Ramadhan : Motivasi Mukmin


Ramadhan sudah berada di hadapan. Lebih kurang 10 hari lagi. Ya. Teruja? Ya, saya teruja.

Pernahkah anda lihat di mana-mana filem, akan sekumpulan atau seorang manusia, melarikan diri dari satu ancaman(hantu, tentera musuh, binatang buas), dia atau mereka melarikan diri dengan bersungguh-sungguh, sudah tercedera, calar balar di sana sini, dan entah sudah berapa kali hampir mati akibat ancaman yang mengejar tadi, dan kemudian mereka ini sampai ke satu kawasan yang selamat, yang memberikan mereka perlindungan, memberikan mereka makanan dan sebagainya? Bagaimanakah wajah mereka? Bagaimanakah perasaan mereka?

Gembira. Lega.

Ya, keterujaan seperti itu, adalah keterujaan saya.

Selepas 11 bulan melalui kehidupan dalam setahun. Melalui itu, melalui ini, dicengkam jahiliyyah di sudut itu, diheret jahiliyyah di sudut ini, terjatuh dalam lembah dosa di sana, dan tersungkur di lembah dosa di sini, tiba-tiba Allah dengan rahmat dan kasih sayangNya, masih memanjangkan umur ini, memanjangkan keimanan diri ini, untuk berdiri di pintu gerbang RamadhanNya yang mulia.

Siapakah yang tidak teruja? Siapakah yang tidak teruja?

Nyatakan kepada saya. Kerana orang mukmin akan teruja dengan Ramadhan.

Kerana Ramadhan adalah salah satu motivasi, bagi seseorang itu meneruskan kehidupannya sebagai mukmin.

 

Kem Rawatan Kecederaan.

Bergelumang dengan jahiliyyah sepanjang 11 bulan, bertarung dan bertempur dengan mereka, pastinya akan memberikan kesan ke dalam jiwa kita. Luka-luka dan calar-balar hasil dari pertembungan antara kita dan jahiliyyah pastinya wujud. Justeru Ramadhan adalah waktu merawatnya.

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira(mengharap), maka akan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah berlalu.” Hadith Sohih Riwayat Bukhari dan Muslim.

Seakan-akan satu bulan untuk mencuci semula luka-luka yang ada. Agar kembali kuat dan bersih tubuh badan kita. Untuk meneruskan pula perjuangan 11 bulan yang seterusnya.

Diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah berlalu. Tidak teruja? Mustahil.

 

Taman Bunga

Bulan Ramadhan benar-benar taman bunga buat yang beriman. Saya ulang, yang beriman. Ya, sebab orang-orang islam yang tidak kuat keimanannya, tidak akan mampu merasai keindahan taman bunga ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan semua pintu syurga.” Hadith riwayat Bukhari.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit, dikunci pintu neraka, dan dibelenggu semua syaitan.” Hadith Riwayat Bukhari.

Di dalam Ramadhan, jiwa kita akan menjadi ringan dan rasa senang untuk melakukan kebaikan. Kerana orang-orang yang beriman akan benar-benar merasainya. Bagaimana tiba-tiba kekuatan muncul untuk berdiri solat tarawih. Bagaimana tubuh rasa ringan untuk berpuasa hari-hari. Amalan pula akan kelihatan mudah untuk ditambah, contohnya tidak kisah bersedekah banyak, membaca Al-Quran paling kurang sejuzu’ sehari. Dan bukan kita seorang yang merasainya. Wujud juga orang-orang lain di sekeliling kita yang merasainya. Sekaligus menambah kekuatan kita untuk beramal.

Inilah dia masanya. Menggunakan ‘booster’ yang Allah SWT berikan sendiri kepada hamba-hambaNya. Kita gunakan Ramadhan ini, selain merawat luka-luka kita, kita berusaha untuk mempertingkatkan pula diri kita.

Agar menjadi seorang yang lebih kuat, bagi menumbangkan jahiliyyah sepanjang 11 bulan yang akan datang.

 

Dan kini kita berada di hadapan bulan itu.

Dan kini, tinggal lebih kurang 10 hari sahaja. Siapakah yang berdoa agar umurnya dipanjangkan agar mampu memasuki Ramadhan? Siapakah yang sekarang sudah menyahut seruan kami di awal Rejab dahulu untuk bersedia bagi merempuh masuk ke dalam Ramadhan?

Sudahkah kita merancang aktiviti-aktiviti kita di dalam Ramadhan kali ini? Apakah cita-cita kita akan Ramadhan kali ini? Apakah strategi kita bagi menjadikan Ramadhan kali ini Ramadhan yang terbaik?

Ada orang berkata sinis kepada saya:

“Ala, kalau mati sehari sebelum Ramadhan camne? Penat je usaha-usaha.”

Saya tersenyum. “Lebih baik mati dalam keadaan kita usaha nak masuk Ramadhan kan? Dari mati tak prepare apa-apa. Sekurang-kurangnya boleh cakap pada Allah SWT: Aku dah sedia sungguh-sungguh nak masuk Ramadhan, tapi Kau yang tak izinkan masuk.”

InsyaAllah dalam setiap amal ada perkiraannya. Allah bukanlah Bakhil dan Kedekut. Bahkan Dia adalah Yang Maha Melihat, juga Maha Pemurah.

 

Penutup: Keterujaan, untuk 11 bulan yang akan datang.

Untuk saya, yang memandang Ramadhan sebagai tradisi semata-mata amatlah rugi. Bulan Ramadhan tiba, puasa, beramal, kemudian Raya. Itu sahaja rutinnya. Rugi, rugi, rugi dan rugi. Hal ini kerana, Ramadhan hakikatnya adalah checkpoint dalam setahun. Tempat merawat luka. Tempat kita mempertingkatkan diri dan kondisi jiwa.

Sebab itu, Ramadhan adalah motivasi mukmin. Kerana, cita-cita mukmin adalah, dia ingin mencuci bersih kehidupannya dan dunianya dari jahiliyyah yang membawanya jauh daripada Allah SWT. Maka, bila berjaya masuk ke dalam Ramadhan, dia berusaha bersungguh-sungguh. Bahkan, sebelum masuk Ramadhan lagi, semenjak Rejab lagi, mukmin akan bersedia sebagai tanda terujanya dia dengan Ramadhan.

Di dalam Ramadhan dia meningkatkan diri, keluar dari Ramadhan dia menjadi seorang yang lebih bagus lagi. Yang lebih kuat untuk menumbangkan jahiliyyah. Yang lebih kuat untuk menjadi yang mampu mengajak orang lain jauh dari jahiliyyah. Dalam 11 bulan yang akan datang pula.

Ya. Sebab itu Ramadhan menjadi motivasi, pembakar semangat, buat manusia yang beriman. Kerana, hanya manusia yang beriman sahaja percaya:

“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” Surah As-Sof ayat 9-13.

Sebab itu Ramadhan, adalah batu loncatan, agar kita menjadi kuat, bagi mencapai apa yang dijanjikan Allah SWT di dalam perjuangan ini.

 

© Langitilahi.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: