Ramadan – Memaknakan Ia


Bagaimanakah memaknakan Ramadhan?

Ramai menilai maksud memaknakan Ramadhan adalah dengan menyumbat pelbagai amalan di dalamnya. Saya tidak berkata itu salah. Namun saya memandang kepada skop yang lebih luas dan lebih besar. Apakah Ramadhan ini Allah SWT ciptakan agar ummat Islam menyumbat amal mereka sebanyak-banyaknya di bulan itu?

Saya tidak melihat sedemikian.

Ahsanu bukan Aksaru.

Allah SWT dengan jelas memberikan pesan kepada kita di dalam Surah Al-Mulk ayat 2:

“Dan Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan, untuk melihat dari kalangan kamu siapakah yang terbaik amalannya.”

Yang terbaik amalannya. Allah SWT menggunakan kalimah ahsanu. Bukan aksaru(terbanyak).

Justeru, hakikatnya, amal yang kemas, bermakna, memberikan kesan, adalah lebih baik kita usahakan untuk capai, berbanding kita gelojoh, tergesa-gesa menambah amalan namun amalan-amalan itu langsung tidak memberikan makna pada diri kita, seterusnya selepas Ramadhan langsung tidak memberikan kesan di dalam kehidupan kita.

30 juzu’ Al-Quran dan Beratus Rakaat Tarawih.

Di dalam Ramadhan, berlumba manusia menghabiskan 30 juzu’ Al-Quran. Bahkan ada yang khatam 2-3 kali. Begitulah juga resminya bulan Ramadhan, manusia bangkit menunaikan tarawih. Ada yang 8 Rakaat, ada yang 20 rakaat. Yang mana kalau didarab dengan 30 hari, menjadikan bilangan rakaat itu mencapai ratusan. Itu belum dikira dengan pelbagai amalan seperti menjauhi maksiat telinga, tangan, mata dan kaki, seterusnya melakukan amalan-amalan kebaikan yang lain seperti bersedekah, membantu orang, berselawat, solat fardhu, solat-solat sunat yang lain dan sebagainya.

Namun anehnya, kebaikan-kebaikan yang disumbat di dalam Ramadhan itu tidak memberikan kesan di dalam kehidupan kita hari ini. Keluar dari Ramadhan, kita seakan-akan manusia yang sama seperti sebelum kita masuk ke dalam Ramadhan. Sama. Seakan-akan 30 juzu’ Al-Quran tidak pernah kita baca, seakan-akan ratusan tarawih di dalam Ramadhan tidak pernah kita dirikan.

Kita masih menjadi seorang muslim yang pasif, yang tidak memberikan manfaat kepada Islam, yang jauh daripada Allah SWT, yang banyak melakukan keingkaran, yang menjadi hamba kepada sistem jahiliyyah, yang masih menyokong perkara-perkara yang melalaikan dan sebagainya.

Seakan-akan, graf ummat Islam itu, mencanak hanya kala Ramadhan, dan kemudiannya menjunam jatuh pada bulan-bulan yang lain.

Golongan Yang Celaka.

Menjadi manusia yang sebegini, sepatutnya kita rasa gentar dan takut. Kerana Rasulullah SAW ada bersabda:

“Telah datang Malaikat Jibril dan dia berkata: Celakalah seseorang yang masuk ke bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah Amin! Maka aku berkata: Amiin.” Hadith Riwayat Bukhari.

Ya. Bukan perkara yang kecil.

Sepatutnya kita masuk ke dalam Ramadhan, keluar menjadi hamba yang Rabbani. Namun kita hanya tahu menyumbatkan amal, melambakkannya, dan bila keluar dari Ramadhan, menjadi manusia yang seakan-akan Ramadhan tidak punya makna yang signifikan di dalam hidupnya pada 11 bulan yang lain. Bukankah itu sangat celaka?

Maka Kita Maknakan Ramadhan Kita.

Biarlah tarawih kita 8 rakaat, dan bacaannya tidak panjang. Tetapi kita memahami apa yang kita baca. Mendalami apa yang kita sebut. Biar ianya menjadi bekalan untuk lebih memahami mengapa Islam itu agama yang benar, dan mengapa kita perlu mengamalkannya sebagai cara hidup. Agar solat-solat kita memberikan makna dalam kehidupan kita, agar kita merasai ubudiyah, pengabdian diri kita kepada Allah SWT secara sebenar-benarnya.

Biarlah kita tidak habis 30 juzu’ Al-Quran, asalkan kita memahami apa yang kita baca. Kita memperbaiki tajwid kita. Kita baca dengan tartil dan faham. Agar ayat-ayat itu dapat memberikan kesan ke dalam kehidupan kita. Dapat memberikan kesedaran untuk menguatkan kita, untuk memotivasikan kita, agar terus rapat dengan Al-Quran selepas keluar dari Ramadhan.

Biarlah amal kita kelihatan sedikit, namun ianya adalah yang terbaik. Yang memberikan gegaran di dalam jiwa kita. Yang mampu menyedarkan kepada kita bahawa kita ini adalah hambaNya. Yang mengetuk hati kita, yang membuatkan kita hendak membawa perasaan ini ke 11 bulan yang lainnya.

Kita usahakan ibadah-ibadah dalam bentuk yang lebih produktif, seperti membuang keburukan(maksiat dan keingkaran) kita kepada Allah SWT. Jika kita kaki merokok, kita fokuskan kepada mengurangkan batang rokok kita dalam rangka hendak meninggalkan rokok. Jika kita kaki gossip, kaki berkata kotor dan sebagainya, kita target untuk meninggalkan perbuatan itu dengan menjadikan Ramadhan sebagai titik motivasi kita. Kita tambah juga amalan kita. Target Ramadhan ini, jika selama ini tidak biasa membaca Al-Quran, maka kala Ramadhan ini kita targetkan agar diri kita biasa membaca Al-Quran selepas maghrib. Sekurang-kurangnya satu muka surat. Jika sebelum ini Solat Fardhu kita tunggang langgang, kita memperbaiki disiplin kita terhadap solat fardhu. Jika Solat Fardhu sudah boleh didisiplinkan, kita tingkatkan kepada solat sunat rawatib, solat sunat dhuha, solat sunat taubat dan sebagainya untuk kita biasakan.

Semua ini nampak ringan. Namun jika berjaya dibiasakan, ia mudah dibawa keluar ke bulan-bulan yang lain selain Ramadhan, sekaligus membentuk diri kita menjadi hambaNya yang terbaik.

Pastikan diri ada peningkatan. Baik dalam tambahan amal kebaikan, atau pengurangan amal keburukan. Agar kecelakaan bukan menjadi milik kita.

Penutup: Meningkatkan Graf Ummah.

Kita sudah melalui berapa Ramadhan?

20 kali?

10 kali?

Satu soalan yang patut kita tanya selepas menjawab soalan itu adalah:

“Di manakah kesan belasan, puluhan Ramadhan itu, di dalam diri kita hari ini?”

Ya, soalan ini menyedarkan kita, seakan-akan Ramadhan tahun inilah Ramadhan pertama kita lalui. Sedang Ramadhan-Ramadhan yang berlaku seakan tidak pernah wujud. Mengapa? Kerana kita hanya pandai menyumbatkan amal di dalamnya, namun tidak menjadikan ianya bermakna buat kita.

Marilah kita melihat perkara ini semula. Jangan kita bazirkan lagi Ramadhan kita.

Jadikan Ramadhan kita kali ini, dan Ramadhan-Ramadhan hadapan sebagai Ramadhan yang bermakna.

Agar graf Ummah kita meningkat dan meningkat. Melalui Ramadhan bukan sekadar ikut-ikutan dan adat semata-mata. Melalui Ramadhan dengan faham, dengan penuh bermakna.

sumber:langitilahi.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: