Archive for September 2011

Hati Emas

Ramai orang yang punya akal tetapi malangnya ‘tidak berakal’. Maksudnya, mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir. Padahal fikir itu ialah pelita bagi hati. Justeru di dalam Al Quran Allah sering mengingatkan manusia agar selalu berfikir, menggunakan akal untuk tadabbur akan ayat-ayatNya dan mengambil ibrah daripada segala kisah yang daripada Al Quran.

Malangnya, sedikit sekali ‘orang yang berakal’ walaupun ramai yang mempunyai akal. Hingga dengan itu ramai manusia yang tidak terasa kebesaran Allah, terlindung oleh keegoaan dirinya. Tidak mahu bersyukur kepada Allah kerana terhijab oleh kudrat dirinya.  

Itu sekadar renungan awal. Seperti mana ada orang yang punya akal tetapi tidak berakal, maka begitulah ramai ‘orang agama’ tetapi tidak beragama. Maksudnya, dia punya latar belakang pendidikan agama – mahir dengan segala wahyu dan sabda, tetapi segala-galanya tidak memberi impak kepada perilaku dan akhlaknya.

Kita sering bertemu dengan orang yang sedemikian. Kita kagum dengan latar belakang kelulusannya, cakap-cakapnya, malah kekadang ceramah-ceramah serta kuliahnya tetapi apabila kita mula mendekatinya… hati kita tertanya-tanya, apakah ini teladan beragama yang sebenarnya?

Kekadang kita terkesima dengan individu-individu yang sederhana dan latar belakang pendidikan agamanya sangat minimum (bukan tidak ada langsung), tetapi lebih warak, istiqamah dan jujur dalam pergaulan. Dia tidak ‘berminyak air’. Apa yang dipaparkannya di hadapan dan di belakang orang sama.

Saya kagum dengan beberapa orang individu yang saya kenali dalam kehidupan ini yang begitu teliti dengan makanan yang hendak diambilnya, wang yang pernah dia berhutang, komen yang hendak dilontarkannya kepada seseorang, sangat menjaga lidah dan tawaduk dalam pergaulan.

Ilmu agamanya tidak tinggi tetapi apa yang ada itu benar-benar diamalkan dan membekas (memberi impak) kepada peribadinya. Ilmu yang banyak tentulah penting. Tetapi bukan semua orang berkesempatan dan punya peluang untuk belajar di peringkat sarjana, master mahupun doktor apatah lagi profesor.

Ramai yang hanya di tahap ‘lepas fardu Ain’… Namun Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi ‘hati yang bercahaya’ berbanding ‘otak yang bergeliga’, hingga dengan itu sedikit ilmu yang ada mampu dimanfaatkan seoptimumnya.

Sepanjang kembara dalam usia mencecah 50 tahun, saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya, tetapi dari hati. Orang yang begini bercakap tulus dan telus. Tanpa bunga-bunga kata, tanpa kilasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja.

Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun body language – bahasa badannya (yang lebih jujur dan asli) – memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka inilah ‘orang-orang kecil’ yang begitu besar dalam arena pendidikan.

Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan ‘murid-murid’ tidak rasminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat. Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinasikan, mencirikan dan mengupas ilmu rumah tangga secara ilmiah, mereka secara ‘simple’ menyampaikan ilmu itu secara amaliah.

Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka. Orang sibuk membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resipi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya ‘harta’ yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci-maki dan hasad dengki manusia.

Mereka ini bukan selebriti yang tersohor atau produk program realiti agama yang semakin banyak ketika ini. Mereka ini terselit di tengah-tengah masyarakat tanpa ‘glamour’ dan gelaran. Mereka juga tidak diuar-uarkan dalam kitaran strategi promosi dunia pasaran kontemporari yang bernuansa Islam .Tegasnya,  mereka ini  tidak ada nilai komersial – tidak , cukup pakej, kata orang sekarang. Mereka ini hanya produk ‘universiti kehidupan’ – yang mendapat ijazah melalui mehnah dan mujahadah. Ya Allah, temukan kami dengan orang ini, manalah tahu mereka itulah pewaris hati Uwais Al Qarni yang doanya mustajab dan kata-katanya mujarab untuk merawat mazmumah yang masih bersarang dalam jiwa ini.

Sahabat-sahabat ku (pengunjung gentarasa), kekadang terlalu banyak untuk ditulis sehingga tidak mampu dituang oleh kata-kata dan bahasa. Makna kadang-kadang tercari-cari kata-kata kerana sering diungkapkan sesuatu yang indah hanya dapat dirasa tetapi sukar untuk diungkapkan. Ya, tiada kata secantik bahasa… untuk mengungkapkan segala perasaan. Namun, keindahan itu bukan hanya untuk dirasa, tetapi untuk dijelmakan dalam bentuk perbuatan dan tindakan. Ya Allah, jangan jadikan kami orang yang terhijab oleh rasa-rasa yang tidak keruan, disangka kebenaran rupa-rupanya bisikan syaitan!

Untuk mu sahabat-sahabatku, aku tinggalkan sedikit catatan… di nota hati yang ‘bergenta’ beberapa minggu yang lalu. Ini adalah kesah protes hatiku terhadap orang agama yang tidak beragama. Yang tanpa sedar mereka (atau kita juga?) telah menjadi umpama ulu kapak (yang terbuat dari kayu)  untuk menebang kayu. Pinta dijauhkan agar janganlah ‘orang agama’ menjadi fitnah terhadap agama.

Namun, aku tidak mahu mencoret kisah marah. Justeru, menyedari bahawa diri ini juga acap kali  terperangkap dalam tipuan yang sama. Lalu kupintal-pintal rasa marah menjadi kisah kagum, harmoni bernada muhasabah. Ya, akhirnya ku coretkan catatan ini. Cuma kisah sekeping hati..          

HATI SEORANG PEMANDU TEKSI…

Aku melihat dirinya sangat sederhana. Seorang pemandu teksi yang acap kali singgah untuk solat Subuh di masjid berhampiran dengan rumah ku. Kekadang aku berpapasan dengannya lewat solat Asar – jika kebetulan pulang awal dari kerja. Wajahnya jernih walaupun jelas telah berusia. Umurnya, sekitar 65 tahun, mungkin.

“Kenapa masih bekerja Pak cik?”

“Kenapa? Pak Cik dah nampak tua?” tanyanya kembali.

Aku tersenyum. Senang dengan kemesraannya.

“Anak-anak masih kecil?” tanyaku lagi, mencungkil sebab sebenar dia masih bekerja walaupun selayaknya pada usia begitu dia berehat.

“Ah, Pak Cik dah bercucu. Alhamdulillah anak-anak semuanya dah bekerja. Ada juga yang berniaga,” kilas Pak cik itu bersahaja.

“Kenapa Pak cik masih bekerja?” tanyaku lagi sambil memegang bahunya mesra.

“Bukankah bekerja itu satu ibadah? Ibadah mana ada pencen,”jawabnya pendek.

Aku terdiam. Inilah inti pati kuliah ‘Penghayatan Kerja Sebagai Satu Ibadah’ yang selalu aku sampaikan dalam program-program latihan dan ceramah. Terasa malu, aku yang selalu menyampaikan ilmu tetapi Pak Cik ini yang menghayati dan mengamalkannya. Ya, kalau kita bekerja kerana ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti sebaik sahaja kita mendapatnya. Tetapi kalau kita bekerja kerana Allah, atas dasar ibadah, kita akan terus bekerja walaupun telah mendapat imbuhan. Selagi ada tenaga. Walaupun aku kira Pak cik ini telah mendapat bantuan daripada anak-anaknya tetapi dia tetap bekerja kerana dia bekerja bukan kerana wang. Dia bekerja kerana Allah.

“Pak Cik gembira dengan kerja ni?”

“Gembira. Pak Cik tak ada kepandaian lain. Inilah sahaja kepandaian Pak Cik. Bawa teksi. Dengan cara inilah sahaja Pak cik memberi khidmat kepada manusia lain,” akuinya terus-terang. Hebat, inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. yang selalu disampaikan oleh para ustaz,  sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.

“Awal Pak Cik dah keluar? Lepas Subuh terus bekerja?”

“Pagi-pagi ni murah rezeki. Pak Cik suka mula awal tetapi habis awal. Malam boleh tumpukan kerja lain.”

“Malam pun Pak Cik kerja juga?”

“Bukan kerja… Pak cik ikut kuliah-kuliah agama, belajar tajwid semula dan kadangkala ikut dalam majlis zikir. Itulah kerja Pak Cik yang dah berumur ni.”

Subhanallah, sekali lagi Pak Cik ini mengamalkan apa yang disebut dalam Al Quran ‘fa iza faraghta fan sab’ – maka apabila engkau telah selesai (dari satu urusan) tetaplah bekerja keras (untuk urusan lain), maksudnya selesai satu ibadah, kita sambung terus dengan ibadah yang lain pula. Tidak ada istilah rehat yang hakiki di dunia. Kita beribadah ‘around the clock’ – sepanjang waktu. Rehat hanya di syurga.

“Pak Cik dulu mengaji agama di mana?” aku terus mencungkil.

“Pak cik tak pernah mengaji agama secara rasmi. Dulu sekolah kebangsaan sahaja. Apa yang Pak cik dapat hasil mendengar sahaja. Mengaji dengar-dengar, kata orang. Kadangkala di masjid, di surau, dalam radio atau melalui perbualan-perbualan biasa.”

“Apa yang Pak Cik cari  semasa mengaji secara dengar-dengar tu?”

“Pak Cik pegang satu sahaja, bila dapat kita terus amal. Baru ilmu tu berkat.”

Aku senyum. Memang luar biasa Pak Cik yang kelihatan biasa-biasa ini. Aku mendapat berita Pak Cik ini pernah memulangkan wang berjumlah RM 5 ribu yang tertinggal oleh penumpang dalam teksinya. Pernah juga dia bergelut dengan lelaki yang cuba merompak teksinya. Keberanian, kejujuran dan istiqamahnya menjaga solat jemaah sangat aku kagumi.

“Sekarang ni mudah dapat pelanggan?”

“Ada kala mudah, ada kalanya payah. Tak menentu. Sekarang ni susah nak jangka.”

“Kalau pelanggan tidak da bagaimana?”

“Tu, CD kuliah-kuliah agama. Pak Cik habiskan masa dengan dengar kuliah agama. Kalau letih mendengar Pak Cik cubalah zikir sedikit-sedikit. Rezeki tetap ada. Tidak dalam bentuk duit, kita dapat dalam bentuk ilmu.”

“Pak Cik sihat? Tak da sakit-sakit?”

“Sakit tu mesti ada. Badan dah tua. Lenguh-lenguh, sakit urat. Tetapi yang berat-berat tu tak adalah. Alhamdulillah.”

“Pak Cik makan makanan tambahan? Food supplement?” jolok aku.

“Tak da. Pak Cik cuma jaga makan dan joging. Tubuh kita ni bukan kita punya… kena jaga baik-baik.”

“Eh, Pak Cik, sepatutnya yang kita punyalah kita kena jaga baik-baik.”

“Tak tahulah Pak Cik. Tapi Pak Cik anggap tubuh kita ini amanah Allah. Bila amanah, kita perlulah jaga baik-baik.”

Terkedu aku dengan jawapan itu. Dalam hati aku mengagumi orang seperti Pak Cik ini. Orang tua yang ‘simple’, tenang dan punya prinsip yang tepat dan jelas dalam hidup. Dia bukan sahaja memandu teksi tetapi dia benar-benar memandu kehidupannya. Individu yang dianggap marhaen ini rupanya punya ‘hati emas’. Isi cakap dan sikapnya semuanya Al Quran dan Al Hadis, walaupun dia tidak petah menuturkan ayat Al Quran dan lafaz hadis. Sesungguhnya, dia jauh lebih baik daripada para ustaz mahupun orang yang digelar alim, yang mulutnya berbuih dengan ayat Quran dan Al hadis tetapi praktik, hati budi serta gaya hidupnya berbeza dengan ayat Quran dan Al hadis yang menjadi perhiasan lidahnya!.

Kisah Pak Cik pemandu teksi ini mengingatkan aku kepada budak gembala kambing yang diuji oleh Amirul Mukminin Sayidina Umar Al Khattab di tengah padang pasir. Apabila Sayidina Umar mengatakan bahawa tuan punya kambing tidak akan tahu jika budak gembala itu menjual seekor kambing secara senyap-senyap, budak itu lantas berkata, “kalau begitu di mana Allah?”

Begitu juga dengan kisah seorang gadis yang tidak mahu mencampurkan air ke dalam susu yang dijualnya walaupun disuruh oleh ibunya berbuat demikian.

“Kita tidak boleh mencampurkan susu ini dengan air ibu. Amirul Mukminin Sayidina Umar telah melarang perbuatan ini.”

“Ah, kita di dalam rumah kita. Bukankah ini waktu malam? Umar tidak akan tahu,” balas ibunya.

“Tapi Tuhan Umar tahu! Allah tahu ibu.”

Kata-kata budak gembala kambing, “kalau begitu di mana Allah?”  dan gadis penjual susu, “tetapi Tuhan Umar tahu,” sesungguhnya bukan Al Quran dan bukan hadis tetapi rohnya, isinya dan mesejnya sejajar dengan Al Quran dan hadis. Itulah natijah pemikiran dan jiwa yang telah dibentuk oleh iman, lafaz kebenaran boleh jadi diluahkan dalam bahasa pertuturan yang biasa-biasa sahaja tetapi jika dicari dalil dan hujahnya dalam Hadis dan Al Quran, pasti ditemui.

Kembali kepada cerita Pak Cik pemandu teksi yang menjadi teman bual aku di serambi masjid selepas sama-sama mengerjakan solat Asar tadi.

“Pak Cik, apa yang paling susah sewaktu bekerja sebagai pemandu teksi ni?”

“Nak balas kejahatan dengan satu kebaikan. Itu yang paling susah. Pelanggan maki kita, kita balas dengan senyum. Orang herdik kita, kita minta maaf. Orang cuba tipu kita, kita mengelak dengan baik.”

“Mengapa begitu Pak Cik?”

Dia terdiam. Setelah merenung agak panjang beliau berkata,  “ itulah ujian yang menentukan kita ikhlas atau tidak… Kalau kita buat kerana Allah, Insya-Allah, kita boleh balas kejahatan dengan kebaikan. Atau sekurang-kurangnya tidak membalas. Kita diam sahaja..”

Sekali lagi Pak Cik pemandu teksi ini telah menuturkan hikmah yang pernah disampaikan oleh Sayidina Ali. “Tanda ikhlas itu…, kata Sayidina Ali, “ialah apabila pujian tidak menyebabkan kau menambah amal. Dan kejian manusia tidak menyebabkan kau mengurangkannya. Di hadapan dan di belakang manusia, ibadah mu tetap sama.”

Dan sesungguhnya itulah juga inti pati ayat Al Quran, surah Fussilat: 34 yang bermaksud, “ tolaklah kejahatan yang ditujukan kepada mu dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berbuat demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Setelah bersalaman, Pak Cik pemandu teksi itu menuju teksinya.

“Ada janji dengan pelanggan. Assalamualaikum,” katanya, terus memandu teksinya dengan ceria. Aku? Aku terus duduk di tangga masjid sambil menghitung diri. Bolehkah aku meneladaninya? Bolehkah aku membalas kejahatan dengan satu kebaikan? Atau aku akan terus sibuk mencari dalil dan fakta untuk bahan tulisan atau ceramah sedangkan ada insan lain yang jauh lebih ikhlas telah mengamalkannya dalam kehidupan? Ya, alangkah dungunya kita kalau hanya sibuk menghafal nama makanan sedangkan orang lain telah memakannya? Begitulah perumpamaannya…

 

sumber: genta-rasa.com

Membersihkan diri, mengaut ketenangan sejati.

Ketenangan jiwa, kekuatan hati, kelapangan kalbu, adalah apa yang manusia cari. Ada yang mencarinya dengan duit yang bertimbun, merasakan duit yang banyak menghilangkan keresahan. Ada yang mencarinya dengan mendapatkan pasangan, merasakan pasangannya mampu mengisi kekosongan. Ada yang mencarinya dengan menyendiri, merasakan apabila dirinya bersendirian maka segala gelisah akan hilang.

Tetapi ramai yang tidak bertemu dengannya. Bagaimana mencarinya pun, tetap akhirnya ketenangan dan kelapangan yang didapati itu tidak bertahan. Maka ramai yang tertanya-tanya, apakah yang perlu dilakukan, untuk mendapatkan ketenangan sejati.

Jika soalan ini diberikan kepada saya, maka saya akan menjawab:

“Dengan membersihkan diri.”

 

Hati itu milik siapa?

Di manakah letaknya ketenangan, kelapangan, dan kesenangan di dalam diri manusia? Dari manakah rasa itu terbit? Dari tangan? Kaki? Perut? Tidak dan tidak.

Tetapi daripada hati. Bukan hati organ. Tetapi ‘hati’. Roh. Yang tidak kelihatan itu.

Kita kembali bertanya, hati itu milik siapa?

Ya, siapakah pencipta kepada hati?

“Allah.” Dan roh kita menjawab.

Maka perjalanan mencari ketenangan adalah bermula dengan jawapan kita itu.

 

Punca keresahan dan kegelisahan

Mengapakah hati yang diciptakan Allah SWT itu resah dan gelisah? Ya, kenapa?

Kerana hati itu terpisah jauh dengan penciptaNya.

Hati adalah tempat terkandungnya fitrah asal manusia. Sejahat mana pun manusia, apabila mereka melakukan kejahatan mereka, tidak dapat tidak mereka akan dapat mendengar ‘suara hati’ mereka membantah perbuatan mereka. Ya, ini adalah realiti. Tinggal, mereka tetap terus melakukan kejahatan kerana mereka tidak menyahut seruan hati mereka itu.

Fitrah hati adalah taat dan tunduk kepada Allah SWT.

“Bukankah Aku ini Rabb kamu? Mereka menjawab: Iya, kami menjadi saksi.” Surah Al-A’raf ayat 172. Itulah dia perbualan Allah dengan roh-roh sebelum roh-roh dimasukkan ke dalam tubuh kita.

Fitrah kita adalah rapat denganNya. Menjauhi Allah, adalah punca keresahan dan kegelisahan kita. Apakah perkara-perkara yang menjauhkan kita daripada Allah SWT?

Hendak menyenaraikannya pasti panjang. Maka cukup saya konklusikan semua jawapan dengan satu kalimah.

Dosa.

 

Bersihkan diri, rapati Ilahi, dapatkan ketenangan sejati

Kadangkala kita hairan melihat Rasulullah SAW yang menghadapi ujian dan dugaan yang amat hebat, tetapi baginda kekal tenang di dalam kehidupan. Tidak pernah kedengaran baginda tertekan hingga memarahi isteri dan anak-anak. Tidak pernah kedengaran baginda ‘lost control’, tidak pernah kedengaran baginda mengeluh dan merungut. Baginda tenang, hatta di tengah kancah peperangan.

Mengapa?

Kerana baginda menjaga hubungan dengan Allah SWT.

Kadangkala kita hairan melihat Abdurrahman bin Auf RA, Suhaib Ar-Rumy RA, Uthman ibn Affan RA, yang merupakan golongan kaya, tetapi meninggalkan semua harta mereka ketika hijrah. Tidak pula mereka histeria, tertekan, gundah, resah dengan meninggalkan harta mereka. Bahkan, mereka kuat dan tabah membina semula kehidupan mereka, dan akhirnya kembali berjaya menjadi antara yang terkaya di jazirah arab.

Mengapa?

Kerana mereka menjaga hubungan mereka dengan Allah SWT.

Kadangkala kita hairan melihat sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang tidak banyak wang seperti Abu Hurairah RA, Abu Bakr RA, Umar RA, Bilal bin Rabah RA. Mereka tidak pula sakit jiwa, mereka tidak pula tidak bersemangat, mereka tidak pula mencuri. Bahkan mereka tenang menjalani hidup, bahkan sanggup lagi memberikan infaq dan sedekah walau diri sendiri kesempitan.

Mengaoa?

Kerana mereka menjaga hubungan mereka dengan Allah SWT.

Pastinya, orang-orang yang menjaga hubungan dengan Allah SWT ini, sering membersihkan diri mereka. Antara tanda kita menjaga hubungan dengan Allah SWT, adalah kita sentiasa bertaubat dan memohon ampun kepadaNya.

“Sesungguhnya Allah itu mencintai orang-orang yang sering bertaubat dan orang-orang yang membersihkan diri.” Surah Al-Baqarah ayat 222.

Tidakkah kita melihat?

 

Penutup: Dapatkanlah ketenangan sejati. Sungguh, ia milik kita

Rasulullah SAW dan para sahabat nyata adalah contoh yang terbaik. Mereka memperolehi ketenangan sejati. Hatta badai cabaran yang tinggi juga tidak mampu menggoncangkan manusia yang memperolehi ketenangan hati ini.

Dan ketenangan hati ini adalah milik kita. Sebab itu Allah SWT menggesa kita mendapatkannya. Isyarat gesaan ini tersembunyi di dalam ayat-ayatNya.

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Rabb kalian dalam keadaan berpuas hati lagi diredhai.” Surah Al-Fajr ayat 27-28.

Kenapa Allah menyeru jiwa-jiwa yang tenang? Kerana jiwa-jiwa yang tenang sahaja yang mampu kembali kepada Allah dalam keadaan diredhai. Jiwa-jiwa yang tenang sahaja mampu mengharungi segala ujian dan cabaran di atas dunia ini.

Maka apakah kita tunggu lagi? Motivasi meneruskan kehidupan ini dalam keadaan terbaik dan tertinggi, adalah dengan mendapatkan ketenangan hati. Ayuh!

“Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang.” Surah Ar-Ra’d ayat 28.

Bersihkan diri, rapati Ilahi, dapatkan ketenangan sejati.

sumber: Langitilahi.com

Dan selepas itu apa?

Kita melalui kehidupan ini dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Cabaran dan dugaan ini pula tidak terhad kepada hanya kesusahan dan kepayahan. Tetapi termasuklah godaan dalam melakukan kejahatan dan keingkaran kepada Allah SWT.

Dan biasanya, kita gagal dalam melawan godaan ini. Tewas dengan kecantikan dan kepuasan dalam melakukannya, tersungkur dengan apa yang ditawarkan olehnya, membuatkan kita memilih untuk melakukannya.

Justeru persoalan yang sering timbul adalah bagaimana untuk melawan godaan ini?

Di sinilah saya mengajak kita menimbulkan satu soalan buat diri, apabila hati tercuit untuk melakukan sesuatu yang menyalahi kehendak Ilahi.

“Dan selepas itu apa?”

 

Kejahatan Yang Dicantikkan.

Mencuri itu kelihatan cantik, apabila dihiasi dengan ganjarannya daripada pencurian yang dikatakan lumayan. Wang yang bertimbun, kehidupan yang senang lenang, tidak perlu bersusah payah belajar dan mencari kerja, itu semua membuatkan ‘Mencuri’ itu menjadi indah bagi sebahagian orang.

Berbohong itu kelihatan cantik, apabila dihiasi dengan keadaannya yang ‘menipu hakikat’. Kita yang miskin pun boleh menjadi kaya bila berbohong, kita yang lemah pun boleh kelihatan hebat dengan berbohong, kita yang bodoh pun boleh kelihatan pandai dengan berbohong. Bahkan dengan berbohong, kita boleh mengakses wang yang banyak, melakukan rasuah, songlap duit dan sebagainya. Dengan berbohong juga kita mungkin boleh melarikan diri daripada hukuman.

Berzina, bercouple, dan sebagainya, akan kelihatan cantik, apabila dihiasi dengan keadaannya yang memuaskan semarak nafsu yang menyala di dalam hati. Akan kelihatan amat indah dengan segala ‘kata cinta’ dan ‘kemanisan’ hubungan antara lelaki dan perempuan. Berzina, kononnya merupakan pembuktian cinta yang sebenar kerana sanggup menggadaikan diri.

Tidak mahu solat, tidak mahu puasa, tidak mahu menunaikan zakat, semuanya akan kelihatan cantik apabila dihiasi dengan keadaannya yang ‘melepaskan kita dari segala tugas dan tanggungjawab’, yang memberikan kita masa yang ‘lapang’ dan tidak ‘menyibukkan’ kita.

Ya, kelihatan indah.

Dan siapakah yang membawa kita melihat semua ini indah?

“Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk,” Surah An-Naml ayat 24.

Itulah dia syaitan yang telah menghiasi semua kemungkaran itu dengan keindahan, agar kita tertarik untuk melakukannya.

 

Dan kecantikan itu hanya sebentar, dan kemudian…?

Tetapi kita akan tersedar bahawa segala kecantikan yang dimomokkan oleh syaitan tadi itu, hanya bersifat sementara. Ya, tidak dinafikan akan datang segala yang kita katakan ‘kepuasan’, ‘senang lenang’, tidak ‘menyibukkan’, dan sebagainya tadi. Tetapi semua itu akan berlalu pergi, dan konsikuensi daripada perbuatan itu akan memburu kita.

“Dan selepas itu apa?”

Ya, dan selepas kita lakukan semua itu, merasai kepuasan yang sangat sementara itu, selepas itu apa?

Selepas mencuri, dapat wang, belanja wang, dan selepas itu apa?

Selepas berbohong, kelihatan hebat, atau dapat songlap duit dan sebagainya, dan selepas itu apa?

Selepas berzina, selepas couple pegang-pegang tangan, duduk dua-duaan, rasa puas, rasa sempurna sudah cinta kita, dan selepas itu apa?

Selepas berlalunya waktu solat yang kita tinggalkan, selepas berlalunya Ramadhan yang tidak kita laksanakan, selepas tamatnya waktub membayar zakat yang kita tidak lakukan, kita rasa senang hati, lapang masa, tidak sibuk, boleh buat benda lain, tetapi selepas itu apa?

Ya. Tidakkah kita melihat, kehidupan tidak berakhir selepas itu?

Kehidupan masih berjalan. Kita bukan terus masuk ke dalam ‘syurga’ selepas segala perbuatan itu. Kita masih perlu hidup. Dan kita hidup dengan diburu konsikuensi perbuatan-perbuatan kita tadi.

Pencuri akan sentiasa ketakutan, gelisah, kalau-kalau perbuatannya ditemui dan diketahui.

Pembohong akan sentiasa tertekan, kerana tahu dia tidak hidup di dalam realiti, dan risau sekiranya pembohongannya terbongkar mendedahkan dirinya yang hakiki.

Penzina akan diburu kekotoran, dia telah me’labur’kan teruna dan daranya hanya untuk momen yang sebentar, dan tidak pula berkekalan dalam suasana yang bersih. Apatah lagi sekiranya daripada penzinaan itu Allah berikan anak. Ada yang sibuk hendak menggugurkan kandungan, bergaduh pasangan yang dikatakan sebelum ini bercinta, perempuan menjadi mangsa, lelaki lari dari diburu tanggungjawab, dan sebagainya.

Mereka yang bercouple, sibuk melanggar perintah Allah SWT, dan kemudiannya oleh kerana dasar cinta yang tidak jelas, roboh hubungan itu. Akhirnya sedar telah banyak wang dilaburkan, telah banyak masa dihabiskan, untuk sesuatu yang bukan sahaja tidak memberikan makna, bahkan menambah dosa di dalam kantung amalannya.

Dan peninggal-peninggal perintah Allah SWT, diburu dosa yang bertimbun hasil peninggalan tanggungjawab yang mereka lakukan.

Adakah ini keindahan?

 

Realistik

Masyarakat sering mengejek bahawa ‘Pengejar Syurga’ itu tidak realistik. Kerana dikatakan bahawa mereka yang mengejar syurga itu mengejar sesuatu yang tidak kelihatan, dan tidak pula pasti.

Tetapi bila dilihat semula, ‘pengejar-pengejar syurga’ hidup dalam keadaan tenteram, bersih, lapang dada, dan bahagia. Walau ada antara mereka yang dilambung badai dugaan dan cabaran kehidupan, mereka tetap meneruskan kehidupan tanpa tertekan. Kerana mereka memahami bahawa kehidupan ini adalah medan ujian. Yang perlu mereka lalui dengan bersungguh-sungguh.

Berbanding mereka yang ‘mempercepatkan’ kepuasan, keindahan, kesenangan dengan cara yang tidak betul, yang pada akhirnya diri mereka diburu dengan palitan perbuatan mereka, hidup tidak tenteram, gelisah dan resah, luar nampak hebat tetapi dalaman hakikatnya gersang, maka apakah maknanya?

Maka yang realistik adalah ‘pengejar-pengejar syurga’. Walaupun memang syurga itu tidak kelihatan, dan memang tidak dapat dibuktikan, tetapi sekurang-kurangnya mereka hidup di atas dunia dalam keadaan aman dan tenteram, tenang dan kuat.

Persoalannya, siapakah yang menyedari akan hal ini, untuk menjadikannya satu ‘kekuatan’ melawan godaan syaitan untuk kita melakukan kemungkaran?

 

Penutup: Sentiasa tanya pada diri.

“Dan selepas itu apa?”

Ya, tanya pada diri. Sentiasa tanya pada diri, sebelum melakukan sesuatu yang memang kita tahu Allah larang. Tidak mahu tutup aurat, tidak mahu solat, hendak bercouple, berzina, mencuri, berbohong, melancap dan sebagainya, sentiasa tanya kepada diri: “Dan selepas itu apa?”

Hatta kehidupan di dunia pun selepas itu tidak mampu dilalui dengan tenang, apatah lagi dengan ‘selepas itu yang lebih jauh’, yakni kehidupan akhirat?

“Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka – pada hari itu(Hari Akhirat).” Surah Al-‘Adiyyat ayat 9-11.

Mari sama-sama kita muhasabah diri kita kembali.

Sesungguhnya ini adalah motivasi daripada Ilahi, yang sering mengajak hamba-hambaNya agar kembali melihat diri. Semuanya untuk kebaikan Hamba, tanda sayang Ilahi kepada kita. Allahuakbar.

© Langitilahi.com

BERSANGKA BAIK DEMI CINTA

Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun siisteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”

“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”

“Mengapa pula?” tanya siisteri.

“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”

“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?”

Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah ‘what happens in you’ bukan ‘what happens to you.’

Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:

  1. 1.      Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.

Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?

Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.

Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan.  Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga)  yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.

Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.

Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.

Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.

ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?

Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.

iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.

Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!

Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!

iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.

Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.

Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?

Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.

v) Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah.  Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?

Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.

Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya… Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!

Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.

Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…

Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”

 

sumber:gentarasa.com

Engkau Tidak Pernah Sunyi

Stress? Rasa tiada siapa bersama-sama? Tekanan belajar@kerja bertimbun dan merasakan diri sudah sampai ke limitnya? Akhirnya semua itu membuatkan diri rasa tersepit dan terhimpit? Rasa sunyi?

Ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan.

Sesungguhnya, kita tidak pernah sunyi.

Mari kita lihat kehidupan yang lebih besar daripada diri kita ini.

Sesungguhnya Allah SWT menemani.

Melihat Alam Yang Luas

Mari kita lihat pokok-pokok yang berada di dalam hutan. Yang tidak disiram atau dibaja manusia. Bukankah mereka itu hidup mekar dan tumbuh melata?

Mari kita lihat pula ikan-ikan di laut yang tidak diberi makan jauh sekali dijaga oleh manusia. Bukan mereka itu hidup segar dan aktif sentiasa?

Mari kita lihat pula semut-semut yang tidak diternak atau disuap oleh manusia. Bukankah tiada antara mereka itu mampu bergerak dan meneruskan kehidupan mereka?

Mari kita kembali ke laut dan melihat seekor haiwan bernama Paus. Saiznya yang besar, pastinya memerlukan makanan yang banyak. Tetapi apakah manusia menyediakan? Tidak. Namun Ikan Paus tidak pernah mati kebuluran di tengah laut sekiranya ekosistemnya tidak terganggu.

Kita lihat ke awanan, berkepul-kepul gebu putihnya. Mengapa dia tidak jatuh? Apakah manusia yang menjaganya?

Kita lihat ke angkasa raya, bumi dan planet-planet lain bergerak mengikut orbit masing-masing, dan matahari pula kekal di tempatnya berpusing. Apakah manusia yang mengawalnya?

Dan kita kembali kepada diri kita saat kita masih berada di dalam rahim ibu.

Siapakah yang memberikan kita makan dan minum di dalam perut Ibu itu? Apakah seorang Ibu mampu menukarkan makanan yang dimakannya kepada khasiat-khasiat khas untuk bayi? Tidak. Jadi siapakah yang menjaga kita ketika itu sebenarnya?

Itulah dia Allah SWT.

Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa? [Surah Yunus ayat 31]

Dan Allah yang menjaga semua itu, wujud di sisi kita sentiasa.

Allah yang memberikan rezeki, yang menjaga dan mengawal semua itu tadi, berada di sisi kita sentiasa.

Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat [Surah Al-Baqarah ayat 214]

Sesungguhnya Aku amat dekat [Surah Al-Baqarah ayat 186]

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. [Surah Qaaf ayat 16]

Tidakkah kita merasa selamat dan tenteram bila mengetahui hal ini?

Cuma persoalannya, apakah kita berhubungan denganNya?

Punca tekanan dan kesunyian yang sebenar

Dunia ini akan hancur. Harta akan habis. Anak dan isteri akan membesar dan menua, juga mustahil untuk mereka memberikan masa 24 jam penuh kepada kita. Rakan-rakan juga datang dan pergi, dan masing-masing ada urusan masing-masing.

Sekiranya kita meletakkan pergantungan utama kita kepada perkara-perkara yang fana ini, semestinya kita akan menghadapi tekanan dan merasa kesunyian. Kita akan diserang ketakutan. Takut ‘kehilangan’.

Itulah masalah kita sebenar. Tidak mempunyai hubungan dengan Allah SWT. Tidak bergantung dengan Dia, yang sebenarnya merupakan solusi kepada permasalahan kita. Kita tidak taat kepadaNya, kita melanggar perintah-perintahNya.

Ketiadaan hubungan dengan Allah SWT, adalah punca permasalahan kita.

Penutup: Kita Tidak Pernah Sunyi

Sesungguhnya rezeki itu ada. Bagi yang berusaha dan taat. Sesungguhnya bahagia itu ada. Bagi yang mendekatiNya dan merapat.

Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan memberikannya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. [Surah At-Talaq ayat 2-3]

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwatentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. [Surah Al-A’raf ayat 96]

Jadi apa lagi?

Mari lihat semula kehidupan kita. Muhasabah hubungan kita dengan Ilahi.

Sungguh, melihat alam itu sahaja sudah memberikan kita motivasi.

Inilah dia motivasi daripada Ilahi.

  sumber : © Langitilahi.com

Saya Halalkan RM3.00 itu….

alt

Tulisan ini sekadar perkongsian ilmu. Ia berlaku kepada saya dan suami sekitar jam 6.30 petang pada 29 Mac 2011. Lokasi kejadian di Restoran Enak (bukan nama sebenar).Sejak setahun yang lepas, saya dan suami berulang alik dari Janda Baik, Pahang ke tempat kerja di Putrajaya. Kami menggunakan Lebuhraya KL-Karak dengan kadar tol pergi dan balik berjumlah RM10. Rutin perjalanan yang sama, ada kalanya membuatkan saya ingin mengalih angin. Lantas, saya menggunakan jalan lama Kuala Lumpur-Bentong pada hari tersebut. Jaraknya lebih jauh dan masanya lebih lama berbanding menggunakan lebuhraya. Namun, pemandangan sepanjang perjalanan menjentik rasa damai dihati. Saya mendapat pengalaman baru sepanjang perjalanan itu.

Kami mengambil keputusan untuk singgah di sebuah restoran makanan. Makanan dan minuman yang dipesan tiba seperti biasa. Kelihatan beberapa pengunjung singgah di situ. Sesudah makan, kami pun membayar harga makanan dan minuman tersebut di kaunter pembayaran.
“Dik, berapa harga makanan tadi?”
“Jumlah harga RM26.00.”
Saya menghulurkan RM50.00. Namun, apabila dipulangkan baki, hanya RM21.00 yang saya dapat. Mustahil ianya satu kesilapan kerana jumlah harga diulang sekali lagi oleh saya semula dan disahkan oleh juruwang. Mustahil juga juruwang tersilap memulangkan bakinya kerana pada logik akal saya, pasti tidak akan berlaku kesilapan setakat mengira wang RM1.00 sebanyak empat keping sahaja.
Walaupun saya tidak berpuas hati, atas alasan tidak mahu memalukannya atau mungkin dia memang berniat tidak baik, kami terus berlalu. Saya masih tidak berpuas hati. Katakanlah setiap makanan berharga RM5.50 atau RM 6.00, jumlah harganya tidak akan menjadi RM29.00. Masih terngiang-ngiang di telinga saya, setiap makanan berharga RM4.50. Perjalanan diteruskan dan saya cuba melupakan perkara ini.
Pada keesokan paginya, sudah menjadi rutin harian saya untuk mendengar segmen tafsiran Quran di Radio IKIM fm. Kali ini Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed menceritakan riwayat orang soleh yang disegani. Beliau beria-ia mempertahankan duitnya yang sedikit berbanding dengan duitnya yang banyak sebelum ini. Apabila ditanya, kenapa beliau bertindak begitu, beliau menjawab, duit yang sedikit ini jelas duitnya dan dia mempertahankannya supaya orang ini tidak memakan duit haram, manakala duit yang banyak sebelum ini diragui olehnya bukan miliknya, makanya dibiarkan orang itu memiliki duit tersebut.
Akhirnya saya sedar, saya telah bersikap zalim dengan pekedai itu. Saya tidak menegur kesilapannya dan membiarkan dia mendapat duit haram. Malah, saya berburuk sangka dengannya. Kemungkinan dia melakukan kesilapan kerana terlalu penat. Alasan saya untuk tidak memalukannya adalah tidak tepat. Seharusnya saya terus menegurnya supaya kesilapan tidak berulang. Saya perlu mempertahankan wang RM3.00 saya kerana ianya memang milik saya.
Saya juga berbuat silap. Oleh itu, saya halalkan RM3.00 itu supaya tidak menyusahkan kehidupan pekedai itu. Niat untuk tidak berkunjung lagi ke restoran itu, saya usir jauh dari hati. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk kepada saya dalam setiap langkah kehidupan menuju ke jalan Ilahi. Semoga Allah sentiasa bersama saya.
-30 Mac 2011
Manusia, mudah lupa dan leka. Saya terlupa, perkara yang pernah saya coretkan. Saya pernah memberi pinjaman kepada seorang rakan. Dia menghubungi saya lewat telefon. Apabila mendengar suaranya yang sayu dan masalahnya yang kekurangan wang, hati saya dihambat rasa kasihan. Lantas saya memberi RM100.00 sebagai pinjaman kepadanya. Dia amat berterima kasih kepada saya dan berjanji akan memulangkan wang tersebut. Namun, janji tinggal janji. Setelah tiga bulan berlalu, dia cuma diam seribu bahasa. Saya tertanya-tanya, mengapa dia masih belum membayar hutang. Bukankah gajinya sudah tiga kali masuk, berserta setengah bulan bonus lagi? Kenapa? Hati menjadi berat apabila memikirkannya.
Saya tidak menceritakan perkara ini kepada rakan sekerja yang lain. Bagi saya, hutang adalah satu isu yang kurang baik diceritakan. Saya juga tidak mahu mengingatkannya kerana bimbang dia akan mendapat malu. Saya cuba bersangka baik. Mungkin keadaannya tidak mengizinkan.
Namun, hati saya masih tertanya-tanya. Mengapa dia mengambil ringan hal hutang piutang ini? Mengapa tidak menulis nota ringkas sebagai peringatan? Hati saya tidak mampu redha dengan sebenar-benarnya. Lantas, saya berkongsi beban perasaan ini dengan suami. Suami mengingatkan saya tentang coretan saya pada 30 Mac 2011 dahulu. Suami bertanya, adakah saya ingin menyusahkan kehidupannya di akhirat nanti? Saya perlu berjumpa dengannya, mengingatkan semula akan hutangnya. Saya patut berusaha untuk mendapatkan hak saya. Mungkin dia benar-benar terlupa. Bukankah dia manusia biasa? Adakah saya ingin membiarkan dia malu di hadapan Allah nanti? Adakah saya mahu berlaku zalim padanya di akhirat nanti?
Seandai saya tidak mahu menzaliminya di akhirat nanti dan tidak mahu memalukannya di dunia ini serta tidak ingin menyusahkannya untuk memulangkan kembali RM100.00, maka halalkanlah dengan seredha-redhanya. Nota ringkas yang saya tampal pada kalendar meja di pejabat, saya renyuk dan buangkannya. Kosongkan hati dan minda seluas-luasnya.
Rezeki Allah pelbagai bentuk, ilmu Allah seluas lautan, kasih sayang Allah tidak bertepian. Syukur pada Allah diberikan lagi ilmu dalam usaha mendidik hati yang lemah ini. Hendak mendidik hati bukan perkara mudah. Hati perlu disakitkan, nafsu perlu ditundukkan sekiranya kita ingin mencari kehidupan yang hakiki. Ya Allah, aku memohon pada-Mu Ya Allah, walau apa pun takdir yang telah Engkau tetapkan untukku, aku mohon pada-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman aku ini, matikanlah aku dalam agama-Mu Ya Allah, semoga Engkau sentiasa bersamaku. Amin
-Artikel iluvislam.com

Analogi Kehidupan…

Setiap petang telah menjadi rutin kepada pemilik pokok-pokok bunga untuk menyiram pokoknya yang kelihatan layu sebelum menjadi segar bugar setelah disiram.
-Iman manusia juga begitu, kadang-kadang naik, kadang-kadang turun, maka penyelesaiannya ialah dengan sentiasa menyiram ilmu ke dalam dada agar Iman terus konsisten dan berkembang.
Dulu ketika zaman Hindustan sedang ‘meletup’ saban minggu pasti ramai yang tidak akan melepaskan peluang menonton filem-filem Hindustan.
Tiba-tiba pada suatu hari, cerita Hindustan yang ditayangkan tiada alih bahasa akibat masalah teknikal, maka kecewalah peminat-peminat Hindustan ini kerana mereka tidak dapat menghayati, memahami dan menitiskan air mata kerana tidak faham sebutir pun perkataan yang disebut di dalam cerita tersebut.
-Samalah juga dengan solat yang hanya akan menjadi ritual fizikal dan sebutan di hujung bibir sahaja jika tidak difahami maksud bacaan yang dibaca dalam solat.
Setiap pekakas, alatan atau segala jenis barang yang kita beli pasti disediakan buku manual bagi memastikan pengguna dapat memahami cara penggunaannya yang betul agar tidak mudah rosak ketika digunakan.
-Allah S.W.T itu Maha Penyayang dan Maha Bijaksana. Dialah yang menciptakan manusia dan Dia jugalah yang menyediakan buku manual yang lengkap kepada kita iaitu al-Quran agar hidup kita sentiasa di jalan yang benar dan lurus.
Jika melalui Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, akan kelihatanlah bangunan KLCC yang tersergam indah dan berdiri kukuh walaupun ditiup angin ribut, hujan badai dan sebagainya kerana asas konkrit di bawahnya cukup teguh untuk menahan KLCC daripada segala rintangan yang dihadapinya.
– Islam merupakan sebuah agama yang kukuh dan sekiranya terpahat dalam diri seseorang, maka ia akan membentuk sebuah asas yang paling kukuh dan terbentuklah sebuah peribadi Muslim yang sejati.
Bagi mereka yang memakai kaca mata, saban hari ketika bangun sahaja daripada tidur, pasti kaca matalah yang dicari terlebih dahulu agar mereka boleh melihat sekeliling dengan jelas.
-Maka, saban hari perkara pertama yang perlu dicari oleh setiap orang adalah Tuhan Penciptanya kerana itulah sebaik-baik tempat bergantung yang kekal abadi.
Mereka yang mempunyai kenderaan pasti akan menyelenggara kenderaan mereka, bergantung kepada jumlah milage yang tertera di meter atau keadaan kereta tersebut, agar kenderaan mereka dapat berfungsi dengan baik dan sempurna.
-Hebatnya Islam kerana Allah S.W.T telah menetapkan manusia agar mendirikan solat lima kali sehari untuk menyelenggara hati yang sering alpa dan melakukan dosa serta bulan Ramadhan diwujudkan sebagai tempoh penyelenggaraan diri yang paling istimewa agar hati, akal serta nafsu manusia dapat beroperasi dengan baik serta menurut syariat yang ditetapkan Allah S.W.T sepanjang tahun.
Mengikut Akta perundangan jalan raya, pemakaian helmet telah menjadi satu kewajipan kepada penunggang motosikal agar keselamatan mereka terjamin dan mengelakkan daripada disaman pihak berwajib.
-Wanita muslim juga begitu, Allah S.W.T telah menetapkan agar mereka memakai tudung yang menutupi hingga ke paras dada agar keselamatan mereka terjamin daripada dinodai mata-mata lelaki yang sentiasa liar.
Durian merupakan makanan kegemaran majoriti rakyat Malaysia, walaupun luarannya begitu tajam dan berduri tetapi ia mempunyai isi yang cantik berwarna kuning keemasan yang enak.
-Begitu jugalah seharusnya penilaian dibuat kepada seseorang. Nilailah seseorang menerusi sifat dalamannya bukan sekadar sifat luaran semata-mata yang boleh mengaburkan mata manusia.
Setiap model jam yang sama pasti mempunyai nombor siri yang berbeza bagi mempermudahkan urusan mengenal pasti model dan memperlihatkan kualitinya yang tinggi dan ekslusif.
-Manusia juga pasti berbeza sifat dan mempunyai pendapat yang berbeza walaupun mereka adalah kembar seiras. Bahkan, setiap individu turut mempunyai cap jari yang berbeza! Ini membuktikan ciptaan Allah itu begitu unik, tiada tolok bandingannya dan mempunyai kualiti yang tertinggi.
Bagaimana mungkin sebuah kapal terbang dapat terbang beribu-ribu kaki daripada paras laut dan mencecah awan jika tiada juruterbang yang mengawalnya?
-Lihatlah perubahan cuaca, siang dan malam, pergerakan angin, pergerakan antara bulan dan matahari yang menerangi kehidupan kita, adakah semuanya boleh bergerak dengan sendiri tanpa ada Pencipta yang mengawalnya saban hari?
Manusia mencipta komputer yang semakin lama semakin kompleks sehinggakan yang terbaru wujud pula komputer nipis yang dipanggil Web Book. Bagi yang tidak berada di dalam bidang IT dan kejuruteraan mekanikal pasti akan pening memikirkan bagaimana teknologi begitu cepat berkembang sehingga mampu pergi ke tahap ini.
-Inikan pula penciptaan Allah S.W.T terhadap segala ciptaan di dunia ini, cukuplah dengan melihat diri kita sendiri, cukup hebat ciptaan Allah yang pasti tidak akan tercapai dek kecetekan akal yang dipunyai oleh manusia.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, serta pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah…” – Al-‘Imran : 190

Sumber imej : Google Image
sumber: –Artikel Iluvislam.com

Program realiti yang dilupakan

Mari kita berhenti seke jap.  Sekejap saja.   Untuk apa?   Untuk mengungkap cebisan rahsia kematian dan kehidupan yang hakikatnya itu adalah ujian bagi setiap insan. Firman Allah:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا

Maksud:  Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. (Surah al-Mulk 67: 2)

Apakah kaitan antara hidup dan mati? Apakah rahsia di sebalik kata-kata bahawa mati itu adalah ‘tunang’ kepada kehidupan? Justeru, marilah kita ‘kembali’ sebelum pergi menemui kehidupan yang abadi!

 

Ingat lagi kata-kata Sayidina Ali karamallahuwajhah yang telah disebut pada awal buku ini? Ya, katanya:“Manusia semuanya tidur, apabila mati baru mereka terjaga (tersedar).”       

Kata-kata itu sungguh dalam dan tersirat maknanya. Ia bermaksud, hanya apabila seseorang itu telah mati barulah hakikat atau realiti kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya.

Pendek kata, mati adalah ‘program realiti’ yang benar-benar realiti. Setelah roh berada di alam barzakh (yakni alam kubur yang menjadi sempadan antara dunia dan akhirat), barulah kebanyakan manusia sedar apakah perkara yang benar-benar bernilai dalam hidupnya ketika hidup di dunia. Apabila mata yang ada hancur dimamah bumi, maka ketika itulah mata hati yang alpa selama ini tersentak dan terbeliak. Lalu ketika itu barulah terserlah yang mana ‘intan’ dan yang mana ‘kaca’?

Menjelang kematian, setiap diri akan akur betapa bernilainya kebaikan dan kebajikan. Itulah hakikatnya intan yang selama ini dianggap kaca. Dan pada saat itu barulah kita sedar betapa intan yang selama ini kita puja hakikatnya kaca yang tidak berharga. Itulah perbuatan dosa dan perkara yang sia-sia. Alangkah ruginya ketika hidup di dunia. Kita tersentak!

Manusia baru tersedar apakah hakikat kehidupan yang sebenar setelah kematian. Dan lebih malang lagi rupa-rupanya baru pada ketika itu manusia menyedari bahawa mati sebenarnya bukanlah satu pengakhiran, tetapi ia adalah satu permulaan kepada satu kehidupan yang tidak ada mati-mati lagi (hidup di akhirat kekal abadi).

 Manusia telah diingatkan bahawa di alam roh kita telah mengenal Allah. Firman Allah:

أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا

Maksud: “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Benar, Kami menjadi saksi.” (al-A’raf 7: 172)

Bahkan telah mengakuinya sebagai Rabb yang sebenar (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan jatuh cinta kepada-Nya.

Namun alangkah sedikitnya manusia yang benar-benar mengenal Allah. Kebanyakan manusia hanya ‘mengetahui’ tetapi tidak mengenali-Nya. Mengenal dan mengetahui itu jauh berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Mengenal hanya memahami, tetapi mengenali akan merasai. Kebanyakan kita hanya mengetahui Allah Maha Melihat, tetapi tidak merasai Allah Maha Melihat. Justeru, kita masih tega dan tergamak melakukan kemungkaran walaupun kita tahu Allah Maha Melihat.

Bermula di alam roh dahulu hati kita telah mengenal Allah. Pendek kata, cinta sejati sejak mula ialah cinta Allah. Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu, bermulalah perpisahan cinta daripada cinta Allah seperti terpisahnya cinta anak daripada cinta ibu sejatinya. Kemudian tempat cinta sejati di hati mereka telah diambil oleh cinta palsu.

Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi… semakin bertambah usia, semakin jauh jarak perpisahan itu.

Pepatah Arab ada mengatakan, ‘Manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya’. Jadi, apabila cinta itu sudah tersalah, maka tersalah jugalah manusia meletakkan sifat kehambaannya. Hidup beralih arah, daripada menghambakan diri kepada Allah kepada ‘menyembah’ hawa nafsu. Firman Allah:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلا

Maksud: Adakah engkau nampakkah orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya? (Surah al-Furqan 25: 43)

Akibatnya, tujuan hidup telah tersasar. Ini kerana, hanya manusia yang menyedari adanya Tuhan dan memperhambakan diri kepada-Nya sahaja yang akan mempunyai tujuan hidup yang tepat dan jelas. Manusia tidak akan tahu apa tujuan hidup, kerana manusia tidak pinta dihidupkan. Allah yang menghidupkan kita, maka Allah jualah yang Maha Mengetahui untuk apa manusia dihidupkan. No God, no purpose! – tanpa Tuhan tidak ada tujuan.

Setelah terhantuk (mati), barulah dia terngadah (sedar). Rupa-rupanya apa yang diburu selama ini hanyalah kepalsuan manakala apa yang dihindari adalah kebenaran. Ah, betapa tersasarnya langkah hidup selama di dunia, setelah mati baru terjaga. Pada ketika itu jugalah ramai yang mengharapkan agar dapat pulang ke dunia semula. Minta untuk dipanjangkan umur supaya dapat menukar perbuatan yang buruk selama hidup di dunia dulu dengan amalan kebaikan. Firman Allah:

وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللَّهِ وُجُوهُهُمْ مُسْوَدَّةٌ

Maksud: Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang yang berdusta terhadap Allah dan yang menyatakan kesedihan itu muka mereka hitam legam. (Surah al-Zumar 39: 60)

Di alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’ kepada kita, barulah kita terjaga daripada buaian ‘mimpi’ selama ini. Tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa hakaikatnya hidup ini adalah untuk menghambakan diri kepada Allah – beribadah kepada-Nya. Rasa ingin bertaubat singgah dengan tiba-tiba. Terasa dosa yang dilakukan begitu banyak, bagaikan buih di lautan.

Sayangnya, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana pada saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Jadi, kesedaran itu mesti dirasai semasa hidup di dunia lagi, barulah ia mempunyai makna dan berguna. Apabila hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran akan hakikat kematian,  maka barulah seorang manusia akan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan.

Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya berlaku di alam kubur, maka segala-galanya sudah terlambat. Jadi bertaubatlah sebelum terlambat, kembalilah ketika masih sempat! Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang bijak dan mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang hidup. Merekalah orang yang berani. Dan orang yang berani tidak pernah mati – the brave never die!

Bagaimana untuk mengembalikan semula manusia kepada asas dan teras jati dirinya yakni sebagai hamba Allah? Atau ringkasnya, bagaimana hendak mencapai ketenangan dalam hidup yang serba mencabar ini?

Roh yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Hati yang tenang ialah hati yang mengingati Allah. Firman Allah:

…أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksud: Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah al-Ra’d 13: 28)

Inilah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga selalunya perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat, kita rela menelan kepahitan, kita rela menanggung keperitan berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua itu enak rasanya. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stres… kita ikut dan patuh walaupun begitu ‘berat’ untuk mendapat sihat.

Maka begitulah jalan untuk ‘mengubat’ hati. Penawarnya juga pahit. Ubat hati jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati? Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia.

Ulama sering mengatakan, “Sesiapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras.” Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit.

 

Hijrah bermula dengan diri sendiri. Jangan harapkan keluaraga, masyarakat, organisasi dan negara kita akan berubah (berhijrah) sekiranya diri kita sendiri tidak berubah terlebih dahulu.

Bagaimana kita selepas Ramadan?

Sudah hampir setengah bulan kita berada dalam bulan Syawal.  Ini bermakna dah setengah bulan kita meninggalkan ramadan. Masih terasakan ‘kemanisan’  ramadan pada diri kita?  Atau kita telah melupakan ramadan dan melupakan ‘watak’ kita dibulan ramadan yang lalu.

Biasnya, kebanyakan daripada kita turut menamatkan ibadah-ibadah yang selama ini kita lakukan di dalam Ramadhan. Al-Quran akan nanti jarang-jarang dibaca. Solat fardhu akan biasa dilewat-lewatkan. Sedekah akan menjadi kurang. Pendek kata, amal-amal kebaikan akan merosot.

Tetapi itulah perkara yang kita ingin ubah di dalam diri kita sekarang.

Sebab Allah itu hidup bukan sahaja di dalam Ramadhan. Tetapi di bulan-bulan yang lain juga.

Tidakkah itu cukup untuk menjadi motivasi kita?

Di dalam Ramadhan, kepada siapakah kita persembahkan segala amalan?

Allah SWT.

Apakah Allah SWT itu telah mati pada bulan-bulan yang lain, sehingga kita tidak turut bersungguh-sungguh beramal?

Melainkan jika tuhan kita adalah Ramadhan, maka Ramadhan tidak ada pada 11 bulan yang lain. 11 bulan yang lain bukan Ramadhan. Adakah tuhan kita adalah Ramadhan? Pastinya tidak.

Maka Allah, tuhan kita itu, wujud dan hidup pada 11 bulan yang lain. Maka mengapa kita menurunkan kualiti ibadah kita seakan-akan Dia telah tiada?

 

Kadangkala ada yang beralasan mengapa mereka bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan, adalah kerana di dalam Ramadhan wujud pelbagai janji-janji Allah SWT. Membuatkan mereka bersemangat untuk beramal.

Ya, janji-janji seperti berikut:

“Barangsiapa yang berpuasa di dalam Ramadhan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu.” Hadith Bukhari dan Muslim.

“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan, adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut.” Hadith Riwayat Muslim.

“Apabila tiba bulan Ramadhan, maka akan dibuka pintu-pintu rahmat.” Hadith riwayat Muslim.

Dan di dalam Ramadhan wujudnya Lailatul Qadr yang lebih baik dari 1000 bulan.

“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Surah Al-Qadr ayat 3.

Tetapi di bulan-bulan lain, kita sangka bahawa tiada janji-janji Allah yang sehebat itu.

Kita silap sebenarnya. Pada 11 bulan yang lain, janji-janji Allah tetap wujud, sebagai motivasi kepada amalan-amalan kita. Ayuh kita lihat:

“Sekiranya kamu membantu(agama) Allah, maka Allah akan membantu(urusan) kamu dan menguatkan kaki-kaki kamu.” Surah Muhammad ayat 7.


Nah, maka apakah janji-janji Allah tidak wujud pada bulan-bulan lain sehingga kita menurunkan kualiti amalan kita? Tidakkah kita ini hamba kepadaNya sepanjang masa?

Maka mengapa kita bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan sahaja?

 

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis?”

Sahabat-sahabat Baginda menjawab:  “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi s.a.w. bersabda: “Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat,  sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu; kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka.” Hadith riwayat Muslim dan Tirmizi.

Maka jangan lupa bahawa amalan-amalan kita di dalam Ramadhan, walau pahala 1000 bulan di malam Al-Qadr juga, semuanya boleh terhakis, boleh terkikis dengan dosa-dosa kita sepanjang tahun.

Bukankah itu sahaja sudah boleh menjadi alasan agar kita sentiasa bersungguh-sungguh menjadi hamba Allah SWT yang baik sepanjang tahun tanpa mengira waktu, Ramadhan atau tidak?

Lihatlah kembali tujuan penciptaan kita. Bukankah untuk menjadi hamba Allah SWT?

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia itu, melainkan untuk  beribadah(kepadaKu).” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.

Apakah ada cuti untuk kita daripada menjadi hamba Allah SWT? Tiada dan tiada.

Maka kita bukan menjadi hambaNya di dalam Ramadhan sahaja.

Kita adalah hambaNya sepanjang tahun.

Bukankah ini sepatutnya kita sematkan di dalam diri kita sebagai motivasi agar kita mampu bersungguh-sungguh menyusun, merancang, untuk beramal dan mengabdikan diri kepadaNya sepanjang tahun ini? Mentaati perintahNya, menjauhi laranganNya.

Tidakkah kita melihat?