Irkam Ma’ana – Dan Lihatlah Kepada Ibrahim


Tempat yang menjadi saksi juang Ibrahim ~ Picture by layla2008 of Deviant Art.

Antara mereka yang telah memilih untuk menaiki bahtera keimanan menuju kepada Allah SWT ini adalah Ibrahim AS. Seorang yang bergerak di atas muka bumi dengan meyakiniNya, dan berusaha mempertahankan agamaNya. Dia sentiasa percaya, dan tidak pernah membelakangiNya.

Maka kita pergi melihat Ibrahim AS dan kehidupannya. Bagaimana dia melalui jalan yang dipilihnya.

Agar kita bertanya, apakah kita ingin mencontohi dia?

Menunjukkan Siapa Yang Patut Disembah.

Antara kisah menarik yang tercatat di dalam Al-Quran berkenaan Ibrahim AS adalah bagaimana dia merungkai permasalahan ‘siapakah yang patut disembah’. Menunjukkan kepada kita bahawa amatlah jelek sekali pilihan-pilihan selain daripada Allah SWT itu.

“Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata kepda ayahnya Azar: Apakah pantas engkau menjadikan berhala-berhala itu sebagai tuhan? Sesungguhnya aku melihat engkau dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.” Surah Al-An’am ayat 74.

Kemudian bermulalah Ibrahim AS menunjukkan kepada dunia, betapa pilihan selain Allah SWT sebagai Ilah adalah sesuatu yang hakikatnya ‘senget’ dan tidak patut sekali.

“Dan demikianlah Kami memperlihatkan kepada Ibrahim kekuasaan di langit dan di bumi, dan agar dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang yakin. Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang lalu dia berkata: Inilah dia tuhanku. Maka ketika bintang itu hilang, dia berkata: Aku tidak suka kepada yang menghilang. Lalu ketika dia melihat bulan muncul, dia berkata: Inilah tuhanku. Tetapi ketika bulan itu hilang, dia berkata: Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang sesat. Kemudian ketika dia melihat matahari terbit, dia berkataL Inilah Tuhanku. Ini adalah yang paling besar! Tetapi apabila matahari terbenam, dia berkata: Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan. Aku hadapkan wajahku kepada Yang Menciptakan Langit dan Bumi dengan penuh kepasrahan mengikuti agama yang sebenar, dan aku bukanlah termasuk dari kalangan yang musyrik.” Surah Al-An’am ayat 75-79.

Bintang tidak kekal. Bulan menghilang bila munculnya siang. Dan matahari juga akan terbenam. Berhala pula diukir oleh manusia, bagaimana manusia pula menyembah apa yang diukir oleh mereka?

Ibrahim AS nyata membina satu logik mudah dalam mendefinisikan Tuhan.

Apabila TUHAN, pastinya Dia BERKUASA atas segala-galanya, dan TIADA KEKURANGAN buatnya.

Itulah Ibrahim AS, yang memilih untuk menaiki bahtera keimanan kepada Allah SWT ini.

Dan dia bergerak dengan kepercayaanNya itu

Ibrahim AS tidak berhenti sekadar teori akal semata-mata. Dia bahkan menunjukkan praktisnya, realitinya.

Satu waktu, dia pergi ke rumah penyembahan berhala kaumnya, dan dengan menggunakan kapak, dia menghancurkan kesemuanya dan meninggalkan hanya yang terbesar sahaja. Lantas, kapak itu diletakkan pada berhala yang terbesar itu. Kemudian dia sengaja membiarkan dirinya ditangkap.

Seterusnya, lihatlah apa yang Al-Quran bicarakan akan kisah ini:

Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: “Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?” Dia menjawab: “(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata”. Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim”. Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: “Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?” Nabi Ibrahim berkata: “Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? “Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?” Surah Al-Anbiya’ ayat 62-67.

Ya. Mengapa Ibrahim AS berani sedemikian rupa?

Kerana dia percaya. Yakin 100% dengan apa yang diiimaninya. Percaya dengan Allah SWT. Tuhan semesta alam, dan terbukti pula kebenaran kepada apa yang dipercayainya.

Balasan kepada kepercayaan seorang Ibrahim

Selepas itu, Ibrahim AS pun ditangkap, dan dihukum.

(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: “Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!” Surah Al-Anbiya’ ayat 34.

Itulah arahan pemimpin kaum yang bernama Namrud. Maka Ibrahim AS pun dilontar ke dalam api yang besarnya menggunung tinggi. Tetapi tidaklah pula Ibrahim AS itu gentar, merasa menyesal dengan pilihannya untuk mempercayai Allah SWT, merasai ingin meminta ampun kepada Namrud, dan sebagainya. Tidak dan tidak.

Ibrahim AS telah memilih untuk menaiki bahtera, dan yakinnya tidak tergoncang dengan sebarang duga.

Ketika itulah Allah SWT membalas kepercayaan seorang Ibrahim AS. Tatkala masuk sahaja Ibrahim AS ke dalam api, Allah SWT mengarahkan api tersebut melawan hukum asal yang diciptakan olehNya, yakni panas, dengan menjadi sejuk dan menyelesakan untuk seorang Ibrahim AS.

Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!” Surah Al-Anbiya’ ayat 69.

Selamatlah Ibrahim AS, dan Allah SWT pantas menghukum kaumnya yang ingkar itu.

Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya). Surah Al-Anbiya’ ayat 70.

Dan ini bukanlah satu-satu situasi sahaja yang menunjukkan bagaimana Ibrahim AS memilih Allah SWT melebihi segala apa yang lain dalam kehidupannya.

Mari kita lihat satu lagi kisah Ibrahim AS yang telah memilih untuk menaiki bahtera ini.

Mentaati Allah adalah segala-gala

Ibrahim AS dikurniakan seorang anak daripada isteri keduanya yang bernama Hajar. Anak itu bernama Ismail AS. Atas arahan Allah SWT, Ismail AS ditinggalkan di lembah Makkah semenjak dari usianya kecil. Tidaklah Ibrahim AS tinggal bersama anak sulungnya itu, walaupun penuh cinta kerana arahan Allah SWT adalah untuk dia pulang ke Palestin, negerinya.

Satu hari, Ibrahim AS bermimpi bahawa dia menyembelih anaknya. Dan mimpi itu berlaku tiga hari berturut-turut. Mimpi para anbiya’ adalah benar, tanda mimpi itu adalah arahan Allah SWT. Justeru tanpa lengah Ibrahim AS bergerak keluar dari Palestin, merentas sahara panas, menuju ke Makkah Al-Mukarramah. Untuk menyembelih seorang anak yang amat dicintainya.

Bayangkan, Ibrahim AS ini adalah seorang tua yang lama tidak dikurniakan anak kerana isteri pertamanya, Sarah, mandul. Dengan isteri kedua, dia dikurniakan anak, lelaki pula, yang nyata amat dikehendakinya. Namun atas arahan Allah SWT, dia sanggup meninggalkan anak tersebut. Dan kini, anak yang dicintainya itu diarahkan untuk disembelih. Sedangkan, jarak pula bukanlah sekadar sekangkang kera. Jauhnya memakan masa berbulan lamanya perjalanan. Tetapi taatnya kepada Allah SWT, memilih apa yang Allah suruh, bergerak juga Ibrahim AS memenuhi arahan.

Apabila sampai, Ibrahim AS bertemu dengan anaknya Ismail, dan memberitahu akan mimpinya itu. Ismail nyata merupakan antara yang menaiki bahtera keimanan ini juga, terus menyuakan pandangannya untuk bersetuju disembelih. Arahan Allah perlu ditaati.

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar“ Surah As-saffat ayat 102.

Tanpa lengah, atas keimanan dan kepercayaannya kepada Allah SWT, Ibrahim AS membawa Ismail ke tempat penyembelihan, dan menajamkan pisaunya setajam mungkin untuk menyembelih anaknya itu.

Ya. Lihatlah ketaatan Ibrahim AS. Dia memilih jalan ini. Allah SWT mengujinya. Dan dia tidakpula lari, mengeluh, merungut dengan ujian yang diberikan kepadanya. Bahkan dia menghadapi, melalui, ujian tersebut. Membuktikan keimanannya, kepercayaaannya kepada janji-janji Allah SWT.

Dan Allah membalas kepercayaannya.

Apabila pisau menyentuh leher Ismail, pisau itu tidak melukakan. Ibrahim AS, atas ketaatannya kepada Allah SWT, memeriksa semula pisaunya, apabila dipastikan tajam, disembelih kembali anaknya. Tetap pisau itu tidak melukakan.

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;” Surah Assaffat ayat 103-107.

Tidak cukup dengan Ismail diselamatkan nyawanya dan diganti dengan seekor binatang sembelihan yang besar, keluarga Ibrahim AS diberikan keberkatan oleh Allah SWT dengan keberkatan yang tidak terhingga, bahagia dunia dan akhirat.

“Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.” Surah Assaffat ayat 108-113.

Kita mengetahui bahawa antara gelaran Nabi Ibrahim adalah ‘Bapa Nabi-Nabi’. Kerana daripada Nabi Ibrahim, lahirnya Nabi Ismail dan Nabi Ishak, yang kemudiannya masing-masing mempunyai keturunan yang merupakan Nabi-nabi besar dalam sejarah.

Keturunan Nabi Ismail adalah yang akhirnya wujud Rasulullah SAW di dalamnya.

Manakala keturunan Nabi Ishak adalah yang akhirnya melahirkan Bani Israel, dan para nabi di bawahnya seperti Nabi Ya’kub, Nabi Yusuf, dan sebagainya.

Itulah dia balasan Allah SWT, bagi yang memilih untuk mempercayainya.

Penutup: Maka bagaimanakah kita? Jalan mana yang kita pilih?

Keimanan Ibrahim AS adalah apa yang membuatkan dia memilih apa yang dia pilih. Tidaklah dia memilih apa yang dia kehendaki. Tetapi dia memilih apa yang Allah SWT kehendaki. Tidak dia taati hawa nafsunya. Tetapi yang dia taati adalah perintah Allah SWT.

Akhirnya, kemuliaan untuknya. Bukan kedo’ifan. Bukan kerendahan.

Mengapakah kita masih ragu dalam membuat pilihan yang jelas?

Irkam Ma’ana.

Naiklah bersama kami, di bahtera yang dinaiki juga oleh Ibrahim AS ini!

sumber: © Langitilahi.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: