Program realiti yang dilupakan


Mari kita berhenti seke jap.  Sekejap saja.   Untuk apa?   Untuk mengungkap cebisan rahsia kematian dan kehidupan yang hakikatnya itu adalah ujian bagi setiap insan. Firman Allah:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا

Maksud:  Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. (Surah al-Mulk 67: 2)

Apakah kaitan antara hidup dan mati? Apakah rahsia di sebalik kata-kata bahawa mati itu adalah ‘tunang’ kepada kehidupan? Justeru, marilah kita ‘kembali’ sebelum pergi menemui kehidupan yang abadi!

 

Ingat lagi kata-kata Sayidina Ali karamallahuwajhah yang telah disebut pada awal buku ini? Ya, katanya:“Manusia semuanya tidur, apabila mati baru mereka terjaga (tersedar).”       

Kata-kata itu sungguh dalam dan tersirat maknanya. Ia bermaksud, hanya apabila seseorang itu telah mati barulah hakikat atau realiti kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya.

Pendek kata, mati adalah ‘program realiti’ yang benar-benar realiti. Setelah roh berada di alam barzakh (yakni alam kubur yang menjadi sempadan antara dunia dan akhirat), barulah kebanyakan manusia sedar apakah perkara yang benar-benar bernilai dalam hidupnya ketika hidup di dunia. Apabila mata yang ada hancur dimamah bumi, maka ketika itulah mata hati yang alpa selama ini tersentak dan terbeliak. Lalu ketika itu barulah terserlah yang mana ‘intan’ dan yang mana ‘kaca’?

Menjelang kematian, setiap diri akan akur betapa bernilainya kebaikan dan kebajikan. Itulah hakikatnya intan yang selama ini dianggap kaca. Dan pada saat itu barulah kita sedar betapa intan yang selama ini kita puja hakikatnya kaca yang tidak berharga. Itulah perbuatan dosa dan perkara yang sia-sia. Alangkah ruginya ketika hidup di dunia. Kita tersentak!

Manusia baru tersedar apakah hakikat kehidupan yang sebenar setelah kematian. Dan lebih malang lagi rupa-rupanya baru pada ketika itu manusia menyedari bahawa mati sebenarnya bukanlah satu pengakhiran, tetapi ia adalah satu permulaan kepada satu kehidupan yang tidak ada mati-mati lagi (hidup di akhirat kekal abadi).

 Manusia telah diingatkan bahawa di alam roh kita telah mengenal Allah. Firman Allah:

أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا

Maksud: “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Benar, Kami menjadi saksi.” (al-A’raf 7: 172)

Bahkan telah mengakuinya sebagai Rabb yang sebenar (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan jatuh cinta kepada-Nya.

Namun alangkah sedikitnya manusia yang benar-benar mengenal Allah. Kebanyakan manusia hanya ‘mengetahui’ tetapi tidak mengenali-Nya. Mengenal dan mengetahui itu jauh berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Mengenal hanya memahami, tetapi mengenali akan merasai. Kebanyakan kita hanya mengetahui Allah Maha Melihat, tetapi tidak merasai Allah Maha Melihat. Justeru, kita masih tega dan tergamak melakukan kemungkaran walaupun kita tahu Allah Maha Melihat.

Bermula di alam roh dahulu hati kita telah mengenal Allah. Pendek kata, cinta sejati sejak mula ialah cinta Allah. Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja lahir ke dunia. Detik itu, bermulalah perpisahan cinta daripada cinta Allah seperti terpisahnya cinta anak daripada cinta ibu sejatinya. Kemudian tempat cinta sejati di hati mereka telah diambil oleh cinta palsu.

Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi… semakin bertambah usia, semakin jauh jarak perpisahan itu.

Pepatah Arab ada mengatakan, ‘Manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya’. Jadi, apabila cinta itu sudah tersalah, maka tersalah jugalah manusia meletakkan sifat kehambaannya. Hidup beralih arah, daripada menghambakan diri kepada Allah kepada ‘menyembah’ hawa nafsu. Firman Allah:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلا

Maksud: Adakah engkau nampakkah orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya? (Surah al-Furqan 25: 43)

Akibatnya, tujuan hidup telah tersasar. Ini kerana, hanya manusia yang menyedari adanya Tuhan dan memperhambakan diri kepada-Nya sahaja yang akan mempunyai tujuan hidup yang tepat dan jelas. Manusia tidak akan tahu apa tujuan hidup, kerana manusia tidak pinta dihidupkan. Allah yang menghidupkan kita, maka Allah jualah yang Maha Mengetahui untuk apa manusia dihidupkan. No God, no purpose! – tanpa Tuhan tidak ada tujuan.

Setelah terhantuk (mati), barulah dia terngadah (sedar). Rupa-rupanya apa yang diburu selama ini hanyalah kepalsuan manakala apa yang dihindari adalah kebenaran. Ah, betapa tersasarnya langkah hidup selama di dunia, setelah mati baru terjaga. Pada ketika itu jugalah ramai yang mengharapkan agar dapat pulang ke dunia semula. Minta untuk dipanjangkan umur supaya dapat menukar perbuatan yang buruk selama hidup di dunia dulu dengan amalan kebaikan. Firman Allah:

وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللَّهِ وُجُوهُهُمْ مُسْوَدَّةٌ

Maksud: Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang yang berdusta terhadap Allah dan yang menyatakan kesedihan itu muka mereka hitam legam. (Surah al-Zumar 39: 60)

Di alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’ kepada kita, barulah kita terjaga daripada buaian ‘mimpi’ selama ini. Tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa hakaikatnya hidup ini adalah untuk menghambakan diri kepada Allah – beribadah kepada-Nya. Rasa ingin bertaubat singgah dengan tiba-tiba. Terasa dosa yang dilakukan begitu banyak, bagaikan buih di lautan.

Sayangnya, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana pada saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Jadi, kesedaran itu mesti dirasai semasa hidup di dunia lagi, barulah ia mempunyai makna dan berguna. Apabila hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran akan hakikat kematian,  maka barulah seorang manusia akan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan.

Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya berlaku di alam kubur, maka segala-galanya sudah terlambat. Jadi bertaubatlah sebelum terlambat, kembalilah ketika masih sempat! Mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang bijak dan mereka yang ingat mati inilah hakikatnya orang yang hidup. Merekalah orang yang berani. Dan orang yang berani tidak pernah mati – the brave never die!

Bagaimana untuk mengembalikan semula manusia kepada asas dan teras jati dirinya yakni sebagai hamba Allah? Atau ringkasnya, bagaimana hendak mencapai ketenangan dalam hidup yang serba mencabar ini?

Roh yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Hati yang tenang ialah hati yang mengingati Allah. Firman Allah:

…أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksud: Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah al-Ra’d 13: 28)

Inilah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga selalunya perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat, kita rela menelan kepahitan, kita rela menanggung keperitan berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua itu enak rasanya. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stres… kita ikut dan patuh walaupun begitu ‘berat’ untuk mendapat sihat.

Maka begitulah jalan untuk ‘mengubat’ hati. Penawarnya juga pahit. Ubat hati jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati? Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia.

Ulama sering mengatakan, “Sesiapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras.” Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit.

 

Hijrah bermula dengan diri sendiri. Jangan harapkan keluaraga, masyarakat, organisasi dan negara kita akan berubah (berhijrah) sekiranya diri kita sendiri tidak berubah terlebih dahulu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: