’FIRAUN’ KECIL MASIH ADA…


 

“Bagaimana kita hendak mencari kebenaran?” tanya Prof itu tiba-tiba, seolah-olah berbisik.

Saya tersentak kerana tidak menyangka Profesor bukan Islam itu begitu berminat dengan apa yang saya sampaikan dalam kuliah ‘Mukmin Profesional’ yang baru berakhir sebentar tadi. Terus-terang dia kelihatan selamba dan bersahaja sahaja sepanjang kuliah itu. Saya difahamkan oleh pihak penganjur,  ada seorang sahaja peserta bukan Islam dalam program dianjurkan oleh badan kebajikan organisasi tersebut. Tujuannya? Sekadar ingin tahu, begitu yang diberitahu kepada saya.

“Mula-mula kita lihat dulu kaedah yang salah dalam mencari kebenaran,” jawab saya sambil tersenyum.

“Kaedah yang salah? Saya ingin tahu kaedah yang benar,” tegasnya.

Saya terus tersenyum, lalu meneruskan, “tidak mengapa. Apabila kita tahu kaedah yang salah, secara automatik nanti kita akan tahu kaedah yang betul dalam mencari kebenaran .”

Ini satu pendekatan Islam dalam menegaskan kepentingan sesuatu prinsip –  buang atau nafi  dahulu yang salah, kemudian barulah dipasak dengan masukan yang betul. Sama seperti ucapan kalimah syahadah.

“Adalah salah kalau kita mencari kebenaran mengikut orang ramai,” kata saya.

Melihat dia diam, saya menyambung, “ini kerana ramai orang yang berpihak kepada kebatilan. Penyokong kebatilan sentiasa melebihi bilangan penyokong kebenaran.”

“Maksud awak, kebenaran berada di pihak minoriti?”

Saya mengangguk. Saya terbayang maksud ayat Quran yang menegaskan bahawa jika kita mengikut orang ramai, nescaya mereka akan menyesatkan kita dari jalan Allah. Begitu juga Allah telah menyatakan bahawa sangat sedikit sekali dikalangan hambaNya yang bersyukur. Jadi, kalau kita mengikut pendirian majoriti, kita terdedah kepada kesesatan dan sikap tidak bersyukur.

“Dalam realitinya, Prof lihat bagaimana? Apakah ramai  orang yang  masih mengamalkan nilai-nilai murni seperti jujur, penyayang, pemaaf dan sebagainya?” tanya saya semula.

“Tidak ramai. Kalau adapun orang yang jujur, amanah dan baik… hanya kerana adanya penguatkuasaan undang-undang, bukan dengan kerelaan hati sendiri. Faktor ganjaran hukman, bukan kerana keikhlasan dan kerelaan.”

“Itulah maksud saya. Majoriti manusia tidak boleh dijadikan rujukan untuk mencari kebenaran.”

Melihat dia telah bersedia untuk menerima hujah yang kedua, saya meneruskan,” adalah salah kalau kita mencari kebenaran mengikut pendirian orang yang berkuasa.”

Saya renung matanya. Mudah-mudahan Allah kurniakan hidayah buat cendekiawan yang mencari kebenaran ini.

“Maksud awak pihak atasan?”

Saya mengganguk-anggukkan kepala. Dalam fikiran terbayang fakta sejarah yang memaparkan bagaimana  para penguasa seperti Namrud, Firaun, Abu Jahal dan lain-lain penguasa yang menolak kebenaran. Nabi Musa AS, Nabi Ibrahim AS dan nabi Muhammad saw telah berdepan dengan para penguasa yang zalim, takbur dan mengingkari kebesaran Allah. Para pengikut nabi-nabi tersebut kebanyakannya masyarakat marhein dan orang bawahan.

“Acap kali para penguasa lupa kuasa Allah semasa mereka berkuasa. Malah ada di antara mereka yang mengaku sebagai Tuhan…”

“Seperti Firaun. Ada lagikah penguasa yang begitu pada hari ini? ” dia menyampuk.

“Memang ada. Apabila ada penguasa yang menolak sistem hidup yang ditetapkan Tuhan dan menerima sistem hidup bikinan manusia… itu sudah dikira mengambil hak Tuhan sebagai pencipta dan pentadbir hidup ini.”

“Mereka seolah-olah mahu jadi Tuhan?” tambah Profesor tersebut lebih bersemangat. Saya diam. ‘Neo-Firaun’ sebenarnya masih ujud dalam dunia masa kini. Penguasa yang tidak mengaku sebagai Tuhan secara terang-terangan, tetapi ‘merampas’ hak Allah sebagai satu-satu ‘illah’ (sembahan) yang berhak membuat peraturan dan undang-undang.

“Jadi bagaimana saya harus mencari kebenaran?”

“Bermulalah dengan mencari Tuhan!” jawab saya pendek.

“Mencari Tuhan?”

“Ya, kebenaran itu hanya ada pada Tuhan.” Sebenarnya, saya sedang menegaskan  maksud firman Allah, “kebenaran itu daripada Tuhanmu jangan kamu menjadi penentangnya.”

Profesor itu termenung panjang.

“Jadi, persoalan kita sudah bertukar, daripada mencari kebenaran kepada mencari Tuhan. Ya, bagaimana caranya mencari Tuhan?” Akhirnya, dia bersuara.

“Pertama, dengan akal. Kedua dengan hati,” jawab saya seolah-olah berbisik.

“Dengan akal, membaca, mengkaji, memikir dan menimbang?” tanyanya.

“Ya, bacalah buku-buku daripada pelbagai agama. Lihat bagaimana agama-agama tersebut menerangkan siapa Tuhan yang sebenar. Kemudian buat perbandingan, agama yang mana satukah yang mampu memuaskan akal fikiran kita tentang Tuhan. Kemudian, kaji pula bagaimana agama-agama tersebut mengatur kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Buat perbandingan sistem hidup antara agama-agama itu. Dan jangan lupa juga lihat bagaimana penerangan agama tersebut tentang kehidupan selepas mati. Maksud saya, lihat agama tersebut secara multi dimensi dan holistik!” terang saya panjang lebar.

Ketika itu saya teringat impak tragedi 9 September pada rakyat di  negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Hakikatnya lebih ramai para ilmuan Barat memeluk Islam selepas tragedi itu berbanding sebelumnya. Aneh bukan? Mengapa? Ini kerana selepas peristiwa tersebut mereka mula mengkaji Islam. Oleh sebab militan Islam dituduh sebagai dalang serangan itu, maka mereka tertanya-tanya mengapa ada orang yang sanggup berbuat demikian? Apa keyakinan dan pegangan hidup mereka sebenarnya?

Maka mereka pun mengkaji tentang Islam. Pada mulanya hanya didorong oleh rasa ingin tahu dan untuk mencari keburukan Islam… namun semakin dicari kepalsuannya, semakin bertemu dengan kebenaran dan keindahannya. Akhirnya, mereka tunduk dan akur kepada Allah. Akal fikiran mereka akhirnya tunduk kepada kebenaran Islam kerana sifat Islam memang ‘mesra-akal’. Mereka bukan ‘Neo-Firaun’ yang bertuhankan diri!

Saya yakin Profesor bukan Islam di hadapan saya ini akan menggunakan seluruh potensi akalnya untuk ‘mencari’ Tuhan yang sebenar dengan melakukan kajian dan perbandingan.

“Cara kedua? Dengan hati?”

“Bisikkan ke hati Profesor selalu begini… Wahai Tuhan, aku yakin Engkau ada. Engkau Maha Pengasih, Maha Penyayang. Aku sedang mencariMu wahai Tuhan.  Tolonglah perkenalkan diri Mu kepada ku, “ ujar saya penuh perasaan.

Tanpa saya sangka, Pfofesor itu berkata, “ ini doa minta hidayah kan ustaz?” Saya terkesima, rupa-rupanya dia lebih faham dan ‘dalam’ daripada apa yang saya sangkakan. Ya Allah, bukakanlah pintu hidayah Mu buat hambamu yang sedang mencariMu ini… Dan izinkanlah kiranya aku yang berdosa ini menjadi titian hidayahMu kepadanya! Amin.

sumber: genta-rasa.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: