Irkam Ma’ana – Kami Adalah Yang Membersihkan Diri Tanpa Berputus Asa.



Sujud membersihkan diri, dan kami tidak pernah berputus asa dengan perkara ini ~ Picture by reactiveatezul of Deviant Art.

Kami terus mengajak – Irkam Ma’ana – naiklah bersama kami.

Naik apa? Naik ke dalam bahtera Islam, bahtera keimanan kepadaNya. Pergi ke mana? Pergi ke arah redhaNya, janji-janjiNya, syurgaNya.

Dan antara ciri-ciri yang menaiki bahtera itu, yang menuju ke destinasi yang kami nyatakan adalah Yang Membersihkan Diri Tanpa Berputus Asa.

Ya. Itu adalah antara ciri-ciri mereka yang menaiki bahtera Islam, bahtera keimanan, yang berhajat bergerak menuju ke arah redhaNya. Tidak boleh berputus asa dalam membersihkan diri.

Mengapa? Jawapan 1 – Kerana Allah Cinta.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah itu amat mencintai mereka yang sering bertaubat, dan cinta pula kepada mereka yang membersihkan diri.”Surah Al-Baqarah ayat 222.

Allah cinta.

Alasan apakah lagi untuk kami penghuni bahtera untuk berputus asa dalam taubat dan pembersihan diri kami?

Jatuh, kami bangun lagi. Jatuh, kami bangun lagi. Kerana Allah cinta. Apakah yang lebih besar daripadaNya?

Mengapa? Jawapan 2 – Kerana Kami Cinta Allah

Mengapa kami tidak lelah membersihkan diri?

Semestinya kerana kami mencintai Allah SWT. Kami ingin buat apa yang Dia suka, dan tinggal apa yang Dia murka. Sebab itu, selagi ada perkara yang Dia tidak suka di dalam diri kami, maka kami akan berusaha membersihkannya. Kalau kami terjatuh, kami bangkit semula. Mencuci dosa-dosa. Mengapa?

Kerana kami cintakanNya.

Allah SWT berfirman kepada RasulNya:

“Katakanlah: Sekiranya kalian mencintai Allah, maka ikutilah aku(Muhammad).” Surah Ali-Imran ayat 31.

Dan Rasulullah SAW sering mengajak kepada pembersihan diri, pembersihan akhlak.  Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepadaNya, sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” Hadith riwayat Muslim.

Sedang Rasulullah SAW, sebagai nakhoda utama bahtera ini, yang maksum, yang bersih dari segala dosa, melakukan demikian, apatah lagi kami, yang memang berdosa ini? Apakah kami hanya berputus asa?

Mustahil!

Mengapa? Jawapan 3 – Kerana Allah Benci Yang Berputus Asa

Mengapa kami tidak berputus asa dalam membersihkan diri kami?

Kerana Allah SWT benci dengan mereka yang berputus asa.

Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya tiadalah yang berputus asa dari rahmat Allah melainkan orang-orang yang kafir.” Surah Yusuf ayat 87.

Jelas putus asa bukanlah sifat yang disukai oleh Allah SWT. Maka apakah alasan kami untuk berputus asa daripada membersihkan diri kami? Apakah alasan kami untuk merasa penat dalam mencucui dosa kami?

Allah SWT dengan penuh kasih sayang, mengingatkan bahawa rahmatNya meliputi segala sesuatu, maka siapakah kami untuk berputus asa dengan rahmatNya yang luas itu?

“Rahmatku lebih luas dari segala sesuatu.” Surah Al-A’raf ayat 156.

Mustahil kami berputus asa. Sudahlah kami berdosa. Berputus asa pula hendak mencuci diri kami? Mustahil dan mustahil.

Mengapa? Jawapan 4 – Rahmat Allah kepadanya, membuatkan kami yakin akan pilihan ini.

Pilihan tidak berputus asa ini, kami yakin 100% adalah tepat, memandangkan apa yang telah dinyatakan oleh Rasul kami, Muhammad SAW yang telah bersabda akan kisah pembunuh 100 orang yang memasuki syurga.

Daripada Abu Said Al-Khudri RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Dahulu sebelum kalian ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang, hingga dia bertanya kepada seorang alim dari kalangan penduduk bumi. Mereka menunjuk kepada seorang rahib(ahli ibadah), kemudian orang tersebut mendatangi rahib itu dan berkata bahawa dia telah membunuh 99 orang. Apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Rahib tadi menjawab: Tidak. Orang itu terus membunuhnya, sehingga genap menjadi 100 orang. Kemudian dia bertanyakan pula akan penduduk bumi yang paling alim. Maka ditunjukkan kepadanya seorang alim. Lalu dia bertanya kepadanya bahawa dia telah membunuh 100 orang, apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Orang alim tersebut menjawab: Ya! Dan siapa yang boleh menghalangi antaramu dengan taubat. Pergilah ke negeri ini dan itu, kerana di sana ada orang-orang yang beribadah kepada Allah SWT. Beribadahlah bersama mereka, danjangan kembali ke negerimu kerana negerimu adalah negeri yang jelek. Kemudian orang itu pergi, namun di tengah-tengah perjalanannya dia meninggal. Sehingga malaikat rahmat dan malaikat azab berselisih berkenaan pengakhirannya. Malaikat rahmat berkata: Dia datang dalam keadaan bertaubat, menghadap Allah. Malaikat Azab berkata: Dia belum sempat beramal soleh sama sekali. Kemudian datanglah kepada kedua malaikat itu seorang malaikat dalam bentuk manusia. Mereka(kedua-dua malaikat itu) menjadikannya sebagai pemutus urusan mereka. Malaikat itu berkata: Ukurlah antara kedua negeri tersebut, yang mana lebih dekat jaraknya. Maka itulah yang lebih berhak. Maka mereka mengukurnya. Ternyata mereka dapati bahawa dia lebih dekat ke negeri yang baik. Maka Malaikat Rahmat mengambilnya.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Itulah dia manusia yang telah membunuh 100 orang, tetapi masih mencari rahmatNya. Sedangkan, jika dia mahu, dia boleh berputus asa dan kecewa selepas membunuh orang yang ke-100. Selepas rahib itu menyatakan bahawa dia tidak punya peluang untuk bertaubat. Tetapi nyata, dia memilih untuk mencari orang alim yang seterusnya, bertanya apakah dia masih berpeluang.

Orang ini, mati sebelum sempat beramal soleh. Dia baru sahaja melangkah untuk bertaubat. Tetapi Allah sudah menerimanya. Tidakkah ini menunjukkan betapa rahmat Allah SWT itu besar? Dan terbukti kerahmatanNya.

Maka siapakah kami untuk berputus asa?

Penutup: Kami ahli bahtera, bersungguh-sungguh membersihkan diri tanpa putus asa.

Mari. Naiklah bersama kami.

Kami ahli bahtera, bukanlah sesempurna mana. Tetapi kami bergerak ke arahNya. Mencari redhaNya. Maka kami membersihkan diri tanpa berputus asa. Kami tidak akan sesekali mengalah, walau badai dan ombak tinggi menimpa.

Jatuh, kami bangun lagi. Jatuh, kami bangun lagi.

Biar dosa tidak meninggalkan kami sekalipun, asalkan kami mati dalam berusaha nanti.

Kerana Allah adalah matlamat kami. Maka kalau kami tidak mampu menjadi hambaNya yang baik, sekurang-kurangnya kami berusaha menjadi hambaNya yang baik.

Mari. Naiklah bersama kami di atas bahtera Islam ini, bahtera keimanan ini, menuju ke arah Ilahi.

Sumber:  Langitilahi.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: