10 malam terakhir, pecutan motivasi mukmin.


10 malam terakhir Ramadhan. 10 malam yang paling popular di dalam kehidupan seorang yang beriman kepada Allah SWT. Hal ini kerana, di dalam 10 malam ini, terdapat satu malam yang ganjarannya melebihi 1000 bulan. Bukan sama, tetapi melebihi. Siapakah yang tidak teruja dengannya?

Tetapi bukan itu fokus saya.

Fokus saya adalah yang lebih besar dari 1000 bulan kebaikan itu.

Apakah yang lebih besar?

Hikmah dalam kerahsiaan, Hikmah dalam pengakhiran.

Dahulu ketika saya kecil, saya sering berfikir mengapa Malam Al-Qadr itu letaknya di 10 malam akhir Ramadhan? Dan mengapa pula dirahsiakan?

Bila saya besar, saya mula memahami.

Kalau yang paling berharga itu diletakkan pada awal Ramadhan, nyatanya selepas itu hari-hari yang berlalu akan menjadi hambar. Pastinya hari-hari selepas itu akan disia-siakan. Kerana yang ‘terbaik’ itu telah dilalui.

Kalau tarikhnya telah diketahui, nescaya manusia tidak akan bersungguh-sungguh pada hari lain, selain hari itu(Malam Al-Qadr) itu. Dirahsiakan agar yang mampu memperolehinya hanyalah yang telah mengumpul kekuatan dari awal Ramadhan, lantas mampu berjaga dan bersungguh-sungguh pada 10 malam yang terakhir.

Akhirnya untuk apa semua itu?

Akhirnya untuk apa dirahsiakan dan diakhirkan?

Untuk menjadikan orang-orang beriman ini termotivasi melalui Ramadhan dengan baik. Bagi yang memahami betapa sukarnya melakukan amalan dalam kadar yang banyak, pastinya, untuk mengejar Malam Al-Qadr, dia akan membina ‘stamina’ dari hari pertama Ramadhan lagi.

Maka apabila datang kepadanya 10 malam terakhir, solat banyak bukan masalah buatnya. Tidur sedikit bukan masalah buatnya. Bangkit di tengah malam bukan ralat buatnya. Membaca Al-Quran banyak bukan kesukaran buatnya. Maka dia akan mengisi seluruh 10 malam terakhir dengan ibadah semampunya, untuk mengejar Malam Al-Qadr yang dirahsiakan waktunya, yang mungkin berlaku pada salah satu hari dari 10 hari tersebut.

Tidakkah kita melihat hikmah tersebut?

Hasilnya apa? Hasilnya Ramadhan berjaya dibolot dengan baik oleh hamba Allah tadi. Jadilah hamba Allah itu mendapat khasiat sebenar yang Allah SWT inginkan daripada hamba-hambaNya di dalam Ramadhan.

1000 bulan, dan dosa yang menggunung

Apa makna mendapat 1 juta ringgit, sekiranya dibazirkan seluruhnya pada jalan yang sia-sia?

Ya, apa guna pahala melebihi 1000 bulan, sekiranya pahala itu akhirnya dihabiskan, diboroskan dengan pelbagai maksiat, keingkaran sepanjang 11 bulan selepas Ramadhan? Bahkan ada yang mendekati syirik, sekaligus membatalkan segala pahala yang ada pada diri. Apa gunanya?

Sebab itulah, jika diperhatikan, Allah SWT hanya menjadikan Malam Al-Qadr sebagai motivasi, ‘pancingan’, agar orang-orang mukmin keras dan kuat, gigih dan tabah dalam menjalani tarbiyah Ramadhan. Malam Al-Qadr hakikatnya bukan matlamat, bukan sebab, untuk hamba-hamba Allah SWT menjalani Ramadhan.

Tetapi Taqwa, mendidik diri menjadi lebih bagus, itulah matlamat sebenar seorang hamba Allah SWT, dan pastinya kehendak daripada Allah SWT sendiri apabila seorang hamba Allah SWT menghadapi Ramadhan.

Sebab itu dengan jelas, ayat pemfardhuan Puasa, disebutkan Taqwa adalah natijah yang sepatutnya dicari.

“Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu puasa, sebagaimana yang telah difardhukan ke atas ummat sebelum kamu, moga-moga kamu beroleh taqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 183.

Agar dengan taqwa ini, kita menjadi manusia yang lebih baik bila keluar dari Ramadhan, dan berusaha keras menjauhi maksiat dan larangan Allah SWT. Itu adalah sejuta kali ganda lebih baik dari pahala 1000 bulan, yang kemudiannya kita bazirkan dengan segala dosa dan maksiat kerana ketidak tahanan kita dalam mengharungi cabaran kehidupan.

Penutup: 10 malam terakhir, locengan terakhir.

Maka, sepatutnya, apabila kita memasuki 10 malam yang terakhir, yang pertama kali menusuk minda kita bukanlah Malam Al-Qadr sebenarnya. Kerana kita tidak mengetahu tarikhnya. Tetapi dengan memasuki 10 malam yang terakhir, telah jelas kepada kita bahawa pengakhiran Ramadhan semakin hampir. Penamatnya sudah kelihatan. Sepatutnya saat inilah kita timbulkan persoalan.

“Apakah yang telah aku lakukan terhadap Ramadhan?”

Maka hari-hari yang berbaki sepatutnya kita usahakan sebaik mungkin, agar kita sekurang-kurang masih mendapat serpihan tarbiyah Ramadhan, yang selama ini kita lalaikan perjalanannya.

Memasuki 10 malam terakhir, ibarat mendengar pengumuman terakhir sebelum kapal terbang berlepas. Bagaimanakah keadaan orang yang dipanggil pengumuman itu? Mereka akan berlari bersungguh-sungguh untuk tidak terlepas kapal terbang. Bagaimana pula kita apabila telah memasuki 10 terakhir Ramadhan?

Masih berlenggang?

Mari sama-sama kita perhatikan.

Sepatutnya, 10 malam terakhir ini, semakin menyemarakkan motivasi kita untuk beramal.

Ayuh!

sumber: Langitilahi.com


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: