YB Dr. Lo’lo Ghazali: Lilin Tinggalanmu Kami Oborkan Hingga Sirna Mendung Jahiliah



Majlis pagi semalam saya kendalikan dengan perasaan berkecamuk.

Selepas Fawwaz mewakili ibunya, YB Dr. Lo’lo Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa merasmikan Seminar Sinergi Keluarga Bahagia, beliau dan isteri bergegas keluar meninggalkan majlis.

Keadaan Dr. Lo’lo kritikal.

Perkembangan mengenai beliau dikemas kini dari satu jam ke satu jam.

 

Ini adalah kali kedua Seminar Sinergi Keluarga Bahagia diusahakan, bermula dengan perbualan saya bersama YB Dr. Lo’lo di Twitter. Seperti kali pertama November 2010 yang lalu, Dr. Lo’lo sudah pun keuzuran yang tidak mengizinkan beliau hadir merasmikan majlis. Seperti biasa, anakandanya yang juga merupakan adinda seperjuangan saya semenjak di United Kingdom akan menggantikan peranan itu.

Dr. Lo’lo memikul tanggungjawab yang amat besar di kawasan Parlimen Titiwangsa. Isu Kampung Baru yang amat meruncing, kesamsengan pelbagai pihak yang rakus dengan nilai kampung di perut kosmopolitan itu, menjadikan beliau seorang perajurit mempertahankan apa yang beliau yakini sebagai keadilan dan kebenaran untuk mereka yang berhak. Dari semasa ke semasa, ada poster fitnah digantung di sana sini oleh ‘puak-puak itu’ biar pun ketika Dr. Lo’lo sedang bertarung di peringkat akhir kanser beliau dalam sebulan dua ini.

Saya banyak memerhati dari pinggir kota.

Usaha saya berada di medan yang sedikit berbeza.

Saya tahu YB Dr. Lo’lo adalah seorang pemimpin masyarakat, PAS dan Pakatan Rakyat yang amat menitik beratkan pemerkasaan institusi keluarga. Malah tidak keterlaluan saya katakan, sebelum beliau memimpin massa, beliau adalah seorang isteri dan ibu yang telah menjadi adiwira di dalam lingkungan keluarganya sendiri. Saya mengenali beliau sebagai public figure sejak sekian lama, sentiasa mengingati kebanggaan bapa mertua saya yang semasa bertugas sebagai Naib Qadhi, telah menikahkah Prof Aminuddin dengan Dr. Lo’lo, lama dahulu.

Dr. Lo’lo mahu banyak usaha dibuat untuk memperkasakan institusi keluarga.

Dengan kerjasama Yayasan Prihatin Titiwangsa, Nisa’ Titiwangsa, Yayasan Selangor dan beberapa badan lain, beliau memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjalankan program Sinergi Keluarga Bahagia. Synergy Training & Consulting (STC) berusaha untuk memenuhi setiap hasrat Dr. Lo’lo dalam hal ini. Semangat Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam yang mahu kita memudahkan urusan, lamaran di Twitter sudah memadai untuk dua buah program diusahakan.

Kali pertama November 2010 yang lalu, penduduk di rumah pangsa dan kawasan sekitar Parlimen Titiwangsa dikumpulkan dan saya meluangkan masa pagi ke petang berkongsi saranan, pengalaman, panduan dan sokongan kepada mereka untuk memperbaiki dan memperkukuhkan keluarga masing-masing sebagai tapak asas perjuangan.

Kali kedua, Dr. Lo’lo menyapa saya dalam kesihatannya yang terbatas, juga di Twitter, meminta satu lagi tarikh. Kali ini 17 Julai 2011 dipilih, dan pesertanya ramai terdiri daripada anak-anak muda yang bakal mendirikan rumahtangga, serta pasangan muda yang baru menapak menuju pembinaan Baiti Jannati.

17 Julai itu juga tarikh sebuah kehilangan.

Usai seminar berakhir, saya mengkursuskan pula pelajar Program ke Jepun di Universiti Malaya, dan sekitar jam 10:30 malam, berita luka itu tiba.

YB Dr. Lo’lo Ghazali menghembuskan nafasnya yang terakhir, meninggalkan keluarga, perjuangan, alumni Sinergi Keluarga Bahagia yang tidak pernah beliau hadiri, dan seisi dunia buat selama-lamanya. Hati saya hancur luluh hingga tidak dapat memandu pulang. Saya berhenti di stesyen minyak, mencari kekuatan kerana di sebalik seribu lapis kesedihan yang ada, saya berasa amat terkilan kerana hajat Dr. Lo’lo mahu menemui saya, yang disampaikan oleh Fawwaz anakanda beliau, tidak sempat saya tunaikan.

Solat Jenazah YB Dr. Lo’lo Ghazali diimamkan oleh YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, demikian juga tazkirah ringkas usai jenazah disempurnakan pengebumiannya jam 11 pagi tadi

Apa yang pasti, Dr. Lo’lo tidak mahu pemergiannya hanya meninggalkan sebuah luka dan kesedihan.

Pemergiannya mesti menjadi api yang membakar semangat untuk kita semua meneruskan perjuangan.

Seperti ungkapan asy-Syaheed Sayyid Qutb di ambang kepulangannya kepada ar-Rahmaan:

Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulangku yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat umat mulia ini
Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan Kekasih yang sedang merinduku
Taman-taman di syurga bangga menerimaku
Burung-burung berkicau riang menyambut ku
Berbahagialah hidupku di alam abadi

Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah roh ku terbang mendapatkan rindunya
Janganlah gentar berkelana ke alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar

Berehatlah bonda YB Dr. Lo’lo Ghazali dari keletihan dunia.

Tiada lilin yang pernah engkau nyalakan, melainkan akan kami oborkan ia hingga sirna gelap Jahiliah dan terbit fajar kemenangan, tidak lama lagi!

Buat adinda Fawwaz dan Farhan sekeluarga, semoga tabah dan teguh di jalan yang penuh ranjau dan liku ini…

Inna Lillaah wa Inna Ilayhi Raaji’oon…

 

sumber: saifulislam. com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: