PAKSAKAN CINTANYA


“Ustaz, saya baru sahaja ditimpa kemalangan, “ ujar lelaki muda itu setelah bersalaman dan terus duduk bersimpuh di hadapan saya.

Saya renung matanya. Ada sayu di situ.

“Innalillah wa in nna ilaihi rajiun. Tapi syukur, saudara selamat,” ujar saya sambil memegang lengannya. Saya lihat tidak ada parut pada wajah mahupun tangannya.

“Tetapi sedih sekali ustaz, isteri saya meninggal dunia.”

“Innalillah wa in na ilaihi rajiun…” balas saya buat kedua kalinya. Saya terus tunduk. Tiba-tiba sebak di hati.

“Isteri dan saya kemalangan. Tetapi dia yang pergi.”

“Tabahlah.”

Saya pegang tangannya erat. Empati menusuk jiwa. Lelaki di hadapan saya ini sangat muda.

Tiba-tiba seorang anak kecil berlari menerpanya. Terus duduk di atas riba. Dari belakang, seorang tua lelaki datang menghampiri kami dengan mendukung seorang anak kecil. Daripada raut wajah kedua kanak-kanak itu saya dapat meneka mereka tentu adik-beradik.

“Dua orang ini anak saya. Ini bapa saya,” katanya sambil menunjuk kepada lelaki tua yang menghampiri kami. Sebelah tangannya yang lain membelai rambut anak yang di dalam pangkuannya.

“Yang kecil ini masih belum membiasakan diri dengan ketiadaan ibunya. Dia menyusu badan ustaz.”

Saya masih diam. Terus menggenggam tangannya. Suasana meriah di bahagian belakang masjid tempat kami duduk itu tidak lagi menarik perhatian. Orang lalu lalang dan aktiviti pameran yang sedang dijalankan itu seolah-olah tidak kedengaran dan kelihatan lagi. Saya tenggelam dalam laut rasa yang sangat menyedihkan.

“Baru dua bulan ustaz…”

Saya mengangguk-angguk kepala lagi. Saya kekal menjadi pendengar. Bukan mendengar dengan telinga, tetapi dengan mata dan hati. Teringat ungkapan yang selalu saya titipkan buat diri sendiri dan teman-teman, “sesetengah masalah bukan untuk diselesaikan tetapi hanya untuk didengari”.

“Kadangkala dalam hati terdetik juga, kenapa Tuhan memanggilnya pergi terlalu cepat. Kami sangat perlukannya,” katanya perlahan.

“Allah sesungguhnya Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ya, ramai orang menyebut ungkapan ini, tetapi saudara yang paling bertuah. Allah sedang mendidik saudara tetang kasihNya.”

“Itu saya percaya ustaz. Namun, apa kaitan itu dengan musibah yang menimpa diri saya ini ustaz?”

“Saudara. Ilmu kita yang terbatas tidak dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Kita hanya nampak yang dekat dan sekarang… tetapi Allah melihat yang jauh dan akan datang. Musibah hari ini boleh jadi keberuntungan pada masa akan datang. “

“Arwah isteri saudara beruntung sebenarnya…” tambah saya lagi hampir berbisik.

“Mengapa ustaz?”

“Dia meninggalkan dunia dalam keadaan saudara mencintai dan meredainya. Tidak ramai isteri yang berjaya meraih keredaan suami ketika meninggal dunia. Sedangkan, keredaan suami itu sangat penting untuk isteri meraih keredaan Allah.”

“Ya. Ya. Dia isteri yang solehah. InsyaAllah.”

“Amin…”

“Tetapi apa hal kami ini ustaz?”

“Allah sedang mendidik saudara menjadi ayah yang tabah. Musibah ini hakikatnya satu ‘mehnah’.”

“Apa maksud ‘mehnah’ itu ustaz?”

“Mehnah ialah ujian yang Allah timpakan kepada seseorang dengan tujuan untuk mendidiknya. Allah mendidik manusia melalui ‘subjek’ yang bernama kematian, kesakitan, kegagalan dan kehilangan.”

“Sedih dan sakit ustaz…”

“Terimalah saudara, yang pedih itu ubat. Yang sedih itu penawar. Siapalah kita ini… kita hanya hamba, bukan tuan, bukan Tuhan. Sebagai hamba kita layak diuji. Tidak ada pilihan, kehilangan ini telah berlaku. Ujian ini maktub. Sama ada kita terima atau tidak, ia tetap berlaku. Pilihan yang masih tinggal buat kita ialah, untuk sabar atau tidak. Jika sabar, ada kebaikan dan manfaatnya. Jika tidak sabar, banyak keburukan dan mudaratnya.”

“Apa kebaikan kehilangan ibu buat anak yang sedang menyusu ini ustaz?”

“Saya yakin pertanyaan ini bukan kerana mempertikaikan tetapi benar-benar inginkan penjelasan..”

“Maha suci Allah. Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Tetapi insan kerdil seperti saya ini manalah dapat melihat sesuatu yang tersirat di sebalik semua ini.”

“Kita semua insan kerdil di sisi Tuhan. Dari segi adab seorang hamba, kita wajib yakin bahawa di sebalik pemergian isteri, yakni ibu kepada anak-anak saudara ini pasti ada kebaikannya. Tetapi sebagai seorang manusia juga, kita tidak dapat menahan diri daripada bertanya kenapa? “

“Sesetengah takdir memang tidak akan kita ketahui apa maksud baiknya. Itulah iman. Perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah. Mana mungkin seorang hamba tahu semua maksud takdir Ilahi? Yakini sahaja pasti ada kebaikan.”

“Jadi peranan akal di mana ustaz?”

“Akal kita mesti terus berfikir. Jangan dimatikan. Tetapi berfikirlah ke arah kemungkinan-kemungkinan kebaikan di sebalik takdir.”

“Contohnya?”

“Contohnya, Allah mematikan ibu bagi anak-anak saudara untuk membentuk mereka menjadi pemimpin besar di kemudian hari nanti. Lihat para Rasul, nabi, ulama, dan pemimpin dunia, ramai yang berasal daripada anak yatim. “

“Mungkin juga Allah hendak menyelamatkan anak-anak saudara daripada menjadi anak yang derhaka. Lihat betapa ramai ibu yang telah tua renta, telah disia-siakan dan diherdik oleh anak-anaknya sendiri… Mujur, anak saudara telah terlepas daripada dosa derhaka kepada ibu,” tambah saya.

Dia mengangguk-anggukkan kepala seketika seraya berkata,” akal kita berfikir ke arah mencari kebaikan di sebalik ujian ini. Jangan berfikir sebaliknya. Berfikirlah untuk menjustifikasikan kebaikan takdir Allah, bukan keburukannya. Itu lah tanda kita bersangka baik kepada Allah.”

“Oh… begitu. Fikiran kita mesti dikawal dan terarah, bukan disekat, apalagi dimatikan.”

“Bersangka baiklah kepada Allah dengan mencari kebaikan di sebalik setiap takdirNya. Insya-Allah kita akan mendapat kebaikan,” pesan saya sekalipun jauh di sudut hati menyedari saya sendiri juga masih terkial-kial dalam menerima takdir Ilahi.

“Saya sunyi ustaz. Kadangkala patah semangat untuk bangun kembali. Banyak cita-cita dan impian yang pernah kami kongsi bersama tidak kesampaian…”

“Usah begitu saudara. Sunyi itu apabila hati kita lupa mengingati Allah. Hati yang mengingati Allah tidak akan kesunyian. Cari dan binalah hati itu. Pada solat, pada Al Quran, pada selawat, pada masjid ini ada penawar kesunyian itu. Saudara tidak tersisih, bahkan terpilih untuk mencari dan menemui cinta Allah.”

Dia tunduk. Tergenang air matanya. Saya memegang belakang kepalanya seperti seorang ayah terhadap anaknya. Itu sahaja yang mampu saya lakukan. Begitulah jika bahasa kata gagal untuk mencapai maksud, bahasa rasa cuba disampaikan melalui belaian.

“Ada masanya saya menangis ustaz. Berdosakah kesedihan ini?”

“ Tidak. Malah itu fitrah.”

“Namun ada yang lebih penting daripada itu.”

“Apa yang lebih penting daripada itu?”

“Peringatan Allah kepada saudara, saya dan semua manusia. Firman Allah, “Katakanlah, Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga mu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (At Taubah,24).”

“Nampaknya saya belum tega, tetapi melalui tragedi ini seolah-olah Allah paksa saya ustaz… paksa saya mencintai-Nya lebih daripada yang lain.”

“Syukurlah dengan paksaan ini. Jika tidak dipaksa mungkin kita alpa. Allah lebih sayang akan hamba-Nya lebih daripada ibu menyayangi anaknya. Ibu yang baik akan memaksa anaknya yang sakit memakan ubat yang pahit. Begitulah kita… yang sakit, sepi dan sayu ini umpama ubat yang Allah paksakan kita untuk menelannya demi menyembuhkan penyakit cinta selain-Nya yang bersarang di hati kita,” pujuk saya.

“Masih ingat impian yang pernah dibina dengan Allahyarham isteri?” tanya saya sambil memegang bahunya.

Dia mengangguk-angguk. Air matanya tergenang. Sungguh, saya terus mencari kata-kata sedangkan mata sendiri sudah berkaca dengan air mata.

“Jika dia masih hidup tentu dia ingin impiannya tercapai. Ingin melihat kedua anak ini membesar sebagai anak yang soleh… Mari kita penuhi hajatnya. Mari kita penuhi impiannya. Jika benar kita sayangi yang telah pergi, mari kita penuhi cita-citanya pada yang kedua anak yang ditinggalkannya ini. Kita mesti bangun daripada kesedihan ini. Jika tidak, impian itu akan berkecai. Buktikan cinta saudara dengan melaksanakan amanah ini. Dan semua amanah ini tidak akan dapat ditunaikan sekiranya saudara terus bersedih…” ujar saya akhirnya.

Bapa muda itu merenung saya. Anaknya sudah tertidur di pangkuannya. Bapa lelaki muda itu masih mendukung anak kecilnya, turut tekun mendengar. Saya yang duduk bertemu lutut dengannya sejak tadi teringat semula kisah-kisah yang pernah saya dengar sepanjang kehidupan ini. Ada isteri yang kehilangan suami. Ada suami yang kematian isteri. Begitulah ajaibnya Allah ‘memanggil’ sesetengah manusia kepada cintaNya… melalui kehilangan!

SUMBER:genta_rasa.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: