Berok dan Bunga


Hari kekasih, hari eksploitasi dan manupulasi rasa cinta untuk menderhaka kepada Pencipta cinta (Allah).

Atas dorongan untuk meraikan cinta kononnya, batas akidah, syariat dan akhlak dilanggar semahu-mahunya. Cinta yang dicipta indah oleh Allah yang Maha indah, menjadi punah. Dikotori oleh pemujanya seperti kera yang merosakkan bunga.

Cinta yang suci untuk tujuan yang suci telah dicemari. Cinta yang berfokuskan seks – yakni cinta yang diilhamkan oleh Tuhan kepada haiwan itulah yang dipuja oleh manusia yang bertamadun!

Mengapa jadi demikian? Ini kerana masih ramai manusia yang sedang mengalami kekosongan jiwa (emptines). Hidup hanya untuk memenuhi kehendak nafsu yang inginkan kepuasan material dan fizikal, urat, daging dan tulang. Apabila persoalan paling ‘basic’ (asas) dalam hidup tidak terjawab dengan tuntas… Itulah akibatnya.

Apakah persoalan itu? Ya, mengapa kita dihidupkan? Orang Islam yakin bahawa Allah tidak mencipta manusia sia-sia. Manusia punya tugasan dan peranan yang sangat besar. Al Quran menegaskan Allah ciptakan manusia dengan tujuan menjadi hamba-Nya dan khalifah di muka bumi.

Selagi kita berpegang kepada tujuan hidup ini dan melaksanakannya, hidup kita akan dipenuhi ketenangan. Kekosongan jiwa, minda dan masa kita akan terisi dengan sepenuhnya. Kita boleh melaksanakan apa jua aktiviti yang tidak terkeluar daripada kerangka tujuan hidup yang telah ditentukan Allah itu. Selagi manusia bertindak selaras dengan tujuan penciptaannya, maka selagi itulah ia akan tenang, selamat dan bahagia.

Sebaliknya jika tujuan hidup ini diabaikan, maka kekosongan jiwa pun berlaku. Pada waktu itu jiwa meronta-ronta bagaikan ikan tanpa air. Akibatnya, manusia terus mencari. Pencarian ini bukan menambah ketenangan, tetapi tambah mengusutkan. Apabila panduan Islam diabaikan, maka jalan atau kaedah yang salah telah dipilih.

Pada waktu inilah budaya hidup Barat mencelah. Remaja menyangka budaya Barat itu penawar yang akan memberi hiburan dan ketenangan. Padahal ia adalah racun yang sangat bisa. Bukan sahaja masalah yang sedia ada tidak akan selesai, malah masalah yang sedia ada pun akan semakin membesar. Itulah bahana budaya Barat yang menawarkan kepada remaja kita produk yang bernama “Hari Valentine”.

Malangnya, produk itulah yang sentiasa dipromosikan dan diiklankan sehingga menjadi budaya secara langsung ataupun tidak. Apabila sudah menjadi budaya, yang palsu nampak benar, yang salah nampak indah dan hebat. Remaja, yang masih membina kematangan akan terpengaruh untuk menerima. Dirasanyakan yang datang dari Barat itu semuanya baik, hebat dan agung belaka. Apatah lagi yang menjadi figur mempromosikan budaya buruk ini adalah artis atau celebriti yang menjadi pujaan para remaja itu selama ini. Maka mudah mereka terikut.

Lagipun ada sesetengah berpandangan tidak ada implikasi agama dalam soal ini. Apa salahnya, cuma hiburan, cuma suka-suka… Sedangkan mereka tidak sedar semua ini ada kesan dari segi mempengaruhi fikiran, hati, perasaan dan sikap seseorang. Sesuatu yang dilarang oleh Islam, pasti ada kesan buruk pada hati, jiwa dan perasaan samada disedari atau tidak, samada jangka panjang atau jangka pendek.

Kesan yang paling cepat ialah remaja kita akan ikut menyerupai mereka dari segi cara berfikir, emosi dan jiwa. Akhirnya, ini akan mempengaruhi tingkah laku dan kelakuan. Rasulullah SAW bersabda: “ Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum ia akan menjadi kaum itu.”

Sebenarnya, perayaan Hari kekasih bukan semata-mata perayaan luaran sahaja. Ia datang dalam bentuk pakej yang yang ‘menyerang’ remaja secara multi dimensi. Ia datang dengan idea kebebasan tanpa batas seperti pendedahan aurat, pergaulan lelaki-wanita secara bebas, tarian, lagu dan unsur-unsur hedonisme yang cukup membahayakan. Perayaan itu bukan setakat pemberian hadiah, kad atau bertukar-tukar ucapan, tetapi diiringi pertemuan, sentuhan dan lain-lain yang jika tidak diawasi dan dibatasi syariat pasti mencecah batas-batas ‘menghampiri zina’.

Bila hari kekasih diuar-uarkan dengan segala bentuk dan elemennya, dan ia diterima sebagai satu budaya yang biasa… Para remaja akan menerima itu sebagai satu isyarat ‘menghalalkan’ sesuatu yang dilarang oleh Islam sebelum ini. Tanpa disedari, remaja yang terpengaruh dengan sambutan Hari kekasih ini akhirnya, menjadi lali dan akhirnya ketagih dengan apa sahaja yang datang dari barat, yang kononnya agung dan canggih. Pada ketika itu generasi kita sebenarnya sudah dijajah kembali dari segi minda dan akan terus menjadi bangsa pengguna (konsumer) bukan pencipta dalam arus globalisasi masakini.

Bila Islam melarang sesuatu, pasti ada rasional di sebalik larangan itu. Cuma sebagai manusia, kita kekadang belum nampak apa rasionalnya pada peringkat awal. Ilmu manusia yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Inilah yang dikatakan suruh atau larang dalam Islam adalah berasaskan iman kepada Allah. Kita beriman kepada Allah dalam ertikata kita yakini Allah SWT maha Bijaksana, maha Penyayang, Maha Belas Kasihan untuk tidak menganiayai hamba-hambaNya dalam apa jua perintah suruh dan larang-Nya.

Mengapa hari Kekasih dilarang untuk disambut oleh orang Islam? Sebab sejarah sambutan hari itu sendiri sudah dikaitkan dengan sesuatu yang bertentangan dengan akidah. Apabila kita turut merayakannya, seolah-olah kita juga turut merelai atau meredhai kebenaran akidah mereka. Seperkara lagi, apakah Islam yang kita anuti, malah agama yang paling unggul di dunia, sudah ketandusan cara untuk menghargai rasa kasih sesama manusia?

Islam punya kaedah sendiri yang lebih benar dan tepat untuk meraikan rasa kasih dikalangan manusia. Namun Islam hanya membenarkan rasa kasih itu dijalinkan dalam bentuk ikatan yang sah agar rasa cinta dibina atas asas-asas yang kukuh, mulia dan terhormat.

Cinta dalam Islam mesti diasaskan pada tanggung-jawab, pembelaan, pendidikan, penjagaan dan perlindungan atas nama Allah. Cinta mertabat tinggi ini lebih sejati dan hakiki berbanding cinta di atas kad ucapan, kotak hadiah, lagu, pakaian, cincin dan lain-lain elemen Hari kekasih. Hari pertunangan, pernikahan, ulang tahun perkahwinan, hari mendapat cahaya mata… adalah hari-hari kekasih yang sepatutnya disambut meriah dengan erti dan makna yang lebih mendalam dan ikhlas. Bukan seperti Hari Valentine yang bersifat luaran, gimik dan penuh kepura-puraan yang acapkali untuk mewajarkan sahaja pelempiasan hawa nafsu seks atas nama cinta suci!

Ingatlah, tidak akan ada kebahagiaan yang sejati dengan melanggar hukum Allah. Ini sepatutnya diterima dengan hati yang terbuka, dengan penuh kesedaran bahawa Tuhan yang mencipta manusia maka Dialah yang paling arif menentukan apakah yang diperlukan oleh manusia untuk tenang dan bahagia. Jika kita mencintai Allah yang Maha Pengasih, kita akan mampu mengasihi sesama manusia pada setiap masa, keadaan dan ketika. Bagi orang Islam setiap hari adalah Hari Kekasih!

sumber: genta-rasa.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: