Dari Mana, Nak Kemana?


Soalan biasa yang kita dengar. Kita pun tahu jawapannya. Cuma apakah kita pernah menghayati  jawapan yang kita berikan itu?

Bila kita tahu kita datang daripada Allah, dan akan pulang semula kepada Allah SWT, apakah logiknya yang patut berlaku di tengah-tengah antara dua perkara tersebut?

Apakah kita patut buat sesuka hati kita? Hidup mengikut hawa nafsu dan buat apa sahaja yang kita rasa nak buat?

Apakah kita patut sibukkan diri kita dengan kelalaian dan kealpaan, serta memenuhi kehidupan kita dengan perkara yang sia-sia?

Atau sebenarnya kita patut faham bahawa, jika kehidupan kita ini datangnya daripada Allah, dan akan pulang semula kepada Allah, bukankah yang masuk akal ialah, antara dua perkara tersebut, yang kita perlu lakukan ialah apa yang memenuhi keredhaan Allah SWT?

Ya.

Itulah dia jawapan kepada soalan yang kedua.

“Mengapa kita didatangkan?”

Adalah untuk memenuhi misi yang Allah SWT telah tetapkan kepada kita.

Allah SWT tidak menciptakan kita dengan sia-sia. Jika Allah SWT menciptakan kita untuk bermain-main, maka pastilah tidak akan wujud penilaian di akhirat kelak.

Wujudnya penilaian di akhirat kelak menandakan bahawa ada perkara yang patut kita lakukan apabila hidup di atas muka bumi.

Di sini, perlu kita tanamkan dengan kuat di dalam diri dan jiwa kita, akan dua firman Allah SWT:

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Aku ingin menjadikan untuk bumi itu khalifah(pentadbir).” Surah Al-Baqarah ayat 30.

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri(kepadaKu).” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.

Dua ayat ini jangan sesekali dipisahkan. Kerana kedua-duanya perlu diletakkan bersama untuk kita menggapai makna sebenar tujuan kita didatangkan di atas muka bumi ini.

Kita punya tugas untuk mentadbir bumi ini, agar segala isinya tunduk kepada pengabdian terhadap Ilahi. Itulah misi kita.

Misi ini membuatkan Islam menjadi sebuah cara hidup, dan bukan semata-mata agama yang tersekat di pagar-pagar masjid dan di sekitar sejadah sahaja. Misi ini membuatkan seluruh kehidupan, menjadi sebuah ibadah kepada Allah SWT. Kerana kita telah menyerahkan diri kita kepadaNya, untuk memenuhi misi ini.

Maka kita tidak boleh menganggap yang keberadaan kita di atas muka bumi ini adalah untuk bermain-main sahaja. Untuk hidup, bernafas, kemudian mati. Untuk kumpul duit, kemudian mati. Untuk berasmara, kemudian mati. Tidak dan tidak.

Kita ada tanggungjawab untuk memimpin. Kalau bukan sebagai pemimpin berjawatan, kita tetap perlu memimpin diri sendiri dan keluarga kita. Memimpin ke arah mana? Ke arah ketaatan kepada Allah SWT tadi. Dengan itu, kita juga perlu sedar bahawa diri kita sendiri perlulah pertamanya tunduk kepada Allah SWT.

Itulah dia misi kita.

Dan kita akan dinilai dengan misi ini.

Apakah kita melaksanakannya?

Datang daripada Allah, kembali kepada Allah, maka hidup pastilah untuk Allah SWT.

Kita akan berdiri di hadapanNya.

Ketika itu tiada apa yang dapat menyelamatkan kita, melainkan dengan rahmat dan kasih sayangNya. Maka apakah kita hidup, dengan kehidupan yang mencari keredhaanNya? Atau selama ini kita telah bazirkan kehidupan kita dengan menjemput kemurkaanNya?

Di sinilah kita perlu menilai kembali diri kita.

Laksanakan muhasabah.

Sesungguhnya kehidupan kita bukan sebuah kehidupan yang akan terhenti dan pergi begitu sahaja. Selepas kehidupan ini, kita akan kembali berhadapan dengan Allah SWT yang telah menciptakan kita.

Apakah kita mahu bertemu denganNya, dalam keadaan kita tidak berusaha untuk memenuhi kehendakNya?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: