas Mufti

Apabila berhenti dari jawatan Mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke UK. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester. Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.

Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo’ Lo’ yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak. Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya:

“Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada”.

Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.

Masuk UMNO

Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini. Apabila timbul berita saya akan masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau:

“Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk UMNO. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.

Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya:

“mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk UMNO. Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk UMNO? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk UMNO”.

Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat. Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata:

“Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk UMNO, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk UMNO”.

Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.

Kritik PR

Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama PR, Dr Lo’ Lo’ kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya ‘tegas’. Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya ‘Ulama atau professional Jadi Pemimpin’ . Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.

Ziarah Hospital

Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz. Dr Lo’ Lo’ meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil. Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau:

“ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”.

Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah. Kata-kata yang tidak lahir di saat- demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.

Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS. Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.

Ustaz Sampul

Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat. Antara yang beliau kata;

“Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.

Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau‘pendakwah’. Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan. Kata-kata Dr Lo’ Lo’ itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.

Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan. Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.

 

sumber: drmaza.com

Tidur bukan sekadar memejamkan mata

Dalam Al-Quran, Allah SWT telah menyatakan bahawa malam Allah khususkan untuk tidur. Jadi, kita gunakanlah masa itu untuk tidur. Ini fitrah asal manusia. Manusia perlukan tidur sepertimana manusia perlukan makanan, minuman dan lain-lain. Tidak ada manusia yang sanggup melawan fitrahnya.

Jika kita melawannya, juga kita akan kalah. Jadi, tidak hairanlah tanpa tidur pada waktu malam kita akan keletihan pada siang hari. Dari segi kesihatan pula tidur yang cukup adalah asas dalam kesihatan badan. Manusia normal memerlukan 6 hingga 8 jam tidur dalam sehari.

Masalahnya, ada remaja yang suka berjaga larut malam. Istilah yang selalu kita gunakan untuk mereka ini ialah, ‘kutu embun’. Malam-malam mereka gunakan untuk aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti lumba haram, bergaul bebas, berbual kosong, video games, dan sebagainya. Percayalah… ini memudaratkan. Seeloknya, tidur awal dan bangun awal. Manfaatkan waktu selepas Subuh yang berkat itu.

Manusia selepas Isyak dikatogerikan kepada tiga. Pertama, yang mengisi malam-malamnya dengan aktiviti yang berfaedah seperti menelaah pelajaran, berbincang sesuatu yang bermanfaat dan lain-lain amal kebaikan. Mereka ini mendapat pahala.

Yang kedua, mereka yang melakukan perkara-perkara harus seperti dan terus tidur., mereka ini tidak memperolehi apa-apa, berdosa pun tidak berpahala pun tidak. Tetapi yang malangnya ialah mereka yang menggunakan waktu dengan aktiviti-aktiviti maksiat, maka mereka ini berdosa. Jadi, gunakanlah akal dan hati kita untuk menimbang, kita ini dalam golongan yang mana?

Remaja punya tanggungjawab asasi, maka dahulukan dan utamakanlah tanggungjawab yang asasi. Apakah tanggungjawab yang utama? Ya kebanyakannya para remaja masih belajar. Setelah itu, jika ada masa, ada tenaga dan ada kesempatan maka eloklah dibuat amalan-amalan sunat seperti qiamullail dan sebagainya. Cuma harus diingatkan bahawa keutamaan tetap pada menuntut ilmu, jangan sampai kita bangun untuk solat tahajjud pada malam harinya tetapi mengantuk hingga tidak dapat belajar dengan baik pada esok paginya.

Itu kurang tepat! Kewajiban belajar lebih utama daripada sembahyang sunat. Tapi ingat… yang saya katakan ialah solat sunat, tetapi jika solat wajib tidak ada kompromi. Ia wajib dilaksanakan dalam apa jua keadaan. Jangan tinggalkan solat wajib. Solat Subuh misalnya, jangan sekali-kali ditinggalkan atas alasan tidak cukup tidur…

Masa yang diperuntukan untuk tidur sekurang-kurangnya 6 jam yakni ¼ daripada umur kita. Ertinya jika kita hidup 40 tahun, 10 tahun telah dihabiskan untuk tidur. Pertama, hendaklah kita jaga niat, kaedah serta adab-adabnya. Sebelum tidur hendaklah kita niatkan untuk mendapat kerehatan, agar kita dapat bangun untuk solat Subuh pada hari keesokkannya. Sebaik-baiknya kita berwudhuk.. Air wudhuk itu akan menyejukkan hati kita, merehatkan emosi kita dan menstabilkan fikiran kita. Bacalah doa tidur, yang maksudnya, segala puji Allah yang menghidupkan dan mematikan daku.

Ya, menyentuh soal ini teringat pesanan yang pernah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada isterinya Siti Aishah RA. Baginda diriwayatkan telah berkata, wahai Aishah, janganlah engkau tidur sehingga kau melakukan 4 perkara ini, pertama, setelah habis membaca seluruh isi Al-Quran. Kedua, mengambil aku dan para Nabi sebagai penolongmu di hari kiamat. Ketiga, sehingga semua orang Islam redha dan memaafkanmu. Keempat, hingga kau selesai mengerjakan umrah.

Apabila Saiyidatina Aishah bertanya bagaimana? Rasulullah SAW menjelaskan bahawa jika kita tidak membaca surah Al-Ikhlas 3 kali samalah fadhilat dengan membaca keseluruhan isi Al-Quran. Bila kita berselawat ke atas nabi Muhammad SAW dari para nabi yang lain, maka mereka nanti akan membela keadaan kita di hari kiamat. Bila kita beristighfar dan memohon ampun untuk orang mukmin maka mereka juga akan redha terhadap kita kelak. Dan dengan membaca Allah hu Akhbar, Alhamdullilah, dan Subhanallah, samalah pahalanya seperti kita mengerjakan umrah.

Kemudian tidurlah dengan baik, seeloknya mengiring dengan pipi mengiring ke kanan dan muka menghadap kiblat. Kalau terlentang, letakkan kaki kanan di atas kaki kiri. Itu sebelum atau awal-awal nak tidur.. dan apabila sudah tidur tentulah gaya bebas (kita tidak ingat apa-apa lagi). Tapi, elakkan daripada tidur meniarap, Rasulullah melarang sahabatnya tidur meniarap kerana itu gaya tidur ahli neraka.

Ya, itulah sebahagian cara tidur dalam Islam. Jika kita lakukan Insya-Allah Allah akan redha kepada kita sepanjang waktu kita tidur itu. ertinya , Allah kurniakan pahala. Begitulah pemurah-Nya Allah, Dia Maha Pengasih kepada kita. Jadi, bagi remaja apa salahnya kalau kita tidur dengan adab-adab yang saya sebutkan tadi.. Siapa tak mahu, rehat pun dapat.. Jika 40 tahun kita hidup, 10 tahun kita mengaut pahala dalam tidur sahaja.

Pada keseluruhannya, kisah ini membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Pertama, Allah mampu menidurkan seorang manusia lebih lama daripada biasa. Ertinya, hukum biologi dan fisiologi telah Allah batalkan dalam kes ini. Logiknya, tanpa makanan, tanpa pergerakan, dan tanpa buang air, tentulah pemuda-pemuda itu akan mati.

Kedua, ini membuktikan betapa Allah membela pemuda-pemuda yang beriman dengan cara yang cukup mudah. Iaitu cara tidur. Bayangkan Raja dan bala tenteranya telah memburu pemuda-pemuda beriman ini untuk dibunuh.. mereka begitu terdesak. Tetapi kuasa Allah telah menidurkan mereka. Setelah mereka bangun semuanya telah berubah. Inilah bantuan yang telah Allah berikan untuk orang-orang yang beriman.

Dalam Al-Quran Allah telah menyatakan bahawa Dia tidak rasa mengantuk apatah lagi tertidur. Ertinya, Allah sentiasa berjaga. Dia tidak letih, tidak rasa lapar, tidak rasa bosan, dan tidak rasa sakit sepertimana manusia. Mengantuk ini melambangkan kekurangan dan kelemahan, Maha Suci Allah daripada sebarang kelemahan dan kekurangan. Oleh itu, atas sifat-sifat kesempurnaan-Nya, Allah tidak tidur walaupun sedikit.

Ada banyak jenis tidur…ada yang tidur mati. Ini tidur habis-habisan. Tak sedar diri. Macam orang mati. Orang ini kalau kita ingin kejutkan tak boleh main panggil, tapi kena gegar, kena siram baru boleh. Kalau tidur ayam, kejap tidur, kejap tidak,. Mudah terjaga , tertidur tetapi macam tidak tidur. Tidur ayam ini lawan kepada tidur mati tadi.

Apa maksud saya menceritakan dua jenis tidur ini? Tidur ini lambang kelemahan insan. Kalau tidur mati tadi, kalau orang datang nak bunuh senang sahaja. Manakala, yang tidur ayam pula bahaya juga, kalau pandu kereta Insya-Allah akan menemui kemalangan. Jadi, di sinilah rasionalnya Allah itu tidak tidur. Allah sentiasa dalam keadaan jaga kerana perjalanan alam ini dan seluruh makhluknya sangat bergantung kepada-Nya.

Allah diperlukan oleh setiap makhluk pada setiap masa dan ketika. Penglihatan, pendengaran dan lain-lain sifat kesempurnaan Allah sentiasa berperanan. Allah tidak perlukan tidur, kerana Dia Maha Kuat dan tidak perlu berehat. Pernah diceritakan bagaimana pada suatu ketika Nabi  Musa AS pernah terdetik bagaimana kalau Allah tertidur… Ini bukan soal keraguan hati tetapi sekadar lintasan hati.

Untuk menjawabnya, Allah memerintahkan Nabi Musa membawa segelas susu dan menunggu-Nya di suatu tempat. Lama benar Nabi Musa menunggu akhirnya baginda mengantuk, dan bila mengantuk, segelas susu di tangannya pun terlepas dan lalu pecah.. Ketika itulah Allah menjelaskan bahawa keadaan itulah yang akan terjadi kepada dunia dan segala isinya jika Allah tertidur. Maha Suci Allah!

Pencuri, perompak dan lain-lain jenis penjenayah, selalunya mengambil kesempatan sewaktu orang lain sedang tidur atau alpa. Begitu juga orang orang yang melakukan maksiat, selalunya secara sorok-sorok. Misalnya, pada waktu malam, di tempat tersembunyi, ketika ‘black out’ dan sebagainya.

Ini semua kerana mereka ini ingin mengelakkan diri daripada penglihatan dan pendengaran orang. Tetapi, sebaliknya, jika mereka yakin bahawa Allah tidak tidur, sentiasa berjaga, sentiasa melihat dan mendengar, maka mereka tidak akan berani melakukan kejahatan. Walaupun orang lain sudah tidur, lampu telah terpadam, hari telah gelap…tetapi mereka yang benar-benar yakin bahawa Allah tidak tidur, tetap tidak akan melakukan kejahatan. Inilah kesannya kalau kita benar-benar yakin yang Allah itu tidak tidur..

Manusia begitu lemah. Pada ketika yang dia hendak berjaga, adakalanya dia mengantuk dan terlelap. Ada masanya dia hendak tidur, tetapi mata terus berjaga dan gelisahlah dia kerana tidak boleh tidur. Tidur itu sesungguhnya adalah separuh daripada kematian – kerana orang yang tidur tidak mampu mempertahankan diri daripada sebarang bahaya. Esok paginya apabila dia terjaga, dia seolah-olah dihidupkan semula.

Justeru Rasulullah mengajar kita berdoa dengan lafaz ini sebaik bangun daripada tidur… Segala pujian bagi Allah yang menghidupkan kami selepas  mematikan kami (tidur). Dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan. Ya, tidur itu sayugianya mengingatkan kita kepada kematian yang hakiki, kemudian kita akan dibangkitkan semula menuju padang perhimpunan yang besar… Padang Mahsyar. Di sanalah nanti kita semua akan dikembalikan dan dihimpunkan.

Awas anak-anak ku, jangan leka, jangan alpa…mungkin tidur mu nanti adalah tidur yang selama-lamanya.Sudahkah kita bersedia?

sumber: gentarasa

Ramadhan Yang Mulia

Doa menjelang Ramadhan

Ya Allah… Izinkan kami berkesempatan bertemu Ramadhan (3X)

 Dan berikan Taufik HidayahMu agar dapat kami berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan beribadah

Dan dengan melaluinya (Ramadhan) jadikan kami dari golongan orang-orang yang dapat membebaskan diri dari nerakaMU ….Dengan RahmatMu, Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kisah Penggunting Rambut Dan Seorang Lelaki

Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus.  Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita.  Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian.  Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut.  Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia?  Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang.  Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…”  adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi.  Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar.  Masalah sosial lagi.  Rasuah lagi.  Teruklah!”  sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.”  Jawab si lelaki itu singkat.  Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu?  Dan buat semuanya jadi aman sahaja?  Kan senang!”  ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.

Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai.  Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana?  Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?”  tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak.  Kenapa?”  si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan?  Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya.  Setuju tak?”  Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul.  Saya setuju.”  si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?”  tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak.  Bukan sebab tu.  Ni saya ada ni.”  Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?”  lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya.  Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok.  Dan pakcik tua tu pula saya akan trimmisainya bagi kemas.”  jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi.  Tuhan itu ada.  Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada.  Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.”  kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya.  Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan.  Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran.  Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri.  Mereka menjauhkan diri dari ALLAH.  Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera.  Lebih kurang macam sayalah sekarang ni.  Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak.  Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi”  Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa.  Saya risau dengan gunting di tangan encik tu.  Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe.  Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya”  Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil.  Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

Antara pengajaran penting:

  • Tuhan itu ada.  DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha Esa.  DIA lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung harap.  ALLAH tidak beranak dan tidak diperanakkan.  Dan DIA tidak sama dengan mana-mana satu pun.
  • Patuhlah kepada perintah ALLAH dan jauhilah larangan ALLAH.  Kerana padanya terdapat kesejahteraan dan kebaikan yang menyeluruh.  “Aslim, taslam”.  Ambillah ISLAM secara keseluruhannya, nescaya semua manusia dan makhluq yang menghuni bersama manusia akan selamat.
sumber : muzir.wordpress

Ramadhan : Motivasi Mukmin

Ramadhan sudah berada di hadapan. Lebih kurang 10 hari lagi. Ya. Teruja? Ya, saya teruja.

Pernahkah anda lihat di mana-mana filem, akan sekumpulan atau seorang manusia, melarikan diri dari satu ancaman(hantu, tentera musuh, binatang buas), dia atau mereka melarikan diri dengan bersungguh-sungguh, sudah tercedera, calar balar di sana sini, dan entah sudah berapa kali hampir mati akibat ancaman yang mengejar tadi, dan kemudian mereka ini sampai ke satu kawasan yang selamat, yang memberikan mereka perlindungan, memberikan mereka makanan dan sebagainya? Bagaimanakah wajah mereka? Bagaimanakah perasaan mereka?

Gembira. Lega.

Ya, keterujaan seperti itu, adalah keterujaan saya.

Selepas 11 bulan melalui kehidupan dalam setahun. Melalui itu, melalui ini, dicengkam jahiliyyah di sudut itu, diheret jahiliyyah di sudut ini, terjatuh dalam lembah dosa di sana, dan tersungkur di lembah dosa di sini, tiba-tiba Allah dengan rahmat dan kasih sayangNya, masih memanjangkan umur ini, memanjangkan keimanan diri ini, untuk berdiri di pintu gerbang RamadhanNya yang mulia.

Siapakah yang tidak teruja? Siapakah yang tidak teruja?

Nyatakan kepada saya. Kerana orang mukmin akan teruja dengan Ramadhan.

Kerana Ramadhan adalah salah satu motivasi, bagi seseorang itu meneruskan kehidupannya sebagai mukmin.

 

Kem Rawatan Kecederaan.

Bergelumang dengan jahiliyyah sepanjang 11 bulan, bertarung dan bertempur dengan mereka, pastinya akan memberikan kesan ke dalam jiwa kita. Luka-luka dan calar-balar hasil dari pertembungan antara kita dan jahiliyyah pastinya wujud. Justeru Ramadhan adalah waktu merawatnya.

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira(mengharap), maka akan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah berlalu.” Hadith Sohih Riwayat Bukhari dan Muslim.

Seakan-akan satu bulan untuk mencuci semula luka-luka yang ada. Agar kembali kuat dan bersih tubuh badan kita. Untuk meneruskan pula perjuangan 11 bulan yang seterusnya.

Diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah berlalu. Tidak teruja? Mustahil.

 

Taman Bunga

Bulan Ramadhan benar-benar taman bunga buat yang beriman. Saya ulang, yang beriman. Ya, sebab orang-orang islam yang tidak kuat keimanannya, tidak akan mampu merasai keindahan taman bunga ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan semua pintu syurga.” Hadith riwayat Bukhari.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit, dikunci pintu neraka, dan dibelenggu semua syaitan.” Hadith Riwayat Bukhari.

Di dalam Ramadhan, jiwa kita akan menjadi ringan dan rasa senang untuk melakukan kebaikan. Kerana orang-orang yang beriman akan benar-benar merasainya. Bagaimana tiba-tiba kekuatan muncul untuk berdiri solat tarawih. Bagaimana tubuh rasa ringan untuk berpuasa hari-hari. Amalan pula akan kelihatan mudah untuk ditambah, contohnya tidak kisah bersedekah banyak, membaca Al-Quran paling kurang sejuzu’ sehari. Dan bukan kita seorang yang merasainya. Wujud juga orang-orang lain di sekeliling kita yang merasainya. Sekaligus menambah kekuatan kita untuk beramal.

Inilah dia masanya. Menggunakan ‘booster’ yang Allah SWT berikan sendiri kepada hamba-hambaNya. Kita gunakan Ramadhan ini, selain merawat luka-luka kita, kita berusaha untuk mempertingkatkan pula diri kita.

Agar menjadi seorang yang lebih kuat, bagi menumbangkan jahiliyyah sepanjang 11 bulan yang akan datang.

 

Dan kini kita berada di hadapan bulan itu.

Dan kini, tinggal lebih kurang 10 hari sahaja. Siapakah yang berdoa agar umurnya dipanjangkan agar mampu memasuki Ramadhan? Siapakah yang sekarang sudah menyahut seruan kami di awal Rejab dahulu untuk bersedia bagi merempuh masuk ke dalam Ramadhan?

Sudahkah kita merancang aktiviti-aktiviti kita di dalam Ramadhan kali ini? Apakah cita-cita kita akan Ramadhan kali ini? Apakah strategi kita bagi menjadikan Ramadhan kali ini Ramadhan yang terbaik?

Ada orang berkata sinis kepada saya:

“Ala, kalau mati sehari sebelum Ramadhan camne? Penat je usaha-usaha.”

Saya tersenyum. “Lebih baik mati dalam keadaan kita usaha nak masuk Ramadhan kan? Dari mati tak prepare apa-apa. Sekurang-kurangnya boleh cakap pada Allah SWT: Aku dah sedia sungguh-sungguh nak masuk Ramadhan, tapi Kau yang tak izinkan masuk.”

InsyaAllah dalam setiap amal ada perkiraannya. Allah bukanlah Bakhil dan Kedekut. Bahkan Dia adalah Yang Maha Melihat, juga Maha Pemurah.

 

Penutup: Keterujaan, untuk 11 bulan yang akan datang.

Untuk saya, yang memandang Ramadhan sebagai tradisi semata-mata amatlah rugi. Bulan Ramadhan tiba, puasa, beramal, kemudian Raya. Itu sahaja rutinnya. Rugi, rugi, rugi dan rugi. Hal ini kerana, Ramadhan hakikatnya adalah checkpoint dalam setahun. Tempat merawat luka. Tempat kita mempertingkatkan diri dan kondisi jiwa.

Sebab itu, Ramadhan adalah motivasi mukmin. Kerana, cita-cita mukmin adalah, dia ingin mencuci bersih kehidupannya dan dunianya dari jahiliyyah yang membawanya jauh daripada Allah SWT. Maka, bila berjaya masuk ke dalam Ramadhan, dia berusaha bersungguh-sungguh. Bahkan, sebelum masuk Ramadhan lagi, semenjak Rejab lagi, mukmin akan bersedia sebagai tanda terujanya dia dengan Ramadhan.

Di dalam Ramadhan dia meningkatkan diri, keluar dari Ramadhan dia menjadi seorang yang lebih bagus lagi. Yang lebih kuat untuk menumbangkan jahiliyyah. Yang lebih kuat untuk menjadi yang mampu mengajak orang lain jauh dari jahiliyyah. Dalam 11 bulan yang akan datang pula.

Ya. Sebab itu Ramadhan menjadi motivasi, pembakar semangat, buat manusia yang beriman. Kerana, hanya manusia yang beriman sahaja percaya:

“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” Surah As-Sof ayat 9-13.

Sebab itu Ramadhan, adalah batu loncatan, agar kita menjadi kuat, bagi mencapai apa yang dijanjikan Allah SWT di dalam perjuangan ini.

 

© Langitilahi.com

YB Dr. Lo’lo Ghazali: Lilin Tinggalanmu Kami Oborkan Hingga Sirna Mendung Jahiliah


Majlis pagi semalam saya kendalikan dengan perasaan berkecamuk.

Selepas Fawwaz mewakili ibunya, YB Dr. Lo’lo Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa merasmikan Seminar Sinergi Keluarga Bahagia, beliau dan isteri bergegas keluar meninggalkan majlis.

Keadaan Dr. Lo’lo kritikal.

Perkembangan mengenai beliau dikemas kini dari satu jam ke satu jam.

 

Ini adalah kali kedua Seminar Sinergi Keluarga Bahagia diusahakan, bermula dengan perbualan saya bersama YB Dr. Lo’lo di Twitter. Seperti kali pertama November 2010 yang lalu, Dr. Lo’lo sudah pun keuzuran yang tidak mengizinkan beliau hadir merasmikan majlis. Seperti biasa, anakandanya yang juga merupakan adinda seperjuangan saya semenjak di United Kingdom akan menggantikan peranan itu.

Dr. Lo’lo memikul tanggungjawab yang amat besar di kawasan Parlimen Titiwangsa. Isu Kampung Baru yang amat meruncing, kesamsengan pelbagai pihak yang rakus dengan nilai kampung di perut kosmopolitan itu, menjadikan beliau seorang perajurit mempertahankan apa yang beliau yakini sebagai keadilan dan kebenaran untuk mereka yang berhak. Dari semasa ke semasa, ada poster fitnah digantung di sana sini oleh ‘puak-puak itu’ biar pun ketika Dr. Lo’lo sedang bertarung di peringkat akhir kanser beliau dalam sebulan dua ini.

Saya banyak memerhati dari pinggir kota.

Usaha saya berada di medan yang sedikit berbeza.

Saya tahu YB Dr. Lo’lo adalah seorang pemimpin masyarakat, PAS dan Pakatan Rakyat yang amat menitik beratkan pemerkasaan institusi keluarga. Malah tidak keterlaluan saya katakan, sebelum beliau memimpin massa, beliau adalah seorang isteri dan ibu yang telah menjadi adiwira di dalam lingkungan keluarganya sendiri. Saya mengenali beliau sebagai public figure sejak sekian lama, sentiasa mengingati kebanggaan bapa mertua saya yang semasa bertugas sebagai Naib Qadhi, telah menikahkah Prof Aminuddin dengan Dr. Lo’lo, lama dahulu.

Dr. Lo’lo mahu banyak usaha dibuat untuk memperkasakan institusi keluarga.

Dengan kerjasama Yayasan Prihatin Titiwangsa, Nisa’ Titiwangsa, Yayasan Selangor dan beberapa badan lain, beliau memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjalankan program Sinergi Keluarga Bahagia. Synergy Training & Consulting (STC) berusaha untuk memenuhi setiap hasrat Dr. Lo’lo dalam hal ini. Semangat Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam yang mahu kita memudahkan urusan, lamaran di Twitter sudah memadai untuk dua buah program diusahakan.

Kali pertama November 2010 yang lalu, penduduk di rumah pangsa dan kawasan sekitar Parlimen Titiwangsa dikumpulkan dan saya meluangkan masa pagi ke petang berkongsi saranan, pengalaman, panduan dan sokongan kepada mereka untuk memperbaiki dan memperkukuhkan keluarga masing-masing sebagai tapak asas perjuangan.

Kali kedua, Dr. Lo’lo menyapa saya dalam kesihatannya yang terbatas, juga di Twitter, meminta satu lagi tarikh. Kali ini 17 Julai 2011 dipilih, dan pesertanya ramai terdiri daripada anak-anak muda yang bakal mendirikan rumahtangga, serta pasangan muda yang baru menapak menuju pembinaan Baiti Jannati.

17 Julai itu juga tarikh sebuah kehilangan.

Usai seminar berakhir, saya mengkursuskan pula pelajar Program ke Jepun di Universiti Malaya, dan sekitar jam 10:30 malam, berita luka itu tiba.

YB Dr. Lo’lo Ghazali menghembuskan nafasnya yang terakhir, meninggalkan keluarga, perjuangan, alumni Sinergi Keluarga Bahagia yang tidak pernah beliau hadiri, dan seisi dunia buat selama-lamanya. Hati saya hancur luluh hingga tidak dapat memandu pulang. Saya berhenti di stesyen minyak, mencari kekuatan kerana di sebalik seribu lapis kesedihan yang ada, saya berasa amat terkilan kerana hajat Dr. Lo’lo mahu menemui saya, yang disampaikan oleh Fawwaz anakanda beliau, tidak sempat saya tunaikan.

Solat Jenazah YB Dr. Lo’lo Ghazali diimamkan oleh YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, demikian juga tazkirah ringkas usai jenazah disempurnakan pengebumiannya jam 11 pagi tadi

Apa yang pasti, Dr. Lo’lo tidak mahu pemergiannya hanya meninggalkan sebuah luka dan kesedihan.

Pemergiannya mesti menjadi api yang membakar semangat untuk kita semua meneruskan perjuangan.

Seperti ungkapan asy-Syaheed Sayyid Qutb di ambang kepulangannya kepada ar-Rahmaan:

Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulangku yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat umat mulia ini
Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan Kekasih yang sedang merinduku
Taman-taman di syurga bangga menerimaku
Burung-burung berkicau riang menyambut ku
Berbahagialah hidupku di alam abadi

Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah roh ku terbang mendapatkan rindunya
Janganlah gentar berkelana ke alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar

Berehatlah bonda YB Dr. Lo’lo Ghazali dari keletihan dunia.

Tiada lilin yang pernah engkau nyalakan, melainkan akan kami oborkan ia hingga sirna gelap Jahiliah dan terbit fajar kemenangan, tidak lama lagi!

Buat adinda Fawwaz dan Farhan sekeluarga, semoga tabah dan teguh di jalan yang penuh ranjau dan liku ini…

Inna Lillaah wa Inna Ilayhi Raaji’oon…

 

sumber: saifulislam. com

Siksanya hidup tanpa Iman.

Alangkah malangnya hidup tanpa iman. Setiap masalah yang menimpa disambut dengan buruk sangka dan penuh kebencian hingga hati-hati kita menjadi keras dan kering. Tidak ada ruang untuk pasrah dan menerima atau bersabar dan meyakini kesempurnaan tadbir dan takdir Allah SWT.

Kadang-kadang, kerana sikap begini, musibah kecil yang Allah timpakan pada kita menjadi berganda besarnya.

Bayangkan ketika kita sedang sibuk hendak ketempat kerja, datang anak kita dalam keadaan berlari dan melanggar pinggan nasi lemak yang sedang kita nikmati. Pinggan bertaburan pecah dan kuah sambal bilis melekat pada baju kita yang putih. Dengan penuh kemarahan kita genggam lengan anak kita dan kita tinggikan suara semaunya, kita terus marah dan kita terus meleterinya hingga akhirnya anak kita ketinggalan bas.

Setelah puas menumpahkan kemarahan pada anak kita tadi kita terus bergegas kebilik untuk menukar pakaian. Selesai tukar pakaian kita terus heret anak kita yang masih menangis naik kekereta. Kita terus pecut ke sekolah untuk menghantar anak kita yang ketinggalan bas tadi. Tiba-tiba terdengar siren polis trafik dan ternampak pegawai polis tersebut mengarahkan kita berhenti ditepi jalan. Terus pagi itu kita dapat ‘surat cinta’ kerana memandu laju dan merbahaya.

Anak kita semakin takut dan terasa bersalah, ia hampir-hampir kehilangan dirinya sendiri. Dinding kereta ayahnya terlihat umpama palang-palang penjara dan dia umpama pesalah yang sedang menanti hukuman. Wajah kita semakin bengis hingga hilang sinar kasih sayang pada riak wajah kita bahkan yang terlihat adalah kebencian dan kemarahan yang meluap-luap. “Ini semua salah kamu!” Kita menengking untuk melepaskan kemarahan kita. “Tengok! Ayah dah kena saman, siang malam ayah kerja keras untuk makan pakai kamu, yuran sekolah kamu dan sekarang nak bayar saman pulak” Kemarahan kita umpama empangan pecah yang menyapu bersih rasa kasih, simpati dan sikap pemaaf sebagai ayah. Sampai di sekolah kita renung wajah anak kita tadi dengan renungan yang begitu tajam hingga ia melangkah lemah dan penuh kekecewaan. Tidak ada kata-kata yang mampu terucap, lidahnya kelu seribu bahasa  tetapi jiwanya bergejolak. Rasa bersalah, takut bahkan mungkin rasa benci dan teraniaya dengan kekasaran kita. Ya, dia mempelajari sesuatu: kemarahan, kebencian dan mahalnya kemaafan.

Adakah dari jiwa anak ini akan lahir sifat penyanyang, pemaaf dan lapang dada? Adakah peribadinya akan tumbuh sebgai seorang yang sabar, tabah dan tenang menghadapi kehidupan?

Kita terus memecut kepejabat sambil menyumpah seranah pegawai polis, anak kita dan sesiapa saja yang menghalangi jalan kita KECUALI diri kita sendiri. Ya, kita tidak pernah bersalah. Hanya beberapa ratus meter untuk sampai ke pejabat baru kita perasan, beg kita yang mengandungi fail yang kita perlu serahkan pada boss kita pagi itu tertinggal dirumah. Kita terus patah balik dan akhirnya sampai begitu lewat sekali kepejabat dan ……

SEKARANG cuba kita rewind semula.

Ketika anak kita melanggar kita yang sedang bersarapan.

Apabila anak kita terlanggar… terus kita ucapkan Innalillahi wa inna ilaihi roji’un kerana itulah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW; apabila ditimba musibah, ucapkan innalillahi wa inna ilaihi roji’un. Allahummarjuni fi musibati wa akhlufli khairan minha (Dari Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali, ya Allah berilah ganjaran dari musibah ini dan gantikanlah ia dengan yang lebih baik). Bahkan pernah Rasulullah SAW duduk dengan para sahabat, tiba-tiba pelita terpadam… lalu Rasulullah mengucapkan Innalillahi wa inna ilaihi roji’un, hingga ada sahabat yang bertanya “Ya Rasulullah, adakah ini pun musibah?” Jawab baginda “Apa saja yang menyulitkan mukmin(Orang yang beriman)  adalah musibah.”

Ya, setiap kesulitan itu adalah musibah dan setiap musibah itu ada pintu untuk syaithan masuk kedalam hati kita lalu membisikkan kebusukan, kebencian dan kemarahan. Jadi cepat-cepat kita tutup pintu itu dengan kembali mengikat diri kepada Allah SWT dan hakikat kekerdilan diri kita serta hakikat datang dan kembali pada Allah SWT.

Lalu kita dengan tenang memegang tangan anak kita dan berkata lembut padanya “Cuba tengok …kalau banyak sangat kita main-main kita akan cuai. Tentu Allah tak suka kalau kita selalu bermain-main dan cuai dalam hidup kita. Tak salah kalau nak bermain-main tetapi ada masa dan tempatnya…..” Kita terus menasihatinya untuk beberapa minit kemudian terus menukar pakaian kita dan anak kita terus berlari mendapatkan bas yang lalu dihadapan rumah kita. Kita pun bertolak ketempat kerja tanpa sebarang masalah.

Subhanallah…. Musibah tadi dapat kita jadikan sebagai medan untuk bersabar disamping memperbetulkan akhlaq anak kita. Dari musibah yang kecil tadi… kita semakin akrab kepada Allah dan anak kita merasakan dirinya terdidik. Anak kita dapat melihat indahnya kemaafan dan kesabaran, bahkan ia merasakan dirinya begitu berharga dan disayangi. Tentu langkahnya diiringi rasa bangga dan yakin diri.

Cuba kita bandingkan dengan kisah yang pertama tadi… tentu malang memiliki hati yang begitu bahkan anak kita terpaksa menempuh kehidupan yang penuh keraguan dan ketakutan. Peribadi bagaimanakah yang akan tumbuh pada diri anak kita dan apakah keuntungan yang kita dapat di dunia dan akhirat nanti.

Namun, bukan mudah untuk bersabar dan pasrah dengan kehendak Allah SWT kerana semua itu adalah natijah atau buah dari keimanan yang benar. Keimanan yang terbina diatas ma’rifatullah (mengenal Allah dengan jalan-jalan ilmu yang benar) sehingga melahirkan syu’ur atau perasaan yang dapat merasai kehadiran Allah dalam kehidupannya bahkan dapat merasai kesempurnaan urus tadbir Allah SWT sehingga ia sentiasa berinteraksi dengan Allah melalui doa dan munajatnya.