DERHAKA DALAM CINTA


 

Aku ingin mengimbau kisah 15 tahun yang lalu. Begini kisahnya:

imagesMatanya merah. Tangisannya jelas kedengaran. Bahunya naik turun menahan sebak.

“Tak sangka ustaz, kami bercinta sekian lama. Tiba-tiba dia memutuskan. Apa salah saya? Mengapa dia pilih perempuan tu?”

Saya diam. Adik lelaki yang menemaninya juga terdiam.

“Saya tak akan maafkan dia. Sumpah. Habis masa dan usia saya selama ini menantinya. Saya sakit hati ustaz…”

Saya terus diam. Saya beri laluan untuk dia bersuara dan mengalirkan air mata. Biar diluah apa yang dipendam agar tidak bersarang menjadi dendam. Putus cinta memang menyakitkan. Ketika putus cinta harga diri seseorang akan jatuh ke peringkat paling rendah. Demikian, menurut ahli psikologi.

“Saya dendam ustaz. Orang yang paling saya cintai sanggup khianat pada saya. Apa dosa saya ustaz…” katanya bertalu-talu, lebih sayu. Suara yang bercampur esakkan itu sangat menghibakan.

“Cik, agaknya mengapa semua ini terjadi?” soal saya perlahan. Cuba mengalih arah perbualan. Bilik berdinding kaca tempat pertemuan kami itu menghadiahkan keadaan ‘privacy’ yang terjaga syariatnya.

Dalam diam, saya akui bahawa pertanyaan tersebut lebih bersifat ‘meraikan’. Saya ajukan semata-mata untuk membuktikan yang saya masih mendengar. Saya sedar pada saat-saat seperti itu, dia sangat memerlukan perhatian dan simpati. Ada masanya suatu masalah itu tidak perlukan penyelesaian tetapi hanya inginkan perhatian.

“Sebab dia dapat yang lebih cantik! Lebih baik!” katanya agak kuat.

“Jika hanya kerana itu, percayalah bukan sahaja cik yang menderita tetapi dia juga akan menderita.”

“Itu saya tidak peduli. Yang penting sekarang ialah saya rasa sangat menderita.”

Saya menggeleng-gelengkan kepala, lantas bertanya,” siapa sebenarnya yang cik cintai? Kekasih cik atau diri cik sendiri?”

Dia nampak terkejut dengan kenyataan itu.

“Kalau benar cintakan dia, cik tidak ingin dia menderita. Tetapi jika derita cik sahaja yang difikirkan, cik bukan menyintainya tetapi cik hanya cintakan diri sendiri.”

Dia tersentak. Sedikit terkejut. Tidak lama dia kembali bersuara, “saya mencintainya, sebab itulah saya ingin bersamanya.”

“Cinta tidak semestinya bersama. Kasih tidak bererti memiliki. Sebab itu pujangga sering mengungkapkan, cinta tidak semestinya bersatu. Cinta tidak membelenggu tetapi membebaskan!” jawab saya. Ingin saya kongsikan sedikit ilmu cinta dengannya.

“Nak biarkan dia bebas? Maaf, dia telah banyak bersalah pada saya…”

Tanpa memperdulikan kata-katanya saya meneruskan, “cinta itu membebaskan, memaafkan dan memberi. Bukan cinta namanya jika kita ingin membelenggu, berdendam dan ingin mendapatkan sesuatu dari yang dicintai.”

“Saya ingin terus bersamanya sampai mati!”

“Cik tak akan sanggup. Cik sebenarnya bukan cintakan dia tetapi cintakan diri sendiri. Jika tidak mampu memaafkan yang hidup, jangan harap kesetiaan sampai ke mati.”

Tanpa mengendahkan apa yang saya luahkan, dia berkata, “ mengapa dia sanggup berbuat begitu? Kejam!”

“Cik hanya fikirkan perasaan dan kesenangan diri cik sahaja.”

“Ya. Dia memang kejam.”

“Kita pun tidak kurang kejam…”

“Ustaz tuduh saya kejam?”

“Saya maksudkan kita, bukan cik sahaja. Kita semua memang kejam.”

“Mengapa pula?”

“Kita kejam kepada diri kita sendiri.”

“Bagaimana pula tu?”

“Dengan tidak cintakan Allah, kita kejam dengan diri kita sendiri!”

“Ustaz, jangan libatkan cinta Allah. Saya bercakap tentang cinta sesama manusia.”

“Saya tetap kaitkan cinta manusia dengan cinta Allah. Hanya dengan cinta kepada Allah sahaja dapat mendamaikan cinta kita sesama manusia.”

“Mengapa?”

“Kita derhaka dalam cinta kita kepada Allah. Allah memberi nikmat yang bukan sedikit. Kita balas dengan taat yang sekelumit. Malah, ramai antara kita yang bukan sahaja tidak menggunakan nikmat itu untuk taat, malah digunakan ke arah maksiat.”

“Ustaz saya ingatkan sekali lagi… saya bercakap tentang cinta manusia bukan cinta Allah. Semua orang tahu Allah wajar dicintai.”

“Maafkan saya. Fikirkan sejenak, jika kepada Allah yang banyak berbudi dan berjasa itu pun manusia tega berpaling, apalagi pada manusia yang budi dan jasanya cuma sedikit.”

“Apa kaitannya semua ini dengan cinta saya?”

“Allah Maha Sabar, walaupun ramai manusia yang berpaling daripada cintaNya, tetapi Allah terus-terusan mencintai manusia…”

“Apa buktinya?”

“Buktinya Allah terus memberi… Memberi nikmat dan pengampunanNya. Allah tidak pernah jemu dan berhenti memberi nikmat dan menghulur pengampunan.”

“Ertinya, cinta itu memberi dan memaafkan?”

“Ya. Begitulah. Siapa yang paling cinta, dialah yang paling banyak memberi dan mengampunkan.”

“Jadi saya tidak mencintai kekasih hati sayalah…” luahnya perlahan. Riak wajahnya suram.

Saya diam. Tidak sampai hati untuk menyatakan bahawa dengan tidak mencintai Allah, kita bukan sahaja tidak mencintai orang lain, malah tidak mencintai diri sendiri!

“Kita sering salah meletakkan cinta. Sedangkan ahli hikmah berpesan, cintailah sesiapa yang mencintai kita bukan orang yang kita cintai. InsyaAllah, barulah cinta kita berbalas. Justeru, siapa lagi yang paling mencintai kita selain Allah? Oleh itu siapa yang mencintai Allah, pasti berbalas… dan itulah keharmonian dalam bercinta.”

“Saya bercakap tentang cinta manusia…” dia terus mengingatkan saya.

“Cinta sesama manusia tidak boleh meminggirkan cinta Allah. Cinta soal hati. Hati-hati manusia hanya dapat disatukan oleh Allah.”

“Maksud ustaz? Saya tidak cinta Allah?”

Tanpa respons pada pertanyaan itu, saya sebaliknya terus menjelaskan, “cinta sesama manusia mesti didasarkan cinta Allah!”

“Kami memang bercinta kerana Allah. Tetapi dia mengkhianatinya.”

“Jika benar cinta kita kerana Allah, mana mungkin ada marah, dendam dan kecewa…”

“Lepaskanlah cintanya jika takdir Allah menetapkan begitu,” nasihat saya.

“Mengapa harus saya lepaskan?”

“Kerana Allah inginkan kita mencintaiNya. Putus cinta sesama manusia untuk menyambung cinta dengan Allah.”

“Tapi…”

“Tidak ada tapi-tapi lagi. Sekiranya kita terus enggan, kita akan alami putus cinta sesama manusia lagi. Bukan sekali bahkan berkali-kali.”

“Tidak semudah itu ustaz menghukum. Cinta ini kompleks dan rumit,” bidasnya perlahan.

“Kita yang merumitkannya. Sifir dalam bercinta mudah: Pertama cintai Allah, kedua cintai diri sendiri dan ketiga barulah cintai orang lain.”

“Bagaimana dengan sakitnya hati ini?”

“Ini ubat sebenarnya. Allah sendiri menegaskan dalam surah Al Baqarah, ada perkara yang kita tidak suka tetapi itu sebaliknya baik untuk kita. Sakit ini ubat. Pedih ini penawar.”

“Habis, cinta kepada Allah sahajalah, cinta dengan manusia bagaimana?”

“Allah akan hadiahkan orang yang cintakanNya kepada orang yang mencintaiNya.”

“Subhanallah. Layakkah saya untuk itu?”

“Wanita yang baik, untuk lelaki yang baik. Begitulah sebaliknya. Sebab itu carilah lelaki yang baik sebagai pasangan hidup dengan menjadi wanita yang baik.”

“Bagaimana saya nak jadi baik?”

“Dengan melakukan kebaikan…” ujar saya lembut. Syukur, kemarahan dan kesedihannya agak mula mereda.

“Kebaikan apa yang boleh saya lakukan sekarang?”

“Dengan memaafkan kekasih yang pergi dan memaafkan diri sendiri. Cik layak bahagia. Dia juga layak bahagia.”

“Dia juga lelaki baik?”

“Doakan begitu. Dia lelaki baik tetapi bukan untuk cik. Akan ada lelaki baik lain yang akan datang dalam hidup cik. InsyaAllah.”

“Ohh, saya perlu maafkannya.Saya cuba, insyaAllah. Tetapi apa maksud ustaz dengan memaafkan diri sendiri? Saya tidak faham.”

“Memaafkan orang lain sama seperti memaafkan diri sendiri. Apabila kita memaafkan, jiwa kita akan tenang, fikiran kita akan lapang. Dendam, marah dan kecewa kepada seseorang akan lebih memusnahkan diri kita sendiri berbanding orang yang menjadi sasaran kemarahan dan dendam kita,” terang saya panjang lebar.

“Mungkinkah dia kembali?”

“Tidak mustahil jika cik juga kembali…”

“Saya kembali?”

“Ya, kembali kepada cinta Allah!”

Ya… itu cerita 30 tahun yang lalu. Minggu lalu, saya bertemu kembali dia dan suami serta dua anak kembar comelnya di kaki sebuah masjid ketika sama-sama menyertai majlis ilmu.

“Ini suami saya ustaz,” katanya memperkenalkan. Kami bersalaman.

“Ini?” tanya saya sambil mengusap kepala dua anak yang comel di sisi mereka.

“Ini buah hati kami berdua,” kata suaminya sambil tersenyum. Kacak dan segak dengan janggut dan misai yang terurus rapi.

Sebaik masuk ke masjid… terus saya sujud syukur. Ya Allah besarnya kurniaan Mu. Ketika hamba Mu ingin kurnia pada kadar yang cepat, sebaliknya Engkau memilih untuk memberi pada waktu yang tepat. Sungguh, wanita itu tidak akan menangis 15 tahun yang lalu sekiranya dia nampak ‘hadiah’ yang telah Allah kurniakan sekarang.

Sungguh… hamba meminta dengan keterbatasannya, Allah memberi dengan kesempurnaanNya!

 

SUMBER: GENTA-RASA.COM

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: