Inspirasi Daripada Bidadari


Dalam banyak-banyak kerjaya, kerjaya apa yang paling saya kagum sekali?

Tahu apa kerja yang paling saya kagum?

Bidadari di dalam rumah atau pendeknya:

Suri rumah.

Realiti Perempuan Hari Ini.

Perempuan yang berkahwin, baik yang bekerja atau tidak, mereka akan mempunyai satu tanggungjawab yang sama:

Suri rumah. Mahu tidak mahu, perempuan akan menguruskan hal-hal dalaman rumah tangga. Biasanya, perempuan akan menguruskan makan minum, kemas rumah, basuh pakaian dan melayan anak-anak.

Saya tidaklah mahu menyatakan bahawa itu semua memang kerja perempuan. Saya jujurnya tidak setuju pun perempuan ini dibebankan dengan memasak, kemas rumah, basuh pakaian. Saya nampak, perempuan ini tugasnya adalah menjaga dan mendidik anak-anak agar membesar menjadi orang yang Allah redha, juga melayan suami dengan baik.

Tetapi, realiti hari ini, begitulah perempuan. Dia kena masak, dia kena basuh pakaian, dia kena kemas rumah, dia kena layan anak-anak.

 

Tetapi di dalam realiti itulah, saya termotivasi.

Tetapi, di dalam realiti perempuan hari ini, ada satu perkara saya terinspirasi. Pendek kata, saya jadi termotivasi dengan mereka. Apa yang istimewa pada mereka hingga saya terinspirasi?

Kesabaran mereka.

Saya ambil contoh ibu saya. Ibu saya bukanlah suri rumah sepenuh masa. Dia bekerja dan pada masa yang sama, seorang suri rumah. Ibu saya perlu berada di pejabat pada pukul 8.00 pagi. Sebelum itu, dia akan bangun seawal 4.30 pagi untuk menyiapkan sarapan buat keluarga, kejut anak-anak bangun, siapkan pakaian anak-anak untuk sekolah, basuh baju dan sidai kain, buang sampah, sebelum pergi kerja. Paginya sahaja sudah penuh.

Saya pernah ikut Ibu saya pergi ke pejabatnya. Banyak berurusan dengan orang. Fail datang bersilih ganti memerlukan perhatian dan penelitian Ibu saya. Banyak kerjanya. Dari pagi, sampailah ke petang. Rehat hanya di kala waktu sarapan yang disediakan pejabat, dan tengahari.

Tetapi apabila Ibu saya pulang ke rumah, tidak pula dia terus mencampakkan dirinya di atas katil. Tidur. Lepaskan lelah. Tidak. Apa yang Ibu saya lakukan? Dia akan terus bersedia untuk masak makan malam. Malamnya, dia akan luang masa untuk menonton berita, dan kemudiannya akan kembali sibuk dengan lipat baju, dan memerhatikan anak-anak punya pengajian.

Hujung minggu, ibu saya akan keluar ke pasar, beli barang rumah. Kadang-kadang ayah saya teman. Kadang-kadang sendiri. Kalau ibu saya kuat sikit, dia akan kemas rumah sekali ketika itu.

Itulah rutin ibu saya. Bayangkan, dia hidup macam itu sepanjang lepas kahwin sampai la hari ini. Dah berapa tahun? Ketika saya berumur 20 tahun, maka ibu saya telah hidup sedemikian rupa selama 21 tahun. Itu belum dikira apabila rumah bergegar dengan sikap anak-anak yang pelbagai kerenahnya.

Tapi ibu saya boleh sabar kan?

Saya yakin ibu anda  juga sedemikian.

Saya yakin, begitulah juga ibu-ibu yang lain, suri rumah-suri rumah yang lain. Yalah, ibu saya melalui hari-hari yang sama sepanjang 21 tahun. Kalau ibu lain yang mungkin sudah berumah tangga 40 tahun? MasyaAllah, dia melalui hari-harinya dalam 40 tahun itu begitu. Ditambah pula, mereka ini pastinya perlu juga menjaga ibadat mereka seperti solat, membaca Al-Quran dan lain-lain.

Sabar bukan?
Itu Saya Kagum.

Saya kagum. Saya kagum sekali dengan suri rumah. Macam mana mereka boleh sabar sedemikian rupa?

Macam mana ya? Macam mana anda wahai suri rumah, mampu bertahan dengan rutin sedemikian?

Bolehkah ada suri rumah yang membantu saya untuk menjawab soalan ini?

Saya pernah rasa  terlalu bengang atau marah apabila sering melakukan sesuatu itu berulang-ulang. Tapi, apabila saya teringat akan ibu saya dan segala kerjanya, teringat akan kehidupan sebagai suri rumah, maka saya akan kembali insaf. Malah bermotivasi untuk melakukan yang lebih baik.

Saya selalu kata: “Ummi boleh tahan. Takkan aku tak boleh”

Begitulah.

Kesabaran Suri Rumah itu mengagumkan.

Suri rumah itu mengagumkan.

Allah SWT hingga menukilkan di dalam ayat-Nya, arahan untuk mentaati kedua ibu bapa, terutama ibu.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. Surah Luqman ayat 14-15.

Dan Rasulullah SAW juga bersabda, tiga kali mengulang kalimah yang sama, apabila ditanya siapakah yang patut ditaati selepas Allah dan Rasul. Kalimah yang diulang itu adalah: Ibumu.

Kenapa? Sebab besarnya peranan seorang ibu, wanita, di dalam rumah tangga dan pembinaan manusia.

 

Penghargaan Saidina Umar Al-Khattab RA

Mungkin ada juga suri rumah yang merungut sekali sekala. Ya lah, manusia mana yang sabar sepanjang masa. Tetapi, berapa banyak kali kah rungutan itu keluar dibandingkan dengan jasa seorang suri rumah sepanjang hidupnya?

Apakah kita lelaki, suami, anak perlu marah atau terasa bila perempuan, isteri, ibu kita merungut atau sekali sekala meninggikan suara?

Pada saya, tidak. Sebab mereka telah melalui hari-hari dalam hidup mereka untuk kita. Saya ulang, untuk kita. Mereka habiskan 75% hidup mereka untuk ahli keluarga mereka. Sebab itu, saya ada  satu kisah hendak dikongsikan:

Satu hari, seorang lelaki pergi ke rumah Saidina Umar Al-Khattab. Dia hendak mengadu yang isterinya pada hari itu naik angin kepadanya. Dia merasakan bahawa, isterinya tidak patut bersikap demikian pada suami.

Sampai sahaja di pintu rumah Saidina Umar, dia mendengar isteri Saidina Umar memarahi Amirul Mu’minin itu. Lelaki itu terkejut. Lantas, dia pun berpatah balik, untuk pulang. Saidina Umar perasan akan kehadiran lelaki itu, terus memanggilnya semula.

“Wahai lelaki, apakah hajat kamu?”

“Aku ingin mengadu akan sikap isteriku yang memarahi aku, tetapi tidak sangka kau juga mempunyai masalah yang sama. Maka aku merasakan bahawa aku tidak patut mengadu kepadamu”

Saidina Umar tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu. Dia pun berkata:

“Wahai lelaki, isteriku telah menjaga makan minumku, mendidik anak-anakku, dan mengurus rumahku sepanjang hidupnya. Maka apakah pantas untuk aku terasa apabila dia sekali sekala naik angin seperti hari ini?”

Lelaki itu senyap.

Lihat. Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal garang dan tegas, tidak sedikit pun marah dengan isterinya yang melenting. Malah berkata sesuatu yang amat lembut untuk perempuan suri rumah.

 

Penutup: Bidadari Dunia, Berbanggalah.

Wahai suri rumah yang ada hari ini. Maka berbanggalah.

Saya menghargai anda. Mengkagumi anda. Malah Allah memuliakan anda. Maka didiklah anak-anak anda dengan didikan syurga, agar mereka menjadi manusia-manusia yang mencintai akhirat. Maka jagalah keluarga anda sejaga-jaganya, agar kalian nanti dapat berkumpul di syurga sana.

Terima kasih atas motivasi kesabarannya.

Semoga Allah redha dengan suri rumah-suri rumah yang tabah, yang cekal dan yang bersungguh-sungguh dalam menjaga keluarganya  untuk mentaati Allah, mentaati suaminya untuk memudahkan kerjanya kepada Allah, mendidik anaknya untuk membesar menjadi manusia yang Allah redha.

Sesungguhnya pada saya, sekiranya seorang perempuan itu mampu menjadi suri rumah yang baik, bukan sahaja mampu mengemas dan memasak, bahkan berusaha mendidik anak dan mendampingi suami ke jalan yang Allah SWT redhai, perempuan itulah bidadari.

Bidadari yang nyata membawa motivasi.

Dan bagi yang belum berkahwin, fahamilah realiti ini, tanggungjawab ini, dan binalah diri, untuk menjadi suri rumah yang merupakan bidadari.

 sumber: langitilahi.com

2 responses to this post.

  1. Posted by saadmuslimin on Mac 24, 2012 at 11:50 pm

    ummi pun macam tu..penuh dengan kesabaran🙂

    Balas

  2. Posted by nas on April 5, 2012 at 5:31 pm

    sepanjang ingatan saya ketika kecil, ibu saya juga xpenah merungut sehingga saat Allah mengambilnya kembali..
    sungguh penyabar dan tabah..

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: