Saya Halalkan RM3.00 itu….


alt

Tulisan ini sekadar perkongsian ilmu. Ia berlaku kepada saya dan suami sekitar jam 6.30 petang pada 29 Mac 2011. Lokasi kejadian di Restoran Enak (bukan nama sebenar).Sejak setahun yang lepas, saya dan suami berulang alik dari Janda Baik, Pahang ke tempat kerja di Putrajaya. Kami menggunakan Lebuhraya KL-Karak dengan kadar tol pergi dan balik berjumlah RM10. Rutin perjalanan yang sama, ada kalanya membuatkan saya ingin mengalih angin. Lantas, saya menggunakan jalan lama Kuala Lumpur-Bentong pada hari tersebut. Jaraknya lebih jauh dan masanya lebih lama berbanding menggunakan lebuhraya. Namun, pemandangan sepanjang perjalanan menjentik rasa damai dihati. Saya mendapat pengalaman baru sepanjang perjalanan itu.

Kami mengambil keputusan untuk singgah di sebuah restoran makanan. Makanan dan minuman yang dipesan tiba seperti biasa. Kelihatan beberapa pengunjung singgah di situ. Sesudah makan, kami pun membayar harga makanan dan minuman tersebut di kaunter pembayaran.
“Dik, berapa harga makanan tadi?”
“Jumlah harga RM26.00.”
Saya menghulurkan RM50.00. Namun, apabila dipulangkan baki, hanya RM21.00 yang saya dapat. Mustahil ianya satu kesilapan kerana jumlah harga diulang sekali lagi oleh saya semula dan disahkan oleh juruwang. Mustahil juga juruwang tersilap memulangkan bakinya kerana pada logik akal saya, pasti tidak akan berlaku kesilapan setakat mengira wang RM1.00 sebanyak empat keping sahaja.
Walaupun saya tidak berpuas hati, atas alasan tidak mahu memalukannya atau mungkin dia memang berniat tidak baik, kami terus berlalu. Saya masih tidak berpuas hati. Katakanlah setiap makanan berharga RM5.50 atau RM 6.00, jumlah harganya tidak akan menjadi RM29.00. Masih terngiang-ngiang di telinga saya, setiap makanan berharga RM4.50. Perjalanan diteruskan dan saya cuba melupakan perkara ini.
Pada keesokan paginya, sudah menjadi rutin harian saya untuk mendengar segmen tafsiran Quran di Radio IKIM fm. Kali ini Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed menceritakan riwayat orang soleh yang disegani. Beliau beria-ia mempertahankan duitnya yang sedikit berbanding dengan duitnya yang banyak sebelum ini. Apabila ditanya, kenapa beliau bertindak begitu, beliau menjawab, duit yang sedikit ini jelas duitnya dan dia mempertahankannya supaya orang ini tidak memakan duit haram, manakala duit yang banyak sebelum ini diragui olehnya bukan miliknya, makanya dibiarkan orang itu memiliki duit tersebut.
Akhirnya saya sedar, saya telah bersikap zalim dengan pekedai itu. Saya tidak menegur kesilapannya dan membiarkan dia mendapat duit haram. Malah, saya berburuk sangka dengannya. Kemungkinan dia melakukan kesilapan kerana terlalu penat. Alasan saya untuk tidak memalukannya adalah tidak tepat. Seharusnya saya terus menegurnya supaya kesilapan tidak berulang. Saya perlu mempertahankan wang RM3.00 saya kerana ianya memang milik saya.
Saya juga berbuat silap. Oleh itu, saya halalkan RM3.00 itu supaya tidak menyusahkan kehidupan pekedai itu. Niat untuk tidak berkunjung lagi ke restoran itu, saya usir jauh dari hati. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk kepada saya dalam setiap langkah kehidupan menuju ke jalan Ilahi. Semoga Allah sentiasa bersama saya.
-30 Mac 2011
Manusia, mudah lupa dan leka. Saya terlupa, perkara yang pernah saya coretkan. Saya pernah memberi pinjaman kepada seorang rakan. Dia menghubungi saya lewat telefon. Apabila mendengar suaranya yang sayu dan masalahnya yang kekurangan wang, hati saya dihambat rasa kasihan. Lantas saya memberi RM100.00 sebagai pinjaman kepadanya. Dia amat berterima kasih kepada saya dan berjanji akan memulangkan wang tersebut. Namun, janji tinggal janji. Setelah tiga bulan berlalu, dia cuma diam seribu bahasa. Saya tertanya-tanya, mengapa dia masih belum membayar hutang. Bukankah gajinya sudah tiga kali masuk, berserta setengah bulan bonus lagi? Kenapa? Hati menjadi berat apabila memikirkannya.
Saya tidak menceritakan perkara ini kepada rakan sekerja yang lain. Bagi saya, hutang adalah satu isu yang kurang baik diceritakan. Saya juga tidak mahu mengingatkannya kerana bimbang dia akan mendapat malu. Saya cuba bersangka baik. Mungkin keadaannya tidak mengizinkan.
Namun, hati saya masih tertanya-tanya. Mengapa dia mengambil ringan hal hutang piutang ini? Mengapa tidak menulis nota ringkas sebagai peringatan? Hati saya tidak mampu redha dengan sebenar-benarnya. Lantas, saya berkongsi beban perasaan ini dengan suami. Suami mengingatkan saya tentang coretan saya pada 30 Mac 2011 dahulu. Suami bertanya, adakah saya ingin menyusahkan kehidupannya di akhirat nanti? Saya perlu berjumpa dengannya, mengingatkan semula akan hutangnya. Saya patut berusaha untuk mendapatkan hak saya. Mungkin dia benar-benar terlupa. Bukankah dia manusia biasa? Adakah saya ingin membiarkan dia malu di hadapan Allah nanti? Adakah saya mahu berlaku zalim padanya di akhirat nanti?
Seandai saya tidak mahu menzaliminya di akhirat nanti dan tidak mahu memalukannya di dunia ini serta tidak ingin menyusahkannya untuk memulangkan kembali RM100.00, maka halalkanlah dengan seredha-redhanya. Nota ringkas yang saya tampal pada kalendar meja di pejabat, saya renyuk dan buangkannya. Kosongkan hati dan minda seluas-luasnya.
Rezeki Allah pelbagai bentuk, ilmu Allah seluas lautan, kasih sayang Allah tidak bertepian. Syukur pada Allah diberikan lagi ilmu dalam usaha mendidik hati yang lemah ini. Hendak mendidik hati bukan perkara mudah. Hati perlu disakitkan, nafsu perlu ditundukkan sekiranya kita ingin mencari kehidupan yang hakiki. Ya Allah, aku memohon pada-Mu Ya Allah, walau apa pun takdir yang telah Engkau tetapkan untukku, aku mohon pada-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman aku ini, matikanlah aku dalam agama-Mu Ya Allah, semoga Engkau sentiasa bersamaku. Amin
-Artikel iluvislam.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: