Engkau Tidak Pernah Sunyi


Stress? Rasa tiada siapa bersama-sama? Tekanan belajar@kerja bertimbun dan merasakan diri sudah sampai ke limitnya? Akhirnya semua itu membuatkan diri rasa tersepit dan terhimpit? Rasa sunyi?

Ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan.

Sesungguhnya, kita tidak pernah sunyi.

Mari kita lihat kehidupan yang lebih besar daripada diri kita ini.

Sesungguhnya Allah SWT menemani.

Melihat Alam Yang Luas

Mari kita lihat pokok-pokok yang berada di dalam hutan. Yang tidak disiram atau dibaja manusia. Bukankah mereka itu hidup mekar dan tumbuh melata?

Mari kita lihat pula ikan-ikan di laut yang tidak diberi makan jauh sekali dijaga oleh manusia. Bukan mereka itu hidup segar dan aktif sentiasa?

Mari kita lihat pula semut-semut yang tidak diternak atau disuap oleh manusia. Bukankah tiada antara mereka itu mampu bergerak dan meneruskan kehidupan mereka?

Mari kita kembali ke laut dan melihat seekor haiwan bernama Paus. Saiznya yang besar, pastinya memerlukan makanan yang banyak. Tetapi apakah manusia menyediakan? Tidak. Namun Ikan Paus tidak pernah mati kebuluran di tengah laut sekiranya ekosistemnya tidak terganggu.

Kita lihat ke awanan, berkepul-kepul gebu putihnya. Mengapa dia tidak jatuh? Apakah manusia yang menjaganya?

Kita lihat ke angkasa raya, bumi dan planet-planet lain bergerak mengikut orbit masing-masing, dan matahari pula kekal di tempatnya berpusing. Apakah manusia yang mengawalnya?

Dan kita kembali kepada diri kita saat kita masih berada di dalam rahim ibu.

Siapakah yang memberikan kita makan dan minum di dalam perut Ibu itu? Apakah seorang Ibu mampu menukarkan makanan yang dimakannya kepada khasiat-khasiat khas untuk bayi? Tidak. Jadi siapakah yang menjaga kita ketika itu sebenarnya?

Itulah dia Allah SWT.

Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa? [Surah Yunus ayat 31]

Dan Allah yang menjaga semua itu, wujud di sisi kita sentiasa.

Allah yang memberikan rezeki, yang menjaga dan mengawal semua itu tadi, berada di sisi kita sentiasa.

Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat [Surah Al-Baqarah ayat 214]

Sesungguhnya Aku amat dekat [Surah Al-Baqarah ayat 186]

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. [Surah Qaaf ayat 16]

Tidakkah kita merasa selamat dan tenteram bila mengetahui hal ini?

Cuma persoalannya, apakah kita berhubungan denganNya?

Punca tekanan dan kesunyian yang sebenar

Dunia ini akan hancur. Harta akan habis. Anak dan isteri akan membesar dan menua, juga mustahil untuk mereka memberikan masa 24 jam penuh kepada kita. Rakan-rakan juga datang dan pergi, dan masing-masing ada urusan masing-masing.

Sekiranya kita meletakkan pergantungan utama kita kepada perkara-perkara yang fana ini, semestinya kita akan menghadapi tekanan dan merasa kesunyian. Kita akan diserang ketakutan. Takut ‘kehilangan’.

Itulah masalah kita sebenar. Tidak mempunyai hubungan dengan Allah SWT. Tidak bergantung dengan Dia, yang sebenarnya merupakan solusi kepada permasalahan kita. Kita tidak taat kepadaNya, kita melanggar perintah-perintahNya.

Ketiadaan hubungan dengan Allah SWT, adalah punca permasalahan kita.

Penutup: Kita Tidak Pernah Sunyi

Sesungguhnya rezeki itu ada. Bagi yang berusaha dan taat. Sesungguhnya bahagia itu ada. Bagi yang mendekatiNya dan merapat.

Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan memberikannya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. [Surah At-Talaq ayat 2-3]

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwatentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. [Surah Al-A’raf ayat 96]

Jadi apa lagi?

Mari lihat semula kehidupan kita. Muhasabah hubungan kita dengan Ilahi.

Sungguh, melihat alam itu sahaja sudah memberikan kita motivasi.

Inilah dia motivasi daripada Ilahi.

  sumber : © Langitilahi.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: